Sabtu - Sedang asyik menyidai kain di ampaian, Master dikejutkan oleh satu teks WhatsApp daripada satu nombor yang dikenali, iaitu Mr. Zack dari Subaru Seremban.

Alhamdulillah, Subaru XV STI yang ditempah telah selamat tiba di Subaru Seremban setelah tersadai di Subaru Melaka.

  • Kenapa pula kereta yang Master tempah boleh tersadai di Melaka?
  • Ceritanya begini, pemunggah kereta itu khabarnya telah tersilap menghantar Subaru XV STI Hitam tu ke Subaru Melaka pada petang Jumaat.
  • Sebelum tu mereka (Subaru Seremban) dah janjikan kepada kami bahawa kereta berkenaan akan tiba pada petang Khamis, tapi khabarnya tidak sempat sampai.
  • Pada petang Jumaat, jam 6 petang mereka hubungi Master yang sedang bermesyuarat untuk sampaikan khabar tak sedap didengar iaitu kereta itu telah terlajak sampai ke Melaka. Jadi mereka minta keizinan Master untuk menjemput kereta itu sendiri dari Melaka.
  • Master pun benarkanlah, sebelum Master maklumkan kepada Mommy.
  • Mommy pula tak bersetuju dan terus buat panggilan ke Mr. Zack untuk membatalkan keizinan tersebut dan meminta (menyuruh) Subaru Seremban agar meminta pemunggah kereta hantar kereta tu ke Seremban pada hari Sabtu.

Rancangan balik ke Sungai Lui tak jadi.

  • Sepatutnya ikut perancangan asal, kereta Subaru XV STI itu akan kami jemput pada waktu tengahari, hari Sabtu, sebelum kami teruskan perjalanan dengan kereta itu ke kampung Master di Sungai Lui.
  • Cadangnya nak tunjukkanlah kereta tu kepada mereka.
  • Tapi dah dekat jam 4 petang kereta tu baru sampai, memang tak jadilah rancangan tersebut. Nasib baik kami belum maklumkan kepada mereka.
  • Dari waktu pagi lagi kami dah macam putus asa dengan Subaru Seremban ni, tak berharap sangat kereta itu akan sampai.
  • Waktu tengahari, kami dimaklumkan kereta itu dalam perjalanan ke Seremban, dan pada jam 3 lebih barulah dimaklumkan kereta dah sampai.

Bergegas ke Subaru Seremban dengan Proton Saga BLM 1.3 MT.

  • Tedi segera menghubungi Duel Blitz Monster untuk membawa kami ke Subaru Seremban.
  • Proton Saga BLM 1.3 MT itu bersetuju untuk menghantar kami ke destinasi yang diminta.
  • Sepanjang masa Master memandu Duel Blitz Monster ke Subaru Seremban pada petang Sabtu itu, terasa seolah-olah kecekapannya semakin meningkat.
  • "Jangan bersedih Duel Blitz Monster, dia bukannya penggantimu, tapi bakal teman seperjuanganmu" - bisik Master sambil membelai lembut stereng Duel Blitz Monster itu.
  • Kami sampai ke destinasi pada jam 5 petang - sejam sebelum bilik pameran Subaru Seremban akan ditutup operasinya pada hari itu.
  • Sebaik sahaja sampai, Mr Zack menyambut kami dengan permohonan maaf di atas apa yang telah berlaku. Master macam biasa, cool saja. Mommy pula mampu tersenyum, mungkin gembira dapat kereta, almaklumlah Mommy yang beriya-iya nak tambah kereta.

Duel Blitz Monster iringi XV STI pulang ke markas.

Kereta Subaru XV STI Hitam bahagian depan di subaru Seremban. Kereta Subaru XV STI Hitam bahagian belakang di subaru Seremban.
Kereta Subaru XV STI Hitam bahagian kanan di subaru Seremban. Kereta Subaru XV STI Hitam bahagian kiri di subaru Seremban.
 
 
  • Setelah selesai semua pemeriksaan yang dibuat ala kadar saja, kira serahkan kepercayaan kepada Mr. Zack, dan Mommy pula telah membuat pandu uji satu pusingan di sekitar Subaru Seremban untuk membiasakan diri dengan kereta baru sebelum memandunya pulang, kami pun berangkat.
  • Cabaran pertama - semasa Mommy keluar simpang, punyalah lama masa diambil sehingga kami yang di depan terpaksa berhenti di tepi jalan. Mungkin belum biasa dengan signal kereta XV STI yang terletak di sebelah kanan stereng kereta.
  • Cabaran kedua - semasa lalu di lorong SmartTAG di Plaza Tol PLUS Seremban, Mommy tersangkut kerana menunjukkan bahagian yang terbalik kepada reader SmartTAG. Bahagian yang ada kad Touch 'n Go sepatutnya menghadap pemandu, bukannya dihadapkan kepada reader.
  • Masuk sahaja ke Lebuhraya PLUS, Master menunjukkan isyarat meminta Mommy memintas Duel Blitz Monster kerana Master tak sanggup asyik mengintai dari cermin pandang belakang, di samping mahu menyaksikan pandangan bontot XV STI tu.
  • Dari depan memang nampak ganas XV STI tu terutama LED Nyalaan Siangnya yang jelas nampak dari kejauhan, tapi dari belakang, ermm.. okaylah.. nasib baik bukan warna putih, kalau putih, sure tampak macam panda ketot.
  • Tak sangka LED Nyalaan Siang XV STI tu terang benderang padahal ada beberapa biji LED sahaja dan ianya sedikit sahaja di bahagian hadapan.
  • Cabaran ketiga - semasa memandu di Lebuhraya PLUS dari Seremban menghala ke Nilai, semasa cuba memotong sebuah lori, Mommy memasang pengelap cermin hadapan (wiper). Master dah cuak kerana sangkakan Mommy cuba bersihkan cermin hadapan daripada pasir yang dicampakkan lori tersebut, tetapi rupa-rupanya Mommy tersilap semasa nak nyalakan lampu signal XV STI.
  • NOTA! Jangan sesekali pasang pengelap cermin hadapan (wiper) untuk bersihkan cermin jika ada pasir-pasir atau batu-batu halus, walaupun disembur air kerana ia akan calarkan cermin kereta anda. Ini adalah pengalaman pahit yang pernah Master tempuhi semasa memandu Duel Blitz Monster. Sejak itu, Master akan pasang wiper setelah beberapa lama memandu menjauhi subjek yang mencampakkan pasir atau batu, dan setelah diyakini bahawa batu-batu dan pasir-pasir telah hilang dari cermin.
  • Semasa Mommy memandu di depan, sedap-sedap saja dia memecut dari 100 ke 120 kilometer sejam. Kami yang berada di dalam Duel Blitz Monster agak terkial-kial untuk memecut tetapi masih mampu mengekori XV STI.
  • Semasa memandu kereta, Master akan gunakan sifir 0.1 CC bersamaan 10 kilometer sejam, jadi untuk Proton SAGA BLM 1.3 CC, Master hanya akan terhadkan kelajuan kepada 130 kilometer sejam, walaupun BLM masih gagah semasa memecut 140 kilometer sejam.
  • Tapi untuk Duel Blitz Monster, Master memang akan jaga kelajuan di antara 100 - 120 kilometer sejam sebab nak hadkan pusingan enjin hanya maksimum 4000 RPM. Memanglah sedap bawa laju tetapi ribuan pusingan seminit tu tentulah akan menyebabkan komponen enjin haus dan panas. Jika melampau panasnya, silap-silap enjin akan retak.

Apakah nasib Duel Blitz Monster dengan kehadiran XV STI ini?

  • Ia akan terus berkhidmat menghantar Tedi ke sekolah dan Master serta Mommy ke pejabat masing-masing.
  • Ia telah berkhidmat memandu kami minimum 500 kilometer seminggu, jadi ini adalah peluang untuknya berehat pada hari minggu.
  • Selain itu dengan adanya XV STI, Master boleh meninggalkan Duel Blitz Monster di pusat selenggara untuk menerima penjagaan sepatutnya yang mungkin terabai kerana kesibukannya selama ini jua kepentingannya kepada aktivit kami selama ini.
  • Proton SAGA BLM 1.3 MT yang bernama Duel Blitz Monster itu akan terus menjadi teman hari kerja, dan direhatkan pada hari minggu. Keringatnya masih diperlukan kami.

Apakah maksud Duel Blitz Monster?

  • Duel Blitz Monster mungkin satu nama yang agak panjang untuk diberikan kepada sebuah Proton SAGA BLM 1.3 MT IAFM Granite Grey.
  • Kenapa tidak diberi sahaja nama Si Kelabu?
  • Duel Blitz Monster sebenarnya mewakili gaya pemanduan Master yang dua daripadanya berasaskan kepada nama Gundam dalam Mobile Suite Gundam SEED.
  • Duel - berasaskan nama GAT-X102 Duel Gundam, sebuah robot ringkas yang menjadi asas binaan kepada Gundam yang lain, punyai kegunaan yang umum dan prestasi yang seimbang - mewakili gaya pemanduan santai Master yang lebih gemar cruise terutamanya pada kelajuan 80 hingga 100 km/j.
  • Blitz - berasaskan nama GAT-X207 Blitz Gundam, sebuah robot direka untuk melakukan serangan mengejut dalam pertahanan musuh dengan aplikasi teknologi stealth. Ketika dalam mod blitz ini, Master selalunya akan "curi angin" kenderaan di hadapan dalam jarak sesuai, menunggu masa untuk memintas.
  • Monster - tidak merujuk kepada mana-mana mobile suite daripada siri Gundam, cuma ia mewakili sikap gila Master semasa memintas kenderaan lain.

20160409