Usai membasuh kedua-dua belah kakinya, pemuda itu memberi salam dan segera masuk.

Ada kena-mengena ke ni? Tapi dah Tedi Bing.com jumpa yang ini, ada la tu kot? Hahaha. Nak letak gambar Anuar Zain macam tak sesuai la pulak, kan?
Curi gambar: "Ego lelaki surirumah"

Langkah kanan didahulukan di ambang pintu, diikuti kumat-kamit mulutnya membaca doa masuk masjid.
"Ya Allah, bukakanlah untukku daripada pintu-pintu rahmat-Mu"
Walaupun ketika itu dia hanya berada di surau, namun dia tetap mengiktiraf tempat itu sebagai masjid kerana masjid itu bermaksud, "tempat orang sujud."

Kemudian dia berniat iktikaf sebelum mencari tempat yang kosong. Surau itu sesak, tidak seperti kebiasaannya. Sebelum ini surau itu sangat lapang dan selesa untuk beribadat di dalamnya. Namun kini, suasana nyata berbeza, ditambah dengan riuh-rendah suara manusia. Lebih-lebih lagi makcik-makcik di belakang yang mungkin baru kini bersua jiran tetangga. 

Pot pet, pot pet, macam pasar dibuatnya. Namun itu perkara biasa, di mana-mana surau seperti di pejabatnya, perkara itu juga yang berlaku. Puas dia batuk-batuk, atau berdehem-dehem, langsung mereka tak faham. Lebih mengharukan apabila topik perbualannya adalah gosip pejabat.

Nah, di sana ada satu ruang cukup untuk dirinya.


Pemuda itu melangkah ayu, eh, sopan, sedaya-upaya cuba mengelakkan kakinya melangkah tinggi melepasi bahu. Amat jelik baginya melintasi bahu saudara seagama yang sedang duduk menanti masa bertemu Allah. 

Dia tahu tidak berhak baginya melangkah ke hadapan kerana di kelewatan, namun halangan itu terbatal dengan sendirinya kerana tiada siapa mahu memenuhkan ruangan itu.

Sampai sahaja di kawasan itu, dia segera melaksanakan solat sunat tahiyyatul masjid. Walaupun ada pendapat tak perlu dilaksanakan di surau, namun baginya tempat menyembah Allah subhanahu wa ta'ala sewajarnya dihormati.

Itupun bukan mudah untuk dia beristiqamah dengannya. Ini semua hasil teladan kawan-kawannya di kampung yang melaksanakan ibadah sunat ini secara berterusan sehingga dia jadi malu kerana bersenang-lenang tatkala kawan-kawannya mengejar pahala ibadah.

Tidak lama selepas dia memberi salam, muazzin melaungkan azan.


Selesai berdoa, dia bersedia untuk menunaikan solat qabliyah, namun tiada ruang baginya. Kawasan hadapannya terhalang oleh manusia yang duduk di situ. Tiada siapa yang bangun untuk menunaikan solat sunat itu kecuali pakcik tua di sebelah kirinya. Dia mengenali pakcik itu sebagai imam tua di surau itu. Tidaklah kenal rapat, namun adalah mereka berbual apabila si pemuda tiba-tiba tergerak hati berjemaah di surau itu.

Terbantut hasratnya. Dia duduk menanti iqamah dilaungkan pula.

Imam Tua itu menyudahkan solatnya. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan si pemuda. Pemuda itu menyambut sambil tersenyum.
"Orang kita ni, beribadat tanpa ilmu!", tiba-tiba Imam Tua bersuara.
Pemuda itu diam sambil menunggu penjelasan Imam Tua.
"Solat tarawikh ni sunat, tapi solat sunat rawatib ni sunat muakkad. Dia tampal solat fardhu kita."
Pemuda itu terkedu. Telinganya panas. Berdesing dirasakannya. Dia merasakan Imam Tua itu menyindirnya.
"Tapi itulah kita, beramal main ikut-ikut. Tak mahu belajar. Tak mahu mengaji."
Keegoan pemuda itu tercabar! Berani Imam Tua itu mengatakan dia main ikut-ikut? Bukannya dia tak tahu kelebihan solat sunat rawatib, juga tuntutan untuk melaksanakannya. Cuma keadaan tidak membenarkan.

Namun dia mengucap panjang, dan tersenyum. Itu adalah teguran daripada Allah subhanahu wa ta'ala dan Imam Tua itu hanya menghantarnya.

Dia memujuk hati dan mengiyakan kebenaran kata-kata Imam Tua itu, walaupun ianya pedih menusuk hati. Dia perlu meletakkan dirinya rendah dan terima teguran yang diberi, bukannya mendabik dada dan cuba menegakkan kebenaran yang jika terbukti pun, hanya sia-sia.

Kadangkala kita kena terima salah-faham orang lain, demi menjaga ukhwah. Dia tahu, Imam Tua itu ikhlas, cuma mungkin metodologinya tidak seiring dengan zaman siber ini. Tapi itu tidak penting kerana seorang murid yang dahagakan ilmu, akan lapangkan dadanya untuk menerima apa yang bakal diajarkan gurunya.

Hatinya mula sejuk. Itulah ego seorang lelaki.