Hari ini Tedi ada terjumpa beberapa gambar yang mengaitkan Surah Yasin dengan MH 370.

Di antaranya ia menyebut Surah Yasin ada 83 ayat dan kejadian berlaku pada 8 Mac.

Tedi tak setuju dengan gambar tersebut. Tapi Tedi agak kagum dengan mereka yang mengutarakan "fakta" sedemikian. Mungkin Tedi jahil berbanding mereka.

Tapi Tedi tetap tak bersetuju dengan mereka.

Kerana apa?

gambar post komen mengenai surah Yaasin dan kaitannya terhadap nahas MH370
Gambar komen kononnya hubungan di antara ayat 41 Surah Yaasin dengan nahas MH 370. 

 

Ayat Al-Quran bukan untuk menilik.

Memang benar al-Quran itu mukjizat Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam dan banyak perkara dalam al-Quran yang selari dan terbukti dengan sains.

Itulah dia sebabnya! Al-Quran sesuai sepanjang zaman. Bukan hanya pada 8 Mac sahaja! Apa kejadah mereka yang mereka-reka perkara sedemikian?

Adakah jika ada kapal yang tenggelam tidak pada 8 Mac maka ia menunjukkan Al-Quran tidak benar?

Atau adakah dengan mengira bilangan ayat atau kedudukan nombor ayat dalam sesebuah surah yang menceritakan mengenai sesuatu perkara, kita boleh tilik kejadian masa depan?

Kalau begitu silalah tilik bilakah kiamat akan berlaku?

Perkara menilik dengan nombor ini tentunya bukan ajaran Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam, maka sila jangan menghina al-Quran dengan perbuatan berkongsi perkara sebegini.

Al-Quran itu sesuai sepanjang zaman, setiap masa, dengan setiap makhluk-Nya.

Cuma mereka yang mendapat hidayah akan dapat menerima ajaran di dalamnya.

 

Surah Yasin 41-44

 Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat; (41) Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya. (42) Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka dan mereka juga tidak dapat diselamatkan; (43) Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa. (44)

Ayat ini sesuai untuk kita semua setiap masa setiap ketika. Pada zaman dahulu kala ramai pelayar Islam berani melayari bahtera di lautan luas tidak berpenghujung kerana yakin bahawa Allah subhanahu wa ta'ala menguasai segalanya.

Ayat ini menjadikan mereka bergantung kepada Allah subhanahu wa ta'ala, juga mengelakkan mereka daripada sombong apabila berjaya menyeberangi lautan luas.

Kita juga boleh mencontohi mereka, cukup apabila berada dalam kereta, atau kenderaan, jangan sombong. Orang minta nak masuk jalan, bagi jalan. Orang nak memotong, bagi memotong. Orang nak melintas, bagi peluang lintas.

Jangan berlagak walau sehebat mana pun kenderaan kita kerana ia hanya mampu mengangkut kita dengan izin Allah. Jika Allah taqdirkan kemalangan, kereta kebal pun boleh terputus dua apabila merempuh pokok.

Ridiculous?

Tidak! Sama sekali tidak jika kita yakin Dia penguasa segala-galanya.

Wallahu'alam.

20140310