Surah Al-'Araf: Ayat 194-198

Hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala yang layak disembah kerana Dia-lah Pencipta seluruh alam. Kenapa manusia harus menyembah selain daripada-Nya yang hanya sekadar makhluk serupa dengan keadaan manusia itu sendiri. Apatah lagi berhala-berhala yang kaku, buta, bisu, pekak, tidak dapat menolong diri mereka sendiri apatah lagi manusia. Entah-entah, berhala itu sendiri berdukacita kerana dizalimi oleh kesesatan manusia.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Penyayang.
Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar. (194) 
Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya? Katakanlah (wahai Muhammad): Panggillah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi. (195) 
Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dialah jua Yang Menolong dan Memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan (196) 
Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri. (197) 
Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat. (198) 
Benarlah kata-kata Allah Yang Maha Agung.
20130727