Tedi terjaga pada awal pagi.

Jam baru menunjukkan 03:46. Awal benar Tedi terjaga pada hari ini, hari Jumaat, penghulu segala hari.

Tedi ambil kesempatan mencoret dalam interpretZZ, menggantikan helaian yang tidak diisi semalam.

Fesyen yang sungguh cool, kalau buat fesyen Tedi mesti lagi cool.


***

Pegawai bank AmBank USJ 2 ditembak di muka

Tedi tahu mengenai kes ini pagi semalam, apabila kiriman Tedi yang bertajuk, "Staff AmBank Amcorp Mall yang sungguh bongkak" tiba-tiba sahaja dilawati pembaca baru melalui enjin carian.

Ini rupanya sebab ramai pembaca singgah di interpretZZ! Gabungan tajuk "Staff AmBank Amcorp Mall yang sungguh bongkak" ditambah dengan "Sang Kibas mati ditembak manusia durjana" ... manakala "Jangan ambil pak guard tidak fit" itu entah datang dari mana, Tedi pun tak tahu.

Rupa-rupanya melalui berita daripada corong radio, barulah Tedi tahu ada kakitangan AmBank yang ditembak oleh security guard (pengawal keselamatan) yang diupah oleh bank itu sendiri.

Apabila berbual dengan kawan-kawan, mereka kata si suspect, iaitu si pengawal keselamatan itu menembak mangsa selepas mangsa membuka pintu peti keselamatan dalam bilik kebal. Suspek kemudian melarikan wang dan dikatakan telah ditangkap di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ketika suspek mahu balik ke Tawau, Sabah.

Melalui bacaan di blog kawan-kawan pun, berita sama dihidangkan.

Tapi apabila Tedi semak melalui Google News, ternyata berita itu tidak benar sama sekali, suspek masih bebas dan usaha memburunya sedang giat dijalankan sehingga jam 10 malam tadi, manakala suspek juga dikhabarkan menggunakan kad pengenalan palsu. Tedi tak simpan pula link berita tersebut.

Anak sulung mangsa, Nurnisa Nabila Irwan, 12 tahun, dipujuk ahli keluarga ketika menunggu di Serdang Hospital. (Foto NSTP oleh Azmaidi Abidin)


Suami mangsa pula meminta orang ramai supaya tidak sebarkan foto dan video mangsa sebagai menghormati kesedihan yang dialami keluarga mereka, manakala kerajaan pula khabarnya telah menarik lesen yang diberikan kepada syarikat yang menggaji suspek. Kawan-kawan patut hormati rayuan suami mangsa ini, walaupun sejarah takkan mungkin dipadamkan.

Adakah langkah kerajaan ini bersifat sementara? Tedi rasa bermungkinan besar jadi begitu kerana bos syarikat keselamatan itu mungkin di kalangan "kawan-kawan" para pemimpin Malaysia yang tercinta. Kita sedia maklum di Malaysia ini semuanya berkitar di sekeliling orang politik.

Tapi takkanlah kita nak biarkan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga pula, kan? Mungkin ramai pengawal keselamatan yang baik-baik dalam syarikat tersebut akan terjejas dek langkah ini. Kita berserah kepada Allah subhanahu wa ta'ala kerana hanya Dia yang Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Ketika ini apa yang bermain di benak fikiran Tedi ialah kenapa AmBank yang gah itu tiada unit keselamatan mereka sendiri? Cakap senang la kan? Mungkin dari segi perniagaan, punyai unit keselamatan sendiri tidak menguntungkan. Tambahan kalau jadi kes seperti ini, susahlah AmBank nak buat sebarang tuntutan atas kerugian. Takkan nak tuntut kepada unit sendiri, kan?

Jadi mungkin persoalan Tedi itu tidak relevan sama sekali. Bolehlah diabaikan.

Mari kita sedekahkan al-Fatihah kepada mangsa.

***

Banyaknya motosikal polis

Panjang pula Tedi berceloteh, padahal sebenarnya Tedi nak cerita yang Tedi dengar berita tu melalui radio je.

Itu semasa pada awal perjalanan ke pejabat Mommy, selepas kami hantar Mommy, seperti biasa kami melalui DUKE untuk ke Gombak.

Macam ni lah rupa polis trafik tu berkonvoi, tapi lebih ramai daripada ini. Nak kata ada iring siapa-siapa, Tedi tiada nampak pula kenderaan yang gah, cuma kereta peronda Proton Preve di depan dan van dan juga sebuah trak (bukan trak bawa tahanan) di bahagian belakang. 

Mula-mula Master memecut, tapi tiba-tiba DUKE sesak! Itu memang luarbiasa kerana tiada ramai manusia yang sanggup lalu di DUKE dengan tol RM2 (dua ringgit sahaja) sekali tol.

Rupa-rupanya ada polis bermotosikal sedang konvoi. Tedi jangka ada lebih 50 motosikal. Mereka gunakan ketiga-tiga lorong lebuhraya, jadi kami terpaksa membontoti mereka.

Ada apalah agaknya ya? Mereka kelihatan menuju ke arah Kuantan kerana mereka melepasi tol Gombak.

Mungkin nanti akan ada berita mengenai mereka.

***

Singgah Touch 'N Go untuk ambil surat tawaran kerja


Tedi tak pasti sama ada Tedi pernah maklumkan yang Master akan bertukar kerja. Master pergi temuduga pada Jumaat sebelum Eidul Adha yang baru berlalu.

Alhamdulillah, semalam Master telah dimaklumkan yang dia boleh ambil offer letter (surat tawaran kerja) mulai hari ini. Bakal majikan Master ialah Touch 'N Go.

Kad Touch 'n Go bercorak naga edisi terhad

Bila Tedi tanya Master sama ada dia benar-benar nak pindah, dia cuma kata kali ini dia tidak keberatan, dia cuma ikut perancangan yang telah ditetapkan Allah subhanahu wa ta'ala.

Telah banyak kali dia pergi interview, namun interview terakhir ini sahaja yang Master lakukan solat istikharah (selain sebelum temuduga untuk kerja Master sekarang). Itu menunjukkan yang Master mungkin serius nak bertukar kerja.

Istikharah, kata Master, bukanlah meminta keputusan daripada Allah subhanahu wa ta'ala, tapi sebaliknya menyerahkan keputusan kita kepada Dia kerana hanya Allah subhanahu wa ta'ala yang Maha Mengetahui atas setiap sesuatu.

Semoga kerja ini adalah yang baik untuk agamanya, dirinya, keluarganya, dan sesungguhnya hanya Allah subhanahu wa ta'ala yang lebih mengetahui. Amin.

Jam sudah jam 05:20, hampir 2 jam juga Tedi mencoret... erm...


25 Oktober 2013