Kandungan: Bulatan Penyu di Kuala Terengganu, Arwah Tokki Master bawa balik telur penyu, Kenapa telur penyu haram?, Cara masak telur penyu, Cara makan telur penyu, Rasa telur penyu, Telur penyu di Pulau Kapas.
Penyu adalah haiwan yang agak dekat di hati Master kerana beliau dilahirkan di negeri dan daerah di mana penyu bertelur di Malaysia iaitu di daerah Marang dalam negeri Terengganu.
Pantai yang menjadi pilihan penyu untuk mendarat itu ialah Rantau Abang.
Bulatan Penyu di Kuala Terengganu
Master bercerita pada suatu masa dahulu ada monumen seekor penyu di bulatan jalan di Kuala Terengganu, mungkin namanya ialah Bulatan Ladang. Setiap kali melewati jalan itu pasti Master dan adik-adiknya akan mengintai jika ada telur penyu di bawah monumen tersebut.
Kini monumen itu telah tiada dan digantikan dengan arca Batu Bersurat semenjak PAS mengambil alih kerajaan negeri Terengganu tidak pasti pada tahun berapa. Master tidak bersetuju dengan perobohan itu kerana Master tidak pernah menemui alasan yang munasabah di atas penggantiannya. Adakah kerana replika penyu itu patung haiwan? Master tidak pasti. Atau adakah di atas faktor usia? Kenapa digantikan dengan Batu Bersurat? Untuk menampakkan ke-Islaman negeri? Apakah cukup menampakkan Islam pada monumen?
Sedangkan negeri Kelantan kita ketahui banyak patung berhala tokong Siam yang besar-besar, ada berbaring, ada duduk, ada yang berdiri nampak dari kejauhan. Terjejaskah Islam negeri Serambi Mekah itu?
Kini tiada lagi monumen yang menjadi kenangan Master dan adik-beradiknya semasa kecil.
Arwah Tokki bawa balik telur penyu
Arwah Tokki Master (Tokki Ali) adalah nelayan dan pada masa dahulu kadangkala arwah akan membawa balik telur penyu menjadi santapan anak cucu ketika cuti sekolah.
Ketika itu telur penyu belum diharamkan.
Kenapa telur penyu haram?
Maksud pengharaman tersebut adalah atas aktiviti penjualan telur penyu. Ini adalah untuk melindungi penyu yang semakin pupus.
Telur penyu tidaklah haram dimakan dari sudut agama Islam, tetapi barangkali boleh juga jika memakan telur penyu akan memudaratkan populasi penyu?
Cara masak telur penyu
Master kata telur penyu yang dibawa balik arwah tokki Ali akan direbus. Tidak seperti telur ayam, telur penyu tetap lembik walaupun selepas direbus.
Master tidak pastilah jika rebusan telur penyu itu adalah suku masak atau separuh masak... rasanya tidak, memang telur penyu tetap lembik selepas direbus.
Cara makan telur penyu
Cara memakan telur penyu rebus adalah dengan menebuk lubang pada kulit telur penyu masak itu sebelum disedut isinya yang lembik dan kenyal.
Sebenarnya boleh dikatakan bahawa kulit telur penyu itu dikoyakkan kerana kulitnya tidak keras seperti telur ayam tetapi lembut, dan liat.
Rasa telur penyu masak
Bagaimana pula dengan rasa telur penyu masak tersebut? Master kata rasanya lemak masin, memang sedap, tidak dapat diucapkan bagaimana rasanya.
Tidaklah rasanya masin seperti telur masin yang biasa kita beli.
Mungkin rasanya masin seperti bayu laut yang ditiup angin dan melekat di bibir.
Telur penyu di Pulau Kapas
Selain dibawa balik Tokki, pak long kepada Master juga pernah membawa balik telur penyu yang mendarat dan bertelur di tanah beliau di Pulau Kapas.
Buat yang tidak mengetahui di mana Pulau Kapas, ia adalah sebuah pulau kecil di dalam daerah Marang di Terengganu. Terletak bersebelahan Pulau Gemia yang lebih eksklusif iaitu lebih mahal untuk diduduki. Bagi orang yang pandai berenang boleh berenang di antara dua buah pulau ini kerana ia memang berdekatan.
Bagi para nelayan kecil yang keluar menangkap ikan, Pulau Kapas menjadi tumpuan untuk melabuhkan bot mereka apabila berlindung daripada ribut.
Arwah Tokki Master penah menurunkan Master di sana bersama Tokki dan Tok Su kerana mereka bertiga mabuk laut semasa mencandat sotong. Pada masa itu Master dapat menyaksikan para pelancong berhibur sambil mengelilingi unggun api. Malangnya agak mustahil untuk Master tidur kerana serangan nyamuk.
Punca kepupusan penyu
Hampir semua spesies penyu laut dikelaskan sebagai TERANCAM.
Berikut ialah beberapa punca kepupusan penyu:
- Penyu laut dibunuh untuk telur, daging, kulit, dan cengkerang mereka. Penyu laut menderita akibat pemburuan haram dan eksploitasi berlebihan.
- Penyu laut juga menghadapi kehilangan habitat. Tepi pantai mungkin dibangunkan untuk aktiviti pelancongan seperti perhotelan, atau untuk didiami manusia.
- Penyu laut terperangkap dalam alatan penangkapan ikan secara tidak sengaja.
- Perubahan iklim memberi impak pada tempat penyu bersarang.
- Pencemaran seperti pembuangan sampah ke laut menyebabkan penyu laut mati tercekik kerana makan plastik yang disangkakan obor-obor.
Karangan ini mula diterbitkan pada 20120911 dengan tajuk "Haiwan: Penyu" dengan memuatkan gambar penyu, kemudian dikemaskini pada 20200520 dengan tajuk "Penyu dan kami" berkisar perkongsian kenangan Master bersama penyu.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.