Semalam Mommy mengadu kepada Master mengenai kehadiran cecair kekuningan pada bumper depan XV STI yang baru dibeli.

“Nampak macam minyak, tadi dah lap tapi ada balik” – kata Mommy.

Lebih Teruk Berbanding Proton!

di bahagian front bumber XV STI inilah adanya genangan cecair likat pekat seperti minyak

 

Master bertenang dan cuba fikir dengan rasional. Marah juga dalam hati kalau kereta yang baru dibeli dah ada leaking di mana-mana. Proton SAGA BLM 1.3 MT IAFM pun tak seteruk itu pada masa dibeli!

Tapi kena sabar dulu, sudah banyak kali Master menuduh melulu, kasihan mangsa-mangsa tuduhan beliau, jadi Master sudah practice untuk sabar dan selidik dulu. Tambahan pula Master cuba sedapkan hati bahawa kenderaan yang baru dibeli itu takkanlah bermasalah.

Pada masa itu pun Master sedang memandu Duel Blits Monster pulang dari Mydin Seremban 2 ke rumah, tiada apa boleh dilakukan.

Sampai ke rumah, selesai mengangkut hasil belian di Mydin Mall Seremban 2 tadi, Master segera menghadap XV STI, memang ada kelihatan cecair berminyak pada bumper hadapan XV STI tersebut.

Kebocoran Minyak Brek?

Master lap dengan jari, memang rasa berminyak.

Master hidu, erm… bau macam minyak brek.

“Sahlah ni ada bocor mana-mana ni.” – telahan Master dalam hati sambil menggetap giginya menahan geram.

Master periksa semula bumper atas, bahagian grill depan radiator, tiada pula sumber kebocoran. Pelik… takkanlah bumper tu boleh keluarkan minyak sendiri?

Master lap lagi, hidu lagi, “Macam kenal je bau ni… macam bau…”

Selepas itu Master terduduk, “Ini bau kencing kucing!!!”

kucing kencing tanda kawasan pada dinding pada ketinggian paras hidung.

Kereta Itu Siapa Empunya?

Pagi tadi semasa Master buka pintu rumah, Si Gemuk itu seronok duduk atas alas kaki depan pintu, dan kesan cecair kekuningan jelas kelihatan semula pada bumper XV STI itu.

Nampaknya dah ada yang cop kereta itu terlebih dahulu…


12 April 2016