Berita yang ditunggu para penyokong Newcastle United FC akhirnya menjelma juga.

Setelah melalui proses perbincangan yang agak lama, akhirnya Newcastle United mengumumkan bahawa Rafa Benitez akan kekal di Newcastle United dengan perjanjian baru selama 3 tahun.

Benitez diambil bekerja menggantikan Steve McLaren pada bulan Mac lalu dengan sasaran mengelakkan Newcastle United daripada tersingkir.

Walaupun beliau gagal mencapai sasaran tersebut dalam baki 10 perlawanan terakhir, namun impak yang dibawa beliau dalam mewujudkan pasukan yang lebih tersusun di Newcastle United telah berjaya memikat hati para penyokong The Magpies.

Tambahan pula Benitez berjaya membuatkan Newcastle membelasah Tottenham Hotspur 5-1 pada perlawanan terakhir.

Ia seolah memberi mesej kepada pengurusan pasukan apa yang beliau boleh capai jika lebih masa diberi kepadanya.

Pengurusan Newcastle khabarnya telah memberi kuasa penuh kepada Benitez dalam urusan bolasepak, satu hal yang agak janggal di Newcastle United di mana para pengurusnya selalunya adalah boneka atau pak turut kepada pihak pengurusan Newcastle.

Tedi berharap agar Benitez berjaya memacu Newcastle menjadi seperti apa yang dikatakannya: "Pasukan dengan mentaliti untuk menang".

Pemilik Newcastle United juga tidak boleh mempermainkan atau membuli Rafa Benitez kerana beliau adalah pengurus bertaraf antarabangsa, dan mendapat sokongan para peminat.

Semoga dengan kehadirannya Newcastle United akan berjaya naik liga pada musim depan.


27 Mei 2016