Tok Abah selalu bertanya, mana rumah asal peneroka Felda?

Mungkin ada yang perasan sudah seminggu Tedi tak kirim apa-apa pun dalam interpretZZ ni. Bukanlah Tedi merajuk membawa diri dek kehadiran kawan-kawan Tedi si Panda tu... bukan pula Tedi membawa diri melawat mereka... kerana kehilangan Tedi tiada kena-mengena dengan mereka.

Sebenarnya Tedi sekeluarga sibuk memeriahkan majlis perkahwinan Mak Lang Yan dengan Pak Lang Epul, maka tiada ruang dan peluang untuk mencoret apa-apa pun.

Alkisahnya, kenduri kali ini turut dihadiri Tok Abah dan Nek Ma dari Kelantan. Mereka berdua dituruti Mak Su Zati, buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke bumi Felda Sungai Lui.
Apabila sampai di sana, soalan yang sering ditanya Tok Abah apabila melihat rumah-rumah peneroka yang besar-besar, ialah:

"Macam mana rupa rumah asal peneroka?"

Tedi pun tak tahu. Master pula tak pasti kerana Master tahu rupa bentuk rumah asal peneroka di Lui Barat, tetapi Lui Barat adalah Felda yang sangat muda berbanding Felda Sungai Lui, maka rumah asalnya mungkin sangat berbeza.

Rupa-rupanya jawapan kepada persoalan ini ada di depan mata selama ini!

Ada satu rumah kecil yang dijadikan sebagai model di kawasan dewan Sungai Lui. Tedi sangkakan rumah itu adalah wakaf untuk menyimpan barang-barang, tetapi Tok Ayah memaklumkan bahawa itulah model rumah asal peneroka Felda.

Inilah beberapa keping foto yang sempat Tedi kepilkan.

 

Pandangan rumah peneroka Felda dari tepi, memperlihatkan bahagian dapur di belakang, yang bahagian simen itu pada waktu dulu cuma berdindingkan kayu, manakala lantainya adalah tanah yang dipadatkan.

 

Tipikal rumah tradisional pada zaman dahulu, mestilah ada serambi yang selalunya digunakan untuk orang-orang lelaki berbincang.. Atap rumah peneroka Felda pada zaman dulukala mungkin gunakan nipah ataupun zink..

Itu sahaja buat masa ini... yang pasti rumah peneroka Felda pada masa dahulu tiada awning....


20140603, 20140531