Kuala Lumpur: Bakal pembeli rumah atau pelanggan berhak untuk memilih sama ada untuk memilih insurans perlindungan rumah yang ditawarkan atau mencari sendiri insurans yang mampu memenuhi keperluan kewangan masing-masing.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (Aibim), Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata pemilihan insurans daripada pihak bank bukanlah satu perkara mandatori dan ia bergantung kepada kemahuan pembeli rumah itu sendiri.
“Bank tidak melarang jika terdapat pelanggan mahu memilih sendiri insurans perlindungan yang dirasakan lebih baik cuma apa yang bakal timbul daripada situasi ini adalah proses untuk mendapatkan pinjaman dan insurans rumah akan memakan masa sedikit lama,” katanya pada Bisnes Metro di sini, semalam.
Beliau berkata, pihak bank secara lazimnya menawarkan insurans mengikut keutamaan dengan syarikat insurans tertentu bagi memudahkan urusan pendaftaran dan pengendalian pembiayaan pinjaman dan insurans perlindungan rumah.
“Kebanyakan daripada bank akan menawarkan perlindungan Mortgage Reduce Term Assurance (MRTA) berbanding Mortgage Level Term Assurance (MLTA) kerana ia menawarkan manfaat terbaik kepada bakal pembeli rumah jika berlaku kematian atau ketidakupayaan kekal,” katanya.
Menurutnya, MLTA dianggap satu perkara baru dalam kalangan pihak bank di negara ini dan tidak banyak ditawarkan sehingga masa ini berbanding MRTA yang fleksibel dalam melindungi pembeli rumah dan tidak membebankan mereka atau waris dengan hutang atau baki pinjaman rumah yang belum dijelaskan sekali gus mengelakkan kehilangan rumah kediaman.
“Insurans ini diibaratkan seperti nilai tambah kepada pinjaman rumah sedia ada kerana ia hanya akan diaktifkan jika berlaku kejadian kepada pembeli di mana ia akan membayar baki pinjaman,” katanya.
Beliau berkata, MLTA adalah satu insurans perlindungan kediaman yang boleh dijadikan pilihan dalam kalangan pembeli kerana ia turut menawarkan fungsi pelaburan, kewangan dan pulangan di samping perlindungan.
Menurutnya, MRTA pula menawarkan jumlah antara tiga hingga lima peratus lebih tinggi daripada nilai keseluruhan rumah dan ia memerlukan individu melakukan pembayaran secara sekali gus melalui pembiayaan pinjaman.
“Apa paling penting, pengguna hendaklah bijak memilih jenis perlindungan sama ada MRTA atau MLTA bagi memastikan inisiatif terbabit benar-benar membantu mereka dalam melindungi kepentingan terhadap rumah kediaman masing-masing,” katanya.
Sumber: Harian Metro, 20150307
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.