Ini adalah laman khusus untuk cerita dan berita mengenai pelakon Muhaizad Ahmad Mustapha yang popular dengan nama Ako Mustapha.
Kandungan
- 20180713: Ako hilang 20 kilogram kerana isteri
- 20150219: Kahwin Terpaksa
- 20130817: Aksi Raya Ako Mustapha Bersama Sakinah
Ako hilang 20 kilogram kerana isteri
KUALA LUMPUR: Pelakon, Ako Mustapha mengambil masa dua tahun untuk menurunkan berat badannya yang naik mendadak hingga mencecah 90 kilogram gara-gara tidak mengawal pemakanan.
Ako atau nama penuhnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 46, yang kini susut 20 kilogram berkata, perubahan itu dilakukan hasil ketegasan isterinya, Kartina Abdullah yang mahukan dia mengamal gaya hidup dan pemakanan sihat.
"Isteri bimbang apabila badan saya semakin berisi dan meminta saya turunkan atas faktor kesihatan. Lagipun, usia juga semakin lanjut, isteri mahu saya lebih menitikberatkan penjagaan kesihatan.
"Dia yang menjaga, malah turut memasak makanan khas untuk dihidangkan. Dia mahu penampilan saya di kaca televisyen lebih menarik jika ditawarkan semula peluang berlakon," katanya.
Penampilan terbaru Ako yang ditemui pada sidang media program, Super Spontan Xtravaganza, baru-baru ini membuatkan ramai terkejut melihat perubahan susuk tubuhnya yang ketara.
Tambah Ako, bukan mudah untuk dia melalui proses itu, terutama apabila terpaksa melupakan minuman kegemarannya, teh tarik yang akan dinikmati setiap kali ke restoran mamak.
Mengulas mengenai kerjaya seninya, Ako mengakui, dia sudah jarang berlakon, sebaliknya lebih memberi fokus kepada kerja di belakang tabir.
Ako berkata, dia kini meneroka cabang baharu sebagai produser dengan menerbitkan program televisyen yang disifatkannya, memberi kepuasan tersendiri.
Buat masa ini, saya banyak terbabit dengan kerja penerbitan. Seronok mencuba cabang baharu kerana banyak perkara berbeza yang saya belajar.
"Mengenai tawaran berlakon, saya hanya akan terima jika menemui skrip yang sesuai. Bukan sombong, sebaliknya saya mahu mencari kelainan supaya penonton tidak bosan," katanya.
Sumber: Berita Harian | HIBURAN»Selebriti Jumaat, 13 Julai 2018 | 12:22pm | 20180713 | Oleh Feride Hikmet Atak
Kahwin Terpaksa
19 Februari 2015 10:06 PM Utusan Melayu (M) Bhd | Kartina langsung tidak tahu perancangan Ako untuk bernikah dengannya | Dengan dia saya selamat
Kartina langsung tidak tahu perancangan Ako untuk bernikah dengannya
Pertemuan yang tidak dijangka, berkahwin pun tidak dijangka. Itulah yang dialami oleh Kartina Abdullah bila bercerita tentang perkahwinannya bersama dengan pelakon kacak, Ako Mustapha.
Membuka cerita pertemuan mereka, segalanya berlaku secara kebetulan. Detik pertama pertemuannya adalah ketika dia menghadiri sambutan hari jadi seorang rakan.
“Kali pertama bertemu kami hanya berkenalan begitu sahaja. Kali kedua berjumpa kami terserempak ketika hendak pergi makan. Saya terkejut kerana dia masih mengingati saya. Selepas itu kami bertemu lagi, juga di majlis hari jadi rakan saya dan kali ini kami bertukar nombor telefon.
“Bermula daripada situ yang kami mula mesej antara satu sama lain. Tetapi ketika itu hanya di peringkat sebagai rakan sahaja dan tidak serius,” jelasnya.
Tambah Kartina, dua bulan selepas itu, Ako mengajaknya untuk makan di sebuah restoran yang turut dihadiri oleh rakan-rakannya.
“Ketika itu, dia cakap pada saya yang dia cintakan saya. Dia perkenalkan saya sebagai teman wanitanya kepada rakan-rakan dia.
“Ketika itu saya memang tercengang, tetapi dia cakap dia serius. Selepas itu kami ada keluar lagi tetapi tidak selalu ekoran jadual pengambaran ketika itu,” ujarnya.
Ketika itu, Kartina masih menganggap Ako sebagai seorang rakan dan tidak lebih daripada itu, biarpun Ako sudah memberi petunjuk rasa hatinya kepada wanita itu.
Ako tekad untuk melamar Kartina ketika itu. Dia memberi alasan untuk berjalan-jalan di Sabah dan mahu menginap di rumah keluarga Kartina di Sandakan, Sabah.
Kedatangan Ako sebenarnya bukanlah sekadar suka-suka. Sebaliknya dengan tujuan yang ikhlas untuk meminang Kartina walhal wanita itu langsung tidak mengetahui tentang perkara itu.
“Dua hari dia berada di rumah saya, dia bertemu dengan ayah dan beritahu yang dia mahu meminang saya.
“Selama dua hari itu dia mengambil hati keluarga sehingga ayah saya setuju. Tetapi saya ketika itu masih berbelah bahagi.
“Malah, saya menangis ketika mengetahui yang dia mengambil keputusan untuk bernikah dengan saya tanpa memberitahu terlebih dahulu,” ujarnya.
Kartina ketika itu masih tidak jelas dengan hubungannya dengan Ako apatah lagi mahu menjadi suri dalam kehidupan lelaki itu.
Berkali-kali dia cuba untuk memutuskan hubungan. Malah, sehingga hari mahu diakad nikah, dia ada meminta mahu hubungan itu diputuskan.
“Saya ini jenis yang kalau ayah sudah suka, maka saya akan terima sahaja. Tetapi dengan Ako, ia terlalu mengejut dan saya sendiri belum bersedia. Bila saya hendak putus, ahli keluarga saya tidak setuju pula. Bapa saudara saya terutamanya beritahu, jika saya berkahwin selain daripada Ako, maka dia tidak akan terlibat dengan perkahwinan saya.
“Ako ini pandai sebab dia sudah ambil hati keluarga saya terlebih dahulu dan seabab itu saya berkahwin dengan dia,” jelasnya.
Walaupun berkahwin dalam keadaan terpaksa, hakikatnya rumah tangga mereka kini sudah berusia enam tahun. Pasangan ini bertambah bahagia dengan kurniaan dua anak perempuan, Merissa Tempawan, 5 dan Myra Fatimah, 3 tahun.
Dengan dia saya selamat
Ako sedikit kekok untuk bercerita perihal rumah tangganya. Rasa malu meninggi untuk berkongsi sesuatu yang romantis barangkali.
Menurut Ako, satu perkara yang dia cukup hormat dengan isterinya ialah bagaimana wanita itu tidak berbicara perkara buruk mengenainya.
“Sepanjang berkahwin, dia tidak pernah memburukkan saya. Kalau ada pun dia akan bercakap di hadapan saya.
“Dia akan beritahu saya secara berhadapan supaya perkara itu jelas. Itu yang bila saya bersama dengan dia, rasa akan lebih selamat,” jelasnya.
Tiada erti bahagia di awal perkahwinan. Itu antara kata-kata awal yang bermain di fikiran Kartina tatkala memilih untuk mendirikan rumah tangga bersama pelakon Ako Mustapha.
Katanya, dia hanya mengambil masa untuk mengenali suaminya itu selama setahun sebelum bertunang dan kemudian melangsungkan pekahwinan pada 17 Januari 2009.
“Masa mula-mula berkahwin memang tidak selesa. Saya jarang bertemu dengan Ako masa bertunang. Kalau jumpa pun tiga bulan sekali sebab jadual penggambaran dia yang padat.
“Itu yang bila berkahwin, saya seperti terkena kejutan budaya. Kalau nak kata bahagia macam dalam cerita dongeng itu, memang tidak ada. Sampailah kini.
“Apatah lagi sehingga kini kami masih lagi mengenali antara satu sama lain. Tapi dalam tidak bahagia itu, dapat juga dua anak,” katanya berseloroh.
Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagu hubungan suami isteri. Kartina mengakui, antara dia dan Ako sering saja berselisih faham.
Tetapi, selisih faham itu yang sebenarnya mengeratkan lagi hubungan mereka. Daripada situ mereka sedar kekurangan masing-masing dan cuba membaiki apa yang kurang.
“Kalau nak cakap kami serasi, memang tidak. Tetapi itulah cabaran yang mewarnakan lagi rumah tangga. Daripada situ yang kita belajar tolak ansur antara satu sama lain,” jelasnya.
Menariknya tentang Ako yang sempat dikongsi Kartina ialah sifat yang digelarnya sebagai suami mithali.
“Masa saya pantang, Ako yang menjaga. Dia sendiri pergi belajar macam mana mahu mengurut. Apa yang saya minta, semua dia buat.
“Sampaikan kini, kalau anak-anak tahu Ako ada di rumah, mereka lebih selesa kalau bapanya yang buatkan susu, mandikan atau tukar lampin,” jelasnya
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.