ALOR SETAR : Kedah bakal memburu penjaga gol baharu bagi melengkapkan perancangan musim depan selepas berita penjaga gol mudanya yang sedang meningkat naik Azri Abdul Ghani dikhabarkan sudah meninggalkan pasukan Lang Merah yang tersebar sejak semalam.

Persoalan itu timbul selepas penjaga gol muda itu yang dikhabarkan terpikat dengan lamaran sebuah pasukan yang juga dari utara tanah air untuk tempoh tertentu meskipun mendapat lamaran Kedah bagi menyambung kontraknya berserta tawaran yang dilakukan.

Bagi mengekalkan kekuatan benteng, Kedah pastinya tidak risau, malah akan mengambil langkah terbarunya untuk mendapatkan pengganti penjaga gawang lain yang mampu beraksi pada tahap yang dirancangkan.

Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak berkata pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi mendapatkan pengganti penjaga gol berusia 21 tahun itu mengikut pelan yang akan diaturkan.

"Saya harap semua bertenang dengan berita ini dan kita akan tangani perkara ini dengan sebaik mungkin dan saya akan berunding dengan pihak pengurusan dan juga jurulatih penjaga gol bagi mendapat kata sepakat dalam membuat keputusan nanti.

"Sudah pasti kami mencari pemain yang yang memiliki jiwa besar dalam perjuangan untuk menyertai pasukan seperti Kedah, selain dapat membina masa depan yang baik dalam karier bola sepak.

"Jangan risau kerana kita akan pastikan perkara ini dapat kita tangani dan pada masa yang sama kita mahu lakukan usaha yang terbaik demi untuk memastikan kekuatan pasukan dikekalkan." katanya.

Sementara itu sumber dari pihak pengurusan juga melahirkan keyakinan yang tinggi di peringkat jurulatih dalam menyelesaikan perkara ini terutama dalam fokus mereka untuk mencari pengganti yang lebih sesuai.

"Kita akan mencari pengganti Azri dalam masa terdekat dan saya yakin mereka (barisan jurulatih) ada perancangan yang lebih baik untuk diaturkan dan saya pasti mereka kini sedang melihat dan merancang beberapa nama lain untuk dipilih menjadi pengganti Azri." katanya.

Sementara itu, dua lagi penjaga gol berpengalaman yang sedia ada untuk Kedah iaitu Shahril Saari dan Ifwat Akmal dijangka kekal bersama skuad Lang merah untuk musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 7:36 PM

Sumber: https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/644693/kedah-buru-pengganti-azri

20201122