Daripada Ibnu Abbas radiallahu anha berkata, bahawa sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wassalam bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya Allah telah memaafkan (keranaku) daripada umatku amal-amal yang khilaf dan lupa dan yang dipaksakan atas mereka."
Riwayat Ibnu Majah nombor 2043, al-Baihaqi (10/60), al-Tabarani nombor 765, al-Daraqutni (VII/170) dan al-Hakim (11/198)
Huraian dan intipati:
Ibnu Hajar al-Haitami berkata: "Hadis ini mempunyai manfaat yang menyeluruh kerana terdapat 3 perkara yang dibicarakan hadis ini terdapat dalam semua masalah fiqah."
Bahkan hadis ini boleh dikatakan setengah daripada syariat.
Semua perbuatan tidak terlepas daripada dua keadaan:
- sengaja
- tidak sengaja merangkumi kekeliruan, lupa, dan dipaksa
Hadis ini menjelaskan perbuatan manusia yang dilakukan dengan tidak sengaja tidak mendapat dosa. Perbuatan manusia yang dilakukan dengan sengaja akan diberikan hukuman.
Hadis ini juga disebut dalam tafsir ayat 284, Surah al-Baqarah maksudnya:
"Jika kamu melahirkan apa yang ada di hati kamu atau kamu sembunyikan, maka Allah akan mengadili kamu dengan apa yang kamu lakukan itu."
Ayat ini menyebabkan para sahabat berasa tertekan. Oleh kerana itu, Abu Bakar, Umar, Abdurrahman bin Auf dan Mu'adz bin Jabal dengan beberapa orang menemui Rasulullah sollallahu alaihi wassalam.
Mereka berkata: "Kami dibebankan amal yang tak sanggup kami memikulnya. Sesungguhnya seseorang antara kami dalam hatinya ada bisikan yang tidak disenanginya, sekalipun bisikan itu menjanjikan dunia."
Nabi sollallahu alaihi wassalam lalu menjawab:"Boleh jadi kamu mengucapkan kalimah seperti yang diucapkan Bani Israil, iaitu kami mendengarnya tetapi kami akan menentangnya. Kerana itu katakanlah:'Kami mahu mendengar dan mahu mentaati.' "
Perkara itu membuatkan mereka tertekan dan mendiamkan diri. Lalu Allah subhanahu wa ta'ala memberikan kelonggaran dan Rahmat-Nya dengan berfirman yang maksudnya:
"Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Dia akan mendapatkan pahala atas usahanya dan mendapatkan seksa atas kesalahannya, (lalu dia berdoa) 'Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah'" - Al-Baqarah 2:286
Allah subhanahu wa ta'ala telah memberi keringanan dan mansuhlah ayat dari surah al-Baqarah 2:284
Imam Baihaqi berkata bahawa Imam Syafi'i menyatakan:
"Allah berfirman:'Kecuali orang yang dipaksa, sedang hatinya berasa tenteram dengan imannya (maka orang semacam ini tidak berdosa).'"
Pengajaran:
- Orang yang melakukan sesuatu yang dilarang Allah atau meninggalkan perintah Allah tanpa sengaja, baik kerana kekeliruan, lupa atau dipaksa, tidak akan dihukum di akhirat kerana situasi itu adalah kurniaan dan rahmat daripada Allah subhanahu wa ta'ala.
- Allah subhanahu wa ta'ala tidak membebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu melaksanakannya atau menjadikan kita dalam kesulitan.
- Diampuni dosa bukan bererti terbebas daripada tanggungjawab lain, misalnya:
- Seseorang yang tertembak kawan ketika berburu atau tertembak orang Islam ketika berperang dengan orang Kafir, maka dia tidak dibebani dosa tetapi diwajibkan membayar kifarah.
- Seseorang yang tidak melaksanakan solat kerana tidur atau terlupa, maka dia tidak berdosa, namun dia dituntut menggantikan (qada) solatnya ketika dia terjaga atau teringat.
- Orang yang dipaksa untuk mengucapkan perkataan yang menjadikannya murtad tetapi hatinya penuh keimanan, dia tidak berdosa, tetapi jika dia tetap teguh serta tidak mengucapkan perkataan tersebut hingga menyebabkannya terseksa atau terbunuh, itu lebih mulia baginya dan jika terbunuh ia mati syahid.
Sumber: Hadis 39, Buku Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed dan Muhammad Zakaria, Telaga Biru.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.