بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


 

Sekarang Tedi dalam perjalanan ke Pengkalan Kubor.

Pemandangan di sepanjang jalan

Kami ambil jalan Wakaf Baru - Chabang Empat - Berangan sebelum singgah di kedai makan Husna Nasi Berlauk.

Pemandangan di sepanjang perjalanan agak menenangkan. Kelihatan beberapa ekor lembu meragut rumput nan menghijau di sebelah kanan jalan. Seekor anjing putih sedang mengukur bahu kiri jalan,  manakala seekor anjing berwarna hitam agak terburu-buru mahu melintas dari bahu kanan jalan namun ia sempat berhenti apabila sedar bahaya di sekitarnya.

Kami melintasi sebuah tokong Siam yang menjadi satu pemandangan biasa di kawasan ini kerana ia dihuni komuniti Siam, sekaligus menjawab persoalan berkenaan kehadiran anjing -anjing yang agak banyak.

Kelihatan pula berderet-deret lori membawa padi berbaris menunggu giliran untuk menghantar muatan mereka ke kilang padi berhampiran.  Kesemuanya berhenti di bahu kiri dan kanan jalan.

Nasi Berlauk Husna

Kami tiba di kedai Nasi Berlauk Husna di sekitar jam 9:44 pagi.  Lauk-pauk hampir kehabisan kerana biasanya perniagaan mereka akan ditutup sekitar jam 10 pagi, mengikut kehadiran pelanggan.

Gambar pemidang yang digantung di pintu pagar kedai makan Husna Nasi Berlauk di Kampung Air Dingin di Tumpat di Kelantan. Pemidang ini menyatakan bahawa Nasi Berlauk Husna ni adalah Nasi Berlauk Air Dingin 100% asli. Di sini ada menjual Nasi Berlauk dengan pilihan lauk seperti Gulai Ikan, Gulai Ayam, Gulai Kambing, Daging Goreng dan Daging Kerutuk. Juadah lain seperti Nasi Dagang, Nasi Lemak dan Nasi Kerabu turut dijual di sini.

Pantai Sri Tujuh

Kami meneruskan perjalanan dari Nasi Berlauk Husna pada jam 10:20 melalui jalan Pantai Sri Tujuh di mana beberapa ekor kambing berlari melintasi jalan raya. Sesungguhnya kita memang perlu berhati-hati dengan kambing kerana nakal mereka tak tentu hala dan arah larian mereka boleh bertukar tiba-tiba.

Kepala Tedi mulai pusing dan jari-jemari Tedi mulai lenguh melayan auto-correct yang suka hati menjahanamkan ejaan Tedi.

Jam 1028 kami tiba di Pantai Sri Tujuh. Bot-bot dan perahu-perahu nelayan beralun lembut gemalai menuruti alunan ombak di sebelah kanan jalan. Keadaan sunyi tiada orang kerana hari ini hari bekerja dan masih awal pagi.

Gambar pemandangan dari jauh di Pantai Sri Tujuh di Tumpat di negeri Kelantan.

Sayangnya Tedi tidak sempat mengambil gambar

Kami nak menuju ke pantai namun jalan ditutup untuk proses pemuliharaan. Jadi kami hanya mampu melihat pantai yang luas saujana mata memandang dek kerana bukan niat kami pun nak berjalan -jalan di pantai.

Perusahaan ikan kering

Kemudian kami agak tersesat masuk ke jalan kecil,  di tepi kami kelihatan kawasan perumahan serupa setinggan,  kononnya dihuni mereka dari Thailand yang mengusahakan ikan kering.

Gambar aktiviti menjemur ikan oleh penduduk kampung yang mengusahakan jualan ikan kering.

Kami berjaya keluar melalui jalan sebelah MRSM Tumpat sebelum melintasi Pasar Kampung Geting.

Tiba di Pengkalan Kubor

10:54 pagi.

Tiba-tiba sahaja kami tiba di Pengkalan Kubor melalui jalan belakang,  jalan yang Master tak pernah bawa kami lalui.

Itulah pengalaman Tedi di sepanjang perjalanan dari Wakaf Baru ke Pengkalan Kubor melalui Tumpat dan Pantai Sri Tujoh.

 


Karangan ini telah diterbitkan pada 20160523 dan dibaca 47 kali setakat Oktober 2020.