Hari Ahad yang lalu (15 Mei 2016) merupakan hari yang panjang dalam hidup Tedi kerana seharian Tedi menghabiskan masa bersama Master dan Mommy di Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Pada pagi hari kami sertai KL Towerthon 2016 di Menara tersebut sebelum pada waktu petangnya pula kami menjelajah Menara KL.
Towerthon di Menara Kuala Lumpur (Menara KL) adalah satu program yang memerlukan para peserta berlari sejauh 1 kilometer sebelum memanjat anak-anak tangga yang terdapat di Menara Kuala Lumpur (KL Tower) bermula dari tingkat tanah (groundfloor) sehinggalah Tingkat Dek Tinjau (Observation Deck) di tingkat TH03.
Kononnya kami mendaki sebanyak 25 tingkat.

Sampai di kawasan berkumpul jam 5.30 pagi.

Jam 4.30 pagi, kami telah bangkit dari lena untuk bersiap-siap ke tempat permulaan perlumbaan.
Kami hanya berjalan kaki dari hotel inap kami ke tapak permulaan di mana jaraknya adalah kira-kira 1 kilometer sahaja.
Kononnya kami perlu sampai ke sana pada waktu seawall itu kerana Master perlu daftarkan diri pada jam 5.30 pagi. Tapi apabila Master bertanyakan tempat pendaftaran, kata mereka tiada pendaftaran, tunggu sahaja di sana sehingga perlumbaan bermula.
Sementara menunggu, kami menurut senaman aerobic Salon Pass yang agak lucu dan comel berlatarbelakangkan lagu dari Negara Jepun. Salon Pass disebut “selun pasu” dalam lagu tersebut.
Pada jam 6.00 pagi Master menunaikan solat Subuh di surau yang disediakan. Alangkah moleknya jika Master telah siap-siap berwudhu dari hotel penginapan kami kerana ramai manusia beratur untuk berwudhu.
Selesai solat Subuh, kelompok pertama 300 orang peserta dilepaskan pada jam lebih kurang 6.00 pagi. Master sibuk memanaskan badannya semula, ketika kumpulan Celebrity Fitness mengetuai sesi senamrobik yang pantas dan bersemangat. Tedi tak mampu menurutinya.

Pada jam 6.45 pagi, Master dipanggil untuk memulakan perlumbaan.

Tedi mengikut Master berlari walaupun Master sertai kategori terbuka lelaki (man open). Pada mulanya Master berlari agak pantas mendaki bukit, dan kemudian mendaki tangga tingkat-tingkat terawal dengan agak pantas juga, siap langkau 2 anak tangga sekali panjat.


Pemegang tangga, lantai, dan dinding di sepanjang laluan kami sudah basah dan melekit dek peluh para peserta. Patutlah ada peserta yang memakai sarung tangan (glove), rupa-rupanya sebab pemegang tangga yang melekit tu sungguh menjijikkan. Tedi memang tak peganglah pemegang tangga tu.


Tapi bila dah sampai tingkat 19, Master rasa nak merangkak, gila jantung macam nak tercabut, rasa nak hentak dinding kuat-kuat, nak jerit kuat-kuat pun ada nak melempiaskan bebanan di dada.


Master singgah 3 stesen minuman (water station), di mana Master minum air isotonic 100 Plus, kecuali pada stesen ke-3 Master pergi minum air tenaga Sting, kononnya nak tambah tenaga.


Di sanalah Master buat kesilapan yang besar, kerana kemanisan air tersebut telah merenggut semua tenaga yang Master ada. Sepatutnya Master minum lebih banyak air untuk cairkan semula darah, bukannya tambah gula.


Tiga tingkat terakhir juga amat mencabar kerna manusia meminta Master tolong ambilkan gambar mereka. Ini adalah satu misteri, kerana walau ke mana Master pergi, ada saja manusia minta tolong ambilkan gambar. Kalau Master bawa kamera besar gedabak macam jurufoto perkahwinan kira okay la juga, tapi kali ini Master cuma bawa telefon sahaja.


“Gamaknya dahi Master ni ada cop, ‘Sila minta saya ambilkan gambar anda?’”

Sampai di TH03

Kami tiba di garisan penamat pada jam 7.30 pagi, iaitu 42 minit selepas bermula, sedangkan pemenang dari Kenya pula hanya ambil masa 14 minit!

Peserta dari luar negeri memang kalut ribut nak menang, habis dirempuhnya dengan ucapan “Excuse me.

Lagi tak best apabila kita di kiri, mereka nak lalu kiri juga, potonglah ikut kanan…

Beratur panjang selama sejam untuk turun.

sejam tunggu lif untuk turun dari puncak Menara KL

Selepas Master sampai di garisan penamat dan mengutip medal finisher, beliau bergegas turun ke Level TH00 untuk dapatkan minuman dan juga menunggu lif untuk turun.
Master bantai minum air banyak-banyak dalam 4 gelas, dan rupa-rupanya kegelojohan Master itu membawa sedikit keuntungan kepada beliau kerana selepas itu mereka terpaksa menunggu giliran untuk naik lif turun ke bawah, di mana sejam masa dihabiskan hanya di situ.

Seorang pakcik omputeh merungut, “Dan kini kita tersangkut dalam kaki lima yang tiada bertingkap.” – untuk menggambarkan dia kelemasan dalam keadaan terperap sedemikian.

Kawannya pula merungut, “Bukanlah perlumbaan apabila kita terpaksa berhenti untuk minum” – kerana selalunya dalam perlumbaan proses ambil air adalah ringkas dan pantas, tapi dalam Menara KL kita terpaksa masuk ke satu ruangan untuk minum dan kemudian keluar semula sambung perlumbaan.
Ketika itu akan berlaku kesesakan di pintu masuk ke ruangan stesen air kerana pelumba sibuk keluar masuk pada pintu yang sama. Tapi ada juga stesen air yang pintu masuk dan keluarnya tidak sama.

Selain mendengar rungutan para peserta semasa menunggu lama untuk turun menggunakan lif, sesekali suasana suara boo menjadi selingan apabila ada peserta yang memotong barisan kononnya mahu pengsan. Nampak muda remaja dan cergas, boleh panjat ribuan tangga, tapi apabila kena beratur, mahu pengsan. Mereka tidak dibenarkan lalu, namun apabila ada peserta lain yang benar-benar mahu pengsan (diketahui daripada gayanya) dan diiring pegawai perubatan, semua peserta bekerjasama membuka laluan.

Jam 8.30 lebih sedikit, barulah kami berjaya sampai ke bawah, di mana kami menunggu Mommy pula untuk sampai. Ketika itu kami berbual-bual dengan beberapa peserta lain, minum 100 PLUS percuma, makan pisang, dan beli voucher untuk naik ke Sky Deck (Dek Langit) dan Observation Deck (Dek Tinjau) pada harga RM 20 bagi seorang peserta di mana harga biasa adalah RM 75.

Berkemas

Selepas Mommy turun, kami bergambar, dan kemudian berjalan pulang ke hotel. Kami berkemas dan mandi.
Pada jam 12 tengahari kami daftar keluar (check out) dan menaiki kereta mencari tempat makan. Ketiadaan maklumat mengenai tempat makan yang okay di sekitar kawasan itu menyebabkan kami sampai ke Medan Selera Jalan Raja Muda Alang, kalau tak silap Tedi, yang terletak di belakang Hospital Besar Kuala Lumpur.
Habis makan kami ke Menara Kuala Lumpur semula. Gunakan GPS Garmin, kami cari Menara Kuala Lumpur tak berjumpa, sebaliknya kena taip KL Tower, mungkin sama seperti pada papan tanda jalan.

Tiba di Menara KL

Kami tiba di Menara KL lebih kurang jam 1.30 petang. Tempat letak kereta penuh kerana masih ada beberapa peniaga di tempat letak kereta. Usai menurunkan Mommy dan kawannya, Master memandu mencari tempat letak kereta di luar Menara KL. Terpaksalah letak kereta di tepi jalan masuk Menara KL walaupun ia memang berbahaya.

Kami tebus tiket ke Sky Deck dan Observation Deck, kemudian kena isi borang pula untuk naik ke Sky Deck. Tiba-tiba sahaja hujan turun, dan kami tidak dibenarkan naik ke Sky Deck sebaliknya kami dihantar ke Observation Deck terlebih dahulu.

Sampai sahaja di sana memang tak nampak apalah, kelabu sahaja kerana hujan, jadi Tedi lebih banyak habiskan masa meneliti replika Menara-menara yang ada di sana. Mommy pula membeli foto 3D yang ditangkap dan dicetak oleh pihak Menara Kuala Lumpur (Menara KL) berharga RM 50. Ia sebenarnya beserta dengan besi berani peti sejuk (fridge magnet) dan juga rantai kekunci (keychain) dengan harga pakej RM 80, tapi Mommy malas nak bergolok bergadai membeli benda alah itu semua. Gambar tu kira okay lah untuk kenangan masa muka.

tengah tunggu giliran naik sky box di Menara KL


Ke Sky Deck

Apabila hujan mula reda sedikit, barulah kami nampak suasana Kuala Lumpur, tapi sebelum sempat Tedi menikmati pemandangan, kami bergegas untuk naik ke Sky Deck, takut ramai manusia beratur di atas nanti.

Di Sky Deck kami kena serahkan borang yang telah diisi kepada pegawai keselamatan yang bertugas.
Tiada apa boleh dilakukan di dek terbuka itu, kecuali memerhatikan suasana Kuala Lumpur dan juga naik ke atas Sky Box (Peti Langit), iaitu satu ruangan yang berlantaikan kaca berdindingkan kaca. Jika naik ke atas sana dan menghayati pemandangan ke bawah, memang rasa nak jatuh ke bawah, tapi kerana ramai manusia sedang beratur, Tedi tidak sempat untuk berasa gayat.

Sky Deck ini adalah sebuah kawasan terbuka, jadi dapat dirasakan angin menyapa muka kita, sebab itu ia ditutup semasa hujan demi keselamatan. Tedi agak terkesima apabila melihat langit hitam bergerak di kiri dan kanan kami.

Menara Berkembar Petronas nampak dekat dilihat dari Sky Deck.

Dalam jam 3.30 petang kami turun ke UGF untuk menunaikan solat Zuhur sebelum kami bergerak ke Mentari Court untuk hantar kawan Mommy.
Jam 5.30 kami tiba di Sepang melalui Lebuhraya Damansara Puchong.