Hari ini Tedi bengang.

Bengang kerana Tedi telah terdengar 2 orang DJ radio popular di Malaysia mengatakan peribahasa "Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang" sudah tidak relevan lagi.

Jika kawan-kawan tak tahu maksud kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang ialah: "Kalau terjadi sesuatu hal mesti ada sebab-sebabnya."

 

Apa kes?

Mereka berkata begitu atas skop "sesuatu berita itu boleh jadi daripada sumber palsu. Maka kita tidak boleh la percayakan sesuatu sebab kita dengar saja".

Kata mereka, boleh jadi pokok itu tidak bergoyang kerana angin, mungkin ada orang yang goyangkan.

  • Betul kata mereka. 
  • Tapi peribahasa "kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang" tidak silap

Kita tak boleh berfikiran sempit dalam menjelaskan sesuatu peribahasa. Orang zaman dahulu bukannya bodoh!

Sekarang Tedi ingin menafikan dakwaan mereka itu dalam skop "berita" seperti apa yang mereka bincangkan.

 

"Angin" adalah kata kunci

Angin adalah kata kunci bagi peribahasa ini. Kenapa?

  1. Sebab angin ini sifatnya menyerang dari segala sudut dan menyeluruh. Sebab itu angin itu mewakili maksud "sebab-sebabnya" (dalam peribahasa itu, angin adalah punca pokok bergoyang).
  2. Jika angin yang menggoyangkan pokok, bukan sebatang pokok saja bergoyang, tetapi pokok-pokok lain juga akan menerima tempias. Jika manusia yang goyangkan pokok, dia hanya mampu goyangkan sebahagian pokok sahaja (kalau setakat pokok pandan, baik tak payah).
  3. Serangan angin itu dalam volume yang banyak.
  4. Angin tidak kelihatan. Apabila pokok tiba-tiba bergoyang mesti ada angin, kerana apabila pokok bergoyang, manusia mesti melihatnya dan jika tiada apa kelihatan, manusia tahu itu tanda ada angin. Di sini menunjukkan kesamaran kerana sifat angin yang tidak kelihatan tetapi ada tanda kewujudannya apabila pokok bergoyang.
  5. Peribahasa ini lari maksudnya jika ditulis "jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang" atau "kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang" kerana menunjukkan kepastian kepada punca berlakunya sesuatu perkara.
  6. Peribahasa ini menggunakan angin dan pokok sebagai metafora kepada punca berita dan berita.
Peribahasa ini apabila menggunakan angin menunjukkan "pokok" itu bukanlah sebatang pokok tapi mewakili banyak pokok.
Gambar sekadar untuk hiasan
http://buttermilk-pancake.blogspot.com/ 
 

Maksudnya apa dalam skop "berita"?

  • Maksudnya kalau ada banyak sebab (punca) berita itu mungkin ada yang betul. 
  • Tugas kita adalah untuk cari sebab-sebabnya dan tidak terus percaya membuta-tuli. Ini digambarkan dengan banyaknya pokok bergoyang dan goyangannya adalah menyeluruh. Bukan ranting-ranting tertentu sahaja yang bergoyang.

Relevankah peribahasa ini bagi skop "berita" dalam zaman rangkaian sosial?

  • Sangat relevan kerana peribahasa ini menyatakan mesti ada sebab-sebab (punca-punca) kepada sesuatu berita.
  • Ia tak kata sebab-sebab itu mestilah benar.
  • Namun jika banyak sebabnya, mungkin berita itu benar. Contoh, kalau orang hanya retweet, atau repost, atau reshare sesuatu berita tanpa saksikannya, berita itu mungkin tak benar, tapi jika ramai orang yang menyaksikannya dan melaporkannya, berita itu hampir mustahil tak benar. Saksi-saksi ini adalah sebab/punca kepada berita itu.

 

Sekian Tedi mengarut.

Harap Master tak marah kalau Tedi merosakkan bahasa kebanggaan Master.

 

Bina ayat / contoh ayat

Contoh ayat untuk peribahasa "kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang" selalunya digunakan dalam pembuktian berita.

  1. "Benarkah kamu tidak terlibat dalam pencerobohan itu? Banyak khabar mengatakan kamu adalah dalangnya. Kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang!", soal laksamana kepada peniaga itu.
  2. Sultan menitahkan Laksamana menyiapkan angkatan tentera kerana banyak desas-desus lanun bakal menyerang. Baginda percaya kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.
  3. Pasukan bola sepak itu menafikan akan memecat pengurus mereka tetapi tidak dipercayai para wartawan kerana kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.
  4. SPRM akan menyiasat berita penyalahgunaan kuasa itu walaupun tiada laporan dibuat kerana kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.

 


Nota

  1. Penulisan yang betul bagi peribahasa ini ialah "kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang" dan bukannya "kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang".
  2. Peribahasa ini turut ditemui sebagai "kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang".
  3. Tidak perlu ditulis "kalau tiada angin bertiup, masakan pokok bergoyang kerana "angin" bermaksud "udara yang bergerak". Boleh digunakan jika mahu jelaskan sifat angin seperti "angin bertiup kencang", "angin bertiup perlahan". Boleh rujuk [T21G29] Angin dalam Bahasa Melayu.

Rujukan

 

20130522