Kembara 100 kilometer sehari dalam perjalanan ke tempat mengaji bukanlah satu jarak yang dekat.

Tempoh masa yang diambil untuk tiba di destinasi memungkinkan Tedi melihat banyak peristiwa terutama hal melibatkan perlakuan manusia.

Terutamanya apabila menempuh kesesakan di Lebuhraya Pantai Baharu (New Pantai Expressway), satu ujian yang memaksa manusia memperlihat peribadi sebenar mereka.

Gambar seorang lelaki memberi minum seekor kucing

Kelam-kabut menempuh kesesakan trafik, mungkin mengejar masa masuk ke pejabat supaya tidak "merah", manusia memandu kenderaan mereka berpusu-pusu mencari lorong yang sesuai menuju destinasi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing.

Ketika ini masing-masing tampak mementingkan diri, fokus kepada sasaran mereka untuk segera tiba tak kira dengan apa cara pun, sehinggakan ada yang memotong barisan menggunakan lorong kecemasan.

Master kadangkala sengaja menghalang separuh laluan kecemasan itu supaya hanya motosikal boleh lepas, tapi hanya apabila hatinya panas, tidak tahan dengan sikap para pemandu itu. Hasilnya Master pula yang dihon, hahaha.

Jadi, apa kaitannya semua itu dengan sedekah yang tak kita punya?

Barangkali kawan-kawan semua sedar atau perasan bahawa ada pemandu yang apabila dalam keadaan jalan yang sesak, tidak berapa cekap menukar lorong? Mereka menunggu untuk lorong itu dikosongkan atau mereka diberi ruang untuk masuk, barulah mereka masuk, sedangkan dalam situasi itu para pemandu agak keberatan untuk memberi laluan.

Nah, itulah dia satu kerugian, apabila kita tidak memberikan laluan kepada mereka yang mahu menukar lorong. Kerugian kerana kita tidak bersedekah sesuatu yang bukan kepunyaan kita. Jika bukan kepunyaan kita, maksudnya ia tidak menuntut sebarang kos daripada kita, jika kita sedekahkannya kepada orang lain.

Jadi, jangan kita ingat bahawa bersedekah itu hanya dengan harta, bukankah telah diajar bahawa mengalihkan sesuatu yang menghalang laluan adalah sedekah, bahkan dengan memberikan senyuman sahaja sudah dikira sedekah?

Apatah lagi dengan memberi laluan yang tentunya menggembirakan mereka yang diberi laluan itu, lapang dada mereka kerana telah dibantu pada saat mereka mengharapkan, dan insya-Allah mereka akan meniru pula perbuatan anda memberikan laluan itu, yang akan memungkinkan kita mendapat pahala berlipat ganda.

Kita selalu bersangka bahawa kita perlu mempunyai sesuatu sebelum dapat kita sedekahkan, ternyata kita bisa sahaja bersedekah dengan apa yang kita tidak punya.

Bersama kita renungkan...


20150625