BERTUBUH pendek, tegap, berwarna keperangan dan berkaki kontot merupakan antara ciri-ciri fizikal badak sumbu Sumatera yang semakin dihimpit kepupusan.
Ia merupakan satu satu daripada lima spesies badak sumbu yang kini semakin diancam kepupusan.
Empat lagi spesies ialah badak putih, hitam, India dan Jawa.
Badak sumbu Sumatera berbulu halus merupakan yang paling kecil dalam keluarga badak.
Malah ia juga berada dalam kategori paling terancam sehingga hanya terdapat kira-kira 150 ekor sahaja mamalia berkenaan di Sumatera, Indonesia. Manakala kurang daripada 40 ekor terdapat di Borneo.
Diburu Pemburu Haram
Punca utama bilangan haiwan itu makin berkurangan ialah dibunuh oleh pemburu-pemburu haram yang mahu mendapatkan tanduknya.
Kononnya tanduk badak sumbu yang terbentuk daripada fiber keratin mampat mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.
Walaupun tidak ada kajian saintifik yang menyokong dakwaan itu, namun badak-badak sumbu di seluruh dunia terus diburu dan dibunuh walaupun ada negara yang mengenakan hukuman cukup berat terhadap pemburu haram.
Salah satu cara untuk memastikan kelangsungan atau survival mamalia unik itu ialah dengan mewujudkan pusat perlindungan.
Salah satunya ialahhasil inisiatif kerajaan Sabah yang mewujudkan Santuari Badak Sumbu Borneo melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.
Matlamatnya ialah memastikan spesies ini tidak pupus.
Salah satu NGO yang menyokong usaha kerajaan Sabah itu ialah Yayasan Sime Darby yang baru-baru ini telah membawa sekumpulan petugas media meninjau pusat perlindungan yang terletak di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, kira-kira 45 kilometer dari pekan Lahad Datu, Sabah.
Terdapat tiga ekor badak sumbu Sumatera yang menghuni Santuari Badak Sumbu Borneo. Ketiga-tiganya diberi nama Kertam atau Tam, Puntung dan Gelogob.
Peluang mendekati dan bermesra dengan mamalia mamalia herbivor tersebut turut mengubah persepsi terhadap haiwan berkenaan.
Jika dilihat pada fikizalnya, memang agak menggerunkan. Sebab itu ramai yang menyangka ia dari spesies haiwan yang ganas. Lebih-lebih lagi apabila melihat tanduk atau sumbu yang terletak di bahagian hidungnya.
Tetapi setelah didekati ternyata ia tidak seperti yang disangka. Badak sumbu, terutama yang terdapat di Santuari Badak Sumbu Borneo amat.
Satu persatu makanan yang dihulur bergilir-gilir oleh kumpulan media yang hadir, dimakan sambil sesekali terdengar dengusan kuat ketika haiwan tersebut bernafas.
Tam yang seberat 708 kilogram (kg) memikul tanggungjawab untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan spesies berkenaan.
Ia merupakan penghuni pertama di pusat perlindungan itu setelah diselamatkan pada Ogos 2008.
Tam ditemui berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin dengan kecederaan di bahagian badan dan kaki.
Puntung pula yang mengalami kecacatan di bahagian kaki kiri akibat terkena jerangkap samar mula dipantau di persekitaran semulajadinya sejak 2007.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun ia didapati bersendirian di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran pusat berkenaan.
Pada hujung Disember tahun lalu, Puntung yang berusia 12 tahun dibawa ke pusat berkenaan berkenaan dengan menggunakan helikopter.
Gelogob pula telah dibawa ke pusat perlindungan berkenaan dari Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Kota Kinabalu pada 2010.
Selain Yayasan Sime Darby, antara yang terlibat secara langsung dalam program pemuliharaan badak sumbu Sumatera di pusat itu ialah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Borneo Rhino Alliance (Bora) dan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Masalah kesuburan
Pengarah Eksekutif Bora, Datuk Dr. Junaidi Payne berkata, haiwan tersebut kini berhadapan dengan masalah kepupusan kerana sering diburu bagi mendapatkan tanduknya.
Tetapi ancaman paling serius ialah mamalia itu kini tidak lagi membiak.
"Jumlah mamalia ini amat kecil dan ia telah dikategorikan sebagai spesies haiwan paling terancam di dunia."
"Berbanding dahulu di mana badak sumbu Sumatera diburu kerana tanduknya, tetapi kini masalah utama yang dihadapi spesies ini adalah ia tidak membiak lagi," katanya.
Masalah itu katanya, semakin serius kerana kekurangan badak sumbu Sumatera betina yang mempunyai tahap kesuburan untuk membiak kerana dimamah usia atau berkeliaran bersendirian tanpa kumpulan.
Katanya, dianggarkan kira-kira lima atau enam ekor badak sumbu Sumatera betina sahaja yang subur di Borneo untuk pembiakan bagi memastikan kelangsungan hidup spesies berkenaan.
Bagaimanapun, penemuan Puntung memberi harapan baru bagi merealisasikan kelangsungan hidup badak sumbu Sumatera dengan menyatukannya bersama Tam.
Pengurus Lapangan Bora yang bertindak sebagai pakar veterinar, Dr. Zainal Zahari Zainuddin, berkata, pemantauan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum menyatukan Puntung bersama Tam.
"Teknologi terkini seperti penggunaan gelombang ultra bunyi, pengambilan sampel darah, penggunaan pewangi dan sebagainya mampu memastikan tahap keberkesanan pembiakan spesies badak sumbu Sumatera."
"Selain itu, ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru dalam menyatukan kedua mamalia ini. Jika dipaksa kedua-duanya akan bertindak agresif antara satu sama lain atau Puntung mungkin akan menghindarkan diri dari Tam," katanya.
Buat masa ini, Dr. Zainal Zahari berkata, Puntung menunjukkan reaksi positif.
Tambahnya, badak sumbu Sumatera betina akan mencecah kematangan mengawan antara usia enam hingga tujuh tahun. Manakala badak sumbu jantan pula adalah pada usia 10 tahun.
Proses pembiakan badak sumbu Sumatera pula mengambil masa kira-kira 15 hingga 16 bulan. Setiap badak sumbu betina yang subur mampu melahirkan anak setiap tiga tahun sekali.
Namun sayangnya, Gelogob yang sudah dimamah usia (kini 30 tahun) tidak boleh membiak lagi dan turut cacat penglihatan.
Secara purata menurut Dr. Zainal Zahari, jangka hayat mamalia tersebut hanya mampu mencecah 35 hingga 40 tahun.
Setiap daripadanya mampu membesar sehingga 1.5 meter tinggi dan tiga meter lebar serta mencapai berat 950 kilogram apabila meningkat dewasa.
Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar HAFIZ JOHARI
(Yang mengikuti lawatan Yayasan Sime Darby ke Santuari badak sumbu Borneo di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini)
Artikel Penuh:http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_aa.htm#ixzz46trcGqwY
Utusan Melayu (M) Bhd
20120216
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.