بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


 

NIK AHMAD FAIZ NIK ABDULLAH (BADMINTON)

Tarikh lahir : 19 Januari, 1980

Tempat lahir : Kota Bharu, Kelantan

Profesion : Penuntut universiti, pemain badminton

Pencapaian : Tempat ketiga Kejohanan Antarabangsa Remaja Asia 1995 (beregu), naib juara MSSM 1996, 1997, 1998 dan juara beregu MSSM 1998.

WALAUPUN sudah lapan tahun serius dalam badminton antarabangsa, Nik Ahmad Faiz Nik Abdullah masih belum memiliki sebarang gelaran yang benar-benar membanggakan. Namun pemain kelahiran Kelantan itu percaya masanya akan tiba untuk dia bergelar juara.

Faiz, 21, masih tidak berputus asa meskipun pernah tersingkir daripada akademi Badminton Malaysia (BAM) selepas diterima masuk untuk sesi pertama dari 1993-1996.

"Kalau bukan sekarang, esok masih ada. Saya sentiasa percaya di mana ada usaha di situ ada kejayaan,'' kata penutut tahun dua di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

"Memang saya menyesal kerana tidak bersungguh-sungguh ketika berada dalam Akademi, maklum ketika itu usia saya masih muda dan saya tidak begitu serius memikirkan rancangan dan masa depan,'' katanya lagi, yang pernah berpasangan dengan Hafiz Hashim dalam acara beregu.

Meskipun usaha Faiz untuk merakamkan kejayaan pertama pada kejohanan antarabangsa masih belum tercapai apabila tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tunduk 7-1, 6-8, 7-2, 7-4 kepada Indra Wijaya dari Indonesia semalam, dia tetap berpuas hati dengan pencapaiannya.

Menurut Faiz, dia sebenarnya sudah pun melepasi sasaran sebenar _ untuk beraksi pada perlawanan sebenar selepas tiga kali mencuba.

"Ini adalah penyertaan ketiga saya dalam Terbuka Malaysia, walaupun kandas pada pusingan awal ia sebenarnya pencapaian terbaik saya setakat ini. Saya tidak pernah melepasi pusingan kelayakan dalam dua kejohanan terdahulu,'' katanya lagi.

Faiz yang kini menjalani latihan di Stadium Badminton KLBA, Cheras berkata, dia turut berazam untuk memburu tempat dalam skuad kebangsaan satu hari nanti, meskipun sedar peluangnya amat sukar dengan kehadiran begitu ramai pemain pelapis yang berbakat dalam akademi ketika ini.

"Beberapa pemain seangkatan saya sudah berjaya seperti Chan Chong Ming dan Jeremy Gan, kadang saya rasa sedih juga sebab peluang saya masih jauh tetapi saya akan terus berusaha untuk memburu tempat sebaris mereka.''

Penyingkiran awal pada Terbuka Malaysia memberikan lebih masa buat Faiz untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi Kejohanan Terbuka Singapura, Ogos depan, di mana dia meletakkan sasaran layak ke pusingan pertama dalam kejohanan yang disertainya buat kali pertama.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz45ukE1UbW
© Utusan Melayu (M) Bhd

*** 20 Januari 2001, 20010120 ***


~~~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih