Selepas tamat latihan bola sepak, semua pelajar duduk melepaskan lelah di bawah sebatang pokok di tepi padang sambil menunggu guru pengajar membawa minuman.

Lima minit kemudian, si guru tiba membawa air sirap yang dibelinya. Berebutlah pelajar-pelajar tadi mengambil air sirap yang dibungkus dalam plastik. Mereka yang dalam kehausan terus minum.

Sang guru hanya memerhati kerenah anak muridnya meminum air sirap mereka dengan kerenah pelbagai ragam.

Ada yang membuka ikatan mati bungkusan air tadi lalu memasukkan straw sebelum menyedut. Bagi pelajar yang gagal membuka ikatan mati bungkusan air pula, menebuk satu lubang kecil dan memasukkan straw melaluinya.

Sesetengah pelajar yang tidak mendapat straw pula, menebuk lubang kecil di bahagian bawah dan minum air melaluinya.

Melihat situasi itu, si guru meminta semua murid berhenti minum. Ada sesuatu yang mahu disampaikannya.

Gambar wanita tua menjual penyapu lidi di jalanan

Perhatikan cara anda meminum minuman masing-masing

"Murid-murid semua, angkat air minuman kamu dan lihat cara anda semua meminumnya", kata si guru.

Semua murid melakukan seperti dipinta. Memang benar, cara mereka minum air tersebut berbeza walaupun air dan bungkusannya sama.

"Ada mesej daripada tindakan anda semua. Dengar murid-murid. Begini, hidup kita ialah pilihan dan ada banyak cara untuk menikmati kehidupan."

"Jangan kita menjadi hamba orang lain yang mengarahkan hidup kita. Kita yang hidup, jadi kita sendirilah yang menentukan kehidupan kita. Saya ulang, hidup ini pilihan dan ada banyak cara untuk kita nikmatinya."

"Dalam situasi anda minum air tadi, pekedai mengikat bungkusan dengan cara yang sama. Ada yang boleh buka, ada yang gagal, jadi tak semestinya kita buka ikatan itu dengan cara yang biasa."

"Kita boleh potong dengan pisau atau kita cucuk sahaja plastik bungkusan itu di mana-mana seperti yang anda lakukan dan kita akan dapat hasilnya."

"Begitu juga hidup kita ini. Mahu berjaya atau tidak itu pilihan anda. Tiada siapa yang dapat menghalang atau menentukannya. Semua terletak atas tangan anda sendiri, dan untuk berjaya itu pula anda mempunyai bermacam-macam pilihan atau cara bagaimana untuk mencapai kejayaan itu. Faham?", Tanya si guru selepas puas berkata-kata.

Anak-anak murid mengangguk sambil memandang semula bungkusan minuman masing-masing.

** Sumber: Majalah Mastika Jun 2016.


Tedi bersetuju dengan pandangan guru tersebut tetapi sebagai hamba Allah kita kenalah faham bahawa kesemuanya adalah dengan izin-Nya. Kita berusaha dan Allah yang menentukannya.