Tedi berbaring di atas perbaringan sambil melunjurkan kaki menghadap jendela dengan tirainya tersingkap luas. Kelihatan di seberang jalan sana hutan nan menghijau dengan bumbung beberapa blok bangunan yang terbengkalai, tewas dilingkari alam semulajadi. Nasib baiklah bangunan-bangunan itu tidak menggunakan bumbung asbestos yang pastinya akan mereput ditelan masa.

Kedengaran siulan burung yang Tedi tidak kenali spesisnya. Ia bersiul sendiri tanpa ditemani teman atau keluarga. Tidak Tedi tahu sama ada ia memang bersendirian.

Seorang ibu mendakwa melihat hantu ibunya datang memujuk anak perempuannya. Gambar gadis kecil tidur.

Sesekali terdengar bunyi motosikal memecut menaiki bukit. Ia agak bingit tapi tidak mampu mencemari bunyi flora dan fauna. Lagipun ia hanya seketika sahaja.

Kurangnya bunyi kenderaan agak mendamaikan dan mungkin menjadi petanda bahawa ramai penduduk di sekitar taman kami yang pulang ke kampung halaman untuk meraikan hari pertama berpuasa pada tahun ini.

Bunyi kipas menderu perlahan dengan kelajuan lalainya

Tedi tiada niat untuk menambah kelajuannya dengan menggunakan alat kawalan jauh yang tersimpan di dalam laci. Suasana hangat ini mungkin mengganggu manusia namun bagi Tedi ia agak bagus dan Tedi pernah berada dalam cuaca lebih hangat daripada ini.

Bezanya mungkin di sana di dalam kawasan kampung dengan dikelilingi pohon kelapa nan gemalai diliuk angin, suasana hangat itu sesekali disejukkan dengan hembusan angin pantai yang menyejukkan dan bebas masuk ke dalam rumah melalui jendela yang terbuka luas. Sering juga Tedi duduk di birai jendela itu.

Bandar takkan memungkinkan itu. Jendela yang ada kecil-kecil sahaja, ditambah pula dengan jeriji-jeriji besi atas tujuan keselamatan. Angin takkan mungkin dapat lalu dan manusia bergantung kepada kipas untuk menyejukkan diri, tak kisahlah kipas meja, kipas berdiri, mahupun kipas siling.

Kemudian apabila udara yang dihembuskan kipas terasa tidak mampu untuk menyejukkan diri mereka, manusia mula bergantung kepada penghawa dingin yang kadangkala sejuknya seperti di dalam peti ais, satu suhu yang tidak Tedi gemari.

Adakah manusia sudah hilang keupayaan untuk beradaptasi dan serasi dengan persekitaran mereka? Sehinggakan mereka berterusan mencipta persekitaran baru yang cukup palsu demi keselesaan diri.

Kedengaran bunyi jeriji dan pintu rumah sebelah dibuka

Mungkin pakcik sebelah sudah pulang ke rumah. Anehnya tidak kedengaran pula suara dua orang anaknya riuh menyambut kepulangannya. Mungkin anak-anaknya sudah lena tidur dalam kedinginan hawa yang diterjemahkan oleh penghawa dingin di rumah mereka.

Mommy melayan tetamu yang bertandang ke rumah

Mereka adalah kawan-kawan Mommy di sekolah menengah dahulu dan kini bertemu melalui aplikasi Whatsapp. Ternyata pada zaman kini manusia boleh dihubungkan dengan penggunaan teknologi, asal saja ia tidak disalahgunakan.

Mata Tedi sudah semakin layu. Suasana sebegini memang sesuai untuk Tedi berhibernasi.


20160605