KOTA BHARU 16 Ogos - Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 19, yang kini menuntut dalam bidang fizik di Universiti Sains dan Teknologi Jordan berhasrat untuk bertukar tempat pengajian ke United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, hasrat itu kerana dia melihat peluang lebih luas wujud di negara berkenaan yang lebih kerap membuat penemuan-penemuan baru dalam bidang sains dan teknologi.
"Tidak dinafikan memang saya yang memohon menyambung pelajaran di sana (Jordan) tetapi selepas setahun, apa yang boleh dikatakan saya rasa masa muda perlu dipacu lebih laju apatah lagi dengan dana Bank Negara Malaysia (BNM), saya harus memanfaatkan itu semua.
"Dengan menempatkan diri lebih awal bersama saintis-saintis di negara yang berpaksikan sains dan teknologi, ia lebih membantu saya mendepani perkembangan terkini dalam bidang itu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.
Nik Nur Madihah pulang ke rumah lama ibu bapanya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa di sini kerana cuti semester musim panas selama tiga bulan bermula 4 Julai lalu.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) itu, sekiranya diberi peluang dia berhasrat melanjutkan pengajian ke negara Barat sebaik sahaja cuti semester berakhir pada pertengahan September ini.
Hasrat bertukar universiti itu, katanya, sudah disampaikan kepada BNM yang menaja pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Fizik Gunaan di Jordan dan menyerahkan kepada budi bicara penaja sama ada bersetuju dengan cadangan tersebut atau sebaliknya.
Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai cadangan hendak bertukar pusat pengajian ke Barat kerana bimbang disalah erti oleh sesetengah pihak atau menimbulkan kontroversi.
"Pengajian di sana (Jordan) baik-baik sahaja, malah dalam keputusan peperiksaan pada semester lepas, saya mengekalkan prestasi sedia ada dan tidak timbul masalah untuk meneruskan pengajian, namun saya mencari kepuasan untuk bersaing," ujarnya.
Faktor ketiadaan rakan-rakan senegara dalam bidang yang sama juga antara penyebab dia mahu 'bertukar angin' ke negara lain.
"Pelajar Malaysia di sana mengambil bidang perubatan atau syariah dan hanya saya seorang yang mengambil fizik, jadi saya tidak mempunyai rakan diskusi atau kumpulan belajar dari negara yang sama," katanya.
Kejayaan Nik Nur Madihah dalam SPM mendapat perhatian banyak pihak apabila dia mencatat sejarah pencapaian tertinggi dengan memperoleh 19A1 dan 1A2 walaupun kehidupannya dilingkari kemiskinan.
Kejayaan itu membuka mata banyak pihak termasuk kerajaan negeri apabila menghadiahkan sebuah rumah teres setingkat di Taman Perumahan Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa dianggarkan bernilai lebih RM100,000.
Bagaimanapun, Nik Nur Madihah dan keluarganya masih tinggal menyewa di rumah lamanya kerana mahu memberi laluan kepada adik bongsunya, Nik Nur Ain Amirah, 12, mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah berhampiran.
Sementara itu, cuti selama tiga bulan dimanfaatkan oleh Nik Nur Madihah dengan menerima jemputan mengadakan ceramah dan lebih 20 sekolah menengah dan rendah serta masjid telah dikunjunginya.
Sumber: Utusan Malaysia, 17 Ogos 2010
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.