Adus... tak larat rasanya perut Tedi ni untuk sahur sebab buka puasa makan banyak gila.
Berbuka di Amber Chinese Muslim Restaurant
Semalam kami berbuka puasa di Amber Chinese Muslim Restaurant [lokasi] di Nexus Bangsar South. Tedi bantai makan macam-macam sebab nak jadikan harga RM 34 untuk sajian buffet tu berbaloi buat Tedi.
Tedi makanlah kebab daging, sotong bakar, cendawan sedap, udang goreng, dan yang paling banyak Tedi bantai ialah Mi Tarik sebab tak pernah makan. mang sedap Mi Tarik di sana tapi ia ada banyak jenis, yang satu jenis tu Tedi tak gemar sangat sebab kuah dia macam sup. Mi Tarik yang Tedi gemar tu kuahnya pekat.
Akibat dek perbuatan Tedi yang semberono itu kesannya masih terasa sampai ke sahur pagi ni. Sendawa pun masih ada kesan rempah-ratus Mi Tarik semalam.
Hakikatnya Tedi adalah di antara puak yang memboikot berbuka puasa secara buffet ni tapi semalam ada function dengan kawan pejabat Master. Sistem buffet (ia disebut buf-fei dan bukannya buf-fet.) bermaksud makanan akan diletakkan di satu sudut tertentu dan kita kena ambil sendiri makanan yang kita mahu tanpa had dan jumlah bayaran pula adalah bukan mengikut apa dan jumlah makanan yang dimakan sebaliknya diletakkan harga tetap untuk setiap orang.
Contohnya harga tetap Tedi bayar ialah MYR 34 (tiga puluh empat Ringgit Malaysia sahaja) dan Tedi boleh makan apa-apa sahaja. Ia merugikan mereka yang makan sedikit, dan mungkin menguntungkan mereka yang makan banyak (atau terpaksa makan banyak supaya tidak rugi). Masalah utama sistem buffet ialah pembaziran makanan apabila ada pelanggan yang tamak haloba memenuhkan pinggan masing-masing semasa mengambil makanan kerana mereka takut makanan itu habis diambil orang lain tetapi akhirnya mereka tak larat pun nak habiskan.
Sebab itulah ada pihak yang melarang sertai buffet kerana ia mendorong kepada pembaziran di samping harganya yang mahal yang selalunya tak berbaloi pun untuk dibayar.
Sistem buffet seringkali digunakan di kenduri kahwin pada zaman sekarang.
Menu pilihan Tedi untuk sahur pagi ni adalah emping jagung, kurma, dan air masak.
Sahur pagi ni Tedi tak bercadang nak makan berat. Cukuplah sekadar alas perut. Paling penting Tedi nak banyak minum air sebab Tedi dah kurang minum air beberapa hari kebelakangan ni.
Emping jagung dari jenama NESTLÉ CORN FLAKES itu Tedi makan kosong je tanpa susu sebab Tedi akan kekembungan apabila minum susu.
Ini adalah hari kedua Tedi bersahur dengan menu sebegini. Semalam pertama kali Tedi mencubanya dek kerana Tedi baru je makan malam di sekitar jam 10 malam.
Kepada sesiapa yang mencuba menu sahur Tedi ni... selamat mencuba...
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.