Bagus untuk menyaksikan melalui saluran televisyen Unifi Sports 4, kapten pasukan Kedah Darul Aman FC menjaringkan satu gol dan membantu satu gol lagi. Selain itu kualiti hantaran semasa sepakan percuma juga sangat menarik untuk dilihat. Para penyokong Baddrol Bakhtiar tentunya rindu dengan sepakan jarak jauh beliau dan mengharapkan beliau mendatangkan ancaman dari tengah padang.

Sudah tentu Kedah akan yang suka memasuki kawasan penalti lawan sebelum cuba menjaringkan gol, akan menggoyangkan pertahanan lawan jika ada pemain yang mampu membuat jaringan dari tengah padang, di mana hal ini akan membuatkan mereka takut untuk berkubu di kawasan sendiri sebaik sahaja bola memasuki bahagian tengah padang.

 


KETUA pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar terbuka menerima kritikan yang dilemparkan segelintir penyokong kelab tersebut atas prestasinya yang dianggap tidak memberangsangkan pada beberapa perlawanan lalu.

Baddrol, 33, menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah kehidupan seorang pemain bola sepak profesional dan fokusnya adalah untuk kembali membaiki prestasi dan membantu kelab meraih piala pada musim 2021.

"Saya bersyukur pada keluarga, ibu bapa, rakan-rakan pasukan yang sentiasa memberikan semangat kepada saya dalam apa jua keadaan. Paling penting kemenangan ini adalah untuk pasukan, pengurusan dan penyokong, bukannya individu.

"Kritikan sebelum ini sudah lali, saya anggap sebagai cabaran dalam hidup. Saya doakan yang mengkritik itu bahagia dan dimurahkan rezeki. Saya ambil kritikan ini sebagai positif untuk majukan pasukan dan terima kasih," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Baddrol sebelum itu memimpin pasukan Hijau Kuning menewaskan PJ City FC 3-1 pada aksi keempat Liga Super 2021 selain menjaringkan satu gol pada perlawanan tersebut.

Lebih menarik perhatian ialah pemain yang telah pun beraksi bersama Kedah sejak 16 tahun lalu meraikan jaringan pertamanya musim ini dengan membuka jersi dan menunjukkan logo sayangkan kelab tersebut pada bajunya.

Jelasnya, mesej tersebut disampaikan kepada semua penyokong KDA FC dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka kerana sentiasa menyokong pasukan selama ini.

"Idea ini memang saya mahu bawakan pada musim baru ini. Isteri saya yang membantu melukisnya dan anak saya pula membantu mewarnakannya," katanya.

Menurutnya, KDA FC adalah sebuah pasukan lain daripada lain dan keharmonian bertambah baik sejak kehadiran Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Baddrol bagaimanapun berkata, Hijau Kuning perlu terus meningkatkan lagi momentum dan memperbaiki lagi ruang dan kelemahan yang ada untuk berdepan lebih banyak kelab yang kuat dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.

KDA FC bakal bertemu UiTM FC pada aksi Liga Super seterusnya di laman lawan pada Sabtu.

 

18 Mar 2021, 20210318
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
https://www.sinarharian.com.my/article/128998/BERITA/Sukan/Terima-kasih-kritik-saya-Baddrol