"Berapa RM duit raya nak bagi tahun ni?"

Kalau ada manusia bertanyakan soalan ini kepada Tedi nescaya Tedi tiada jawapan untuk beliau.

Kalau beliau meminta Tedi bagi pandangan berapa ringgit duit raya nak diberikan kepada si polan, nescaya jawapan Tedi ialah "tak tahu" atau "ikutlah nak beri berapa pun".

Jawapan acuh tak acuh tu mungkin nampak acuh tak acuh kepada si penanya, tapi bagi diri Tedi ia adalah jawapan yang paling jujur dan punya sejarah panjang.

Pada awalnya Tedi adalah beruang yang menentang pemberian duit raya ini kerana bagi Tedi ia adalah adat yang macam meniru budaya kaum lain.

Tedi agak bengang apabila kanak-kanak datang rumah berikan ucapan "kami datang nak beraya, tak makan pun tak apa", maksudnya walaupun Master ketika itu masih tak sempat menyediakan juadah selalunya kerana baru pulang dari kampung, kanak-kanak ini datang dan kata mereka tak perlu makan asalkan diberi duit raya!

Ini adalah sesuatu yang negatif, raya sudah disamakan dengan mengutip duit raya. Sebab itu Tedi tak berapa nak beri sangat duit raya kepada kanak-kanak yang datang rumah terutama apabila ada saudara-mara lain yang dah beri.

Tapi pandangan Tedi itu semakin lama semakin berubah, terutama apabila ziarahi mereka yang miskin berbanding keluarga kami. Tedi mula berikan duit raya tapi dengan niat sedekah. Nampaknya duit raya ini boleh jadi ibadah, manakala jika semata ikut adat, ia hanya adat.

Apabila konsep sedekah digunapakai, hati jadi tenang, kadangkala kita berikan lebih kepada si polan kerana kita tengok dia lebih memerlukan, dan kepada yang lain pula kita berikan agak kurang hanya kerana Tedi lihat dia tidak memerlukan.

Tedi selalu teringat bagaimana Nabi Muhammad SAW menggembirakan seorang anak lelaki pada pagi raya. Apabila baginda SAW melihat seorang budak lelaki keseorangan pada hari raya lalu ditanya kenapa? Jawab budak itu "aku tiada ayah dan ibu". Lalu Nabi Muhammad SAW bertanyakan soalan yang Tedi masih terngiang-ngiang dek keindahannya, "sudikah kamu jika Muhammad Rasulullah menjadi ayahmu, Aisyah menjadi ibumu, dan Fatimah Az-Zahra menjadi kakakmu?".

Lalu kanak-kanak itu gembira dan ceria serta dibawa Rasulullah SAW pulang untuk dipersiapkan menyambut hari raya. Kanak-kanak itu yang selama ini berasa disisihkan kerana yatim piatu kini gembira mencanangkan kepada kawan-kawannya, "Rasulullah kini bapaku".

Itu cara Rasulullah SAW bersedekah dan menghiburkan hati seorang budak, dan Tedi mungkin takkan mampu melakukan itu, cukuplah Tedi sedekah duit raya yang mungkin boleh bantu ibu-bapa mereka membeli setin susu atau beberapa helai lampin. Pada hari lain mungkin sedekah ini tidak diberikan, namun pada hari lain dengan alasan duit raya kita boleh bersedekah tanpa mana-mana pihak berasa segan, kerana selalunya mereka yang memerlukan tidak bersifat meminta-minta.

Ibadah duit raya ini boleh dijadikan amalan yang hadir setahun sekali sedangkan ia tidak sepatutnya begitu kerana ibadah bagi Allah SWT tidak mengikut bulan tertentu sahaja.

Jadi kalau ada sesiapa yang masih mahu bertanya "berapa duit raya nak beri", jawapan Tedi masih sama, "ikutlah nak bagi berapa" yang sebenarnya bermaksud "ikutlah nak sedekah banyak mana", kerana sedekah itu berdasarkan niat dan ikhlas.

Tedi pun tak tahu nak beri berapa, insya-Allah jika ada rezeki si penerima, adalah duit raya buatnya.

Semoga Allah berikan Tedi kecukupan untuk bersedekah pada bulan Syawal nanti.

Wallahu'alam.


11 Jun 2016