Seringkali Tedi merasa malu dengan perangai umat Islam di Malaysia ini.


Apabila berlaku sesuatu isu yang menginjak maruah umat Islam, terutamanya kalimah Allah, mereka secara tiba-tiba akan menjadi wira, wira papan kekunci!

Contohnya Tedi pernah membaca kiriman mengenai seorang gadis melumurkan najis dan darah haid di atas bendera ISIL yang ada kalimah Allah.

Dan hari ini ada pula kiriman yang wanita itu dah mati, dibayar tunai oleh Allah subhanahu wa ta'ala.

Tapi sahihkah berita itu?


Tedi mengkaji dan mendapati bahawa gambar yang digunakan adalah gambar dari sebuah kemalangan pada tahun 2008 di San Paolo, Brazil. Manakala tiada pula berita mengenai kematian si Aliaa Magda Elmahdy.

 

Gambar yang dikatakan aliaa magda elmahdy meninggal dunia sebenarnya adalah foto seorang gadis lain.

Foto seorang gadis kemalangan BMW pada tahun 2008, mungkinkah foto ini digunakan untuk menghentam Aliaa Magda Elmahdy. Jika Aliaa masih hidup dan dia tahu kiriman sebegini, pastinya dia ketawa berdekah-dekah dan memperlekehkan seluruh umat Islam. Jika itu berlaku, siapakah sebenarnya yang memfitnah Islam?

Semangat sungguh mereka  (umat Islam) mengirim "berita kematian" si Aliaa Magda Elmahdy dengan kutukan-kutukan dan bahasa-bahasa yang sungguh "berwibawa".

Walaupun kita marah, marahlah kerana Allah. Apabila marah kerana Allah, kita masih beradab. Ia berbeza dengan kita marah-marah menggunakan alasan mempertahankan kalimah Allah sehingga semua yang tak betul nampak betul.

Malu sungguh Tedi dengan kiriman seperti ini! Sungguh ia menjual maruah Islam itu sendiri.

Kepada para blogger, jangan main ambil sesuka hati semata-mata untuk publisiti diri. Lupakah kamu bahawa Allah telah menegur kita dalam al-Quran:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Surah 49, Al-Hujurat, ayat 6)

 Hal itu (berkata bohong) mungkin nampak kecil bagi kita namun ia adalah perkara besar di sisi Allah.

[Ingatlah] di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. (15) Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu: "Sekali-kali tidaklah pantas bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau [Ya Tuhan kami], ini adalah dusta yang besar." (16) Allah memperingatkan kamu agar [jangan] kembali memperbuat yang seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman, (17) dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (18) - Surah 24, An-Nur,ayat 15 hingga 18.

Anda mungkin tahu kenapa ayat di atas diturunkan dan apa hubungannya dengan kejadian ini? Ia adalah mengenai fitnah yang tersebar luas di kalangan orang Islam dek keseronokan mereka berbicara tanpa menyelidik - walaupun fitnah itu tertimpa atas saudara seagama mereka sendiri.

Bayangkan jika anda keluarga si mati dan kemudian anda tahu foto kematian anak anda digunakan untuk perkara fitnah, oleh kaum "Muslimin", apakah anda akan tertarik dengan Islam? Mungkinkah selama ini mereka hampir terbuka hati untuk Islam dan kemudian menerima fitnah seperti ini, melalui media anda, sehingga mereka berkecil hati dan menolak Islam - bermakna anda menjual Islam untuk satu berita fitnah!
Minta dijauhkan dan sebagai Muslimin, selidikilah dahulu, jangan ikut nafsu!
Itu sahajalah, dan Allah lebih mengetahui. Jika Tedi silap, sila perbetulkan.

 

Kemaskini:

 

  • Benarkah Aliaa Magda dah mati? Tedi pun tak pasti, tapi itu adalah gambar dari berita lain. Wallahu'alam.
  • Yang pasti dia masih aktif mengutuk ISIS melalui tulisan, namun sesiapa sahaja boleh menulisnya.
1 Sept 2014