Al-fatihah.

Dari mana datangnya nama Jalan Ma'arof di Bangsar. Encik Ma'arof ialah bapa kepada seniman veteran Datuk Mustapha Ma'arof.

Ini adalah kisah yang Tedi baca dan Tedi rasakan satu kisah sejarah yang memang patut dikongsikan kepada rakyat Malaysia bagaimana seseorang itu berani berkorban kerana berpegang kepada prinsip.

 

Maarof Diculik, Dibunuh dan Digantung Dalam Hutan

Orang ramai terutama peminat filem Melayu cukup mengenali seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka dan beratus drama di Singapura dan Malaysia. Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapa bapanya, Allahyarham Maarof Zakaria.

Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli-belah Bangsar.

Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari.

Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan. Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973).

Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991).

 

Pengasas Malay Nasional Bank

Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama untuk orang Melayu iaitu Malay National Bank bertempat di Klang Street, di ibu negara pada 1946. Bank itu ditubuhkan bersama rakannya, mendiang S M Leong dan beroperasi di bangunan sama di firma guaman mereka.

Pada ketika itu juga, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad pernah menawarkan jawatan Menteri Besar yang pertama tetapi Allahyarham Maarof menolak dengan baik.

"Ayah dan ibu pernah bercerita mengenai tawaran itu, tetapi disebabkan minatnya dalam bidang ekonomi dan guaman, ayah menolak.

Tawaran itu diserahkan kepada Allahyarham Tun Abdul Malek Yusuf yang diangkat sebagai Menteri Besar pertama (1 Februari 1948 hingga 1953)," kata anaknya, Mustapha.

Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ialah melalui sistem perbankan yang sistematik.

 

Usaha Ditentang

Namun, sayangnya niat murni tokoh itu disalah tafsir oleh pihak tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).

Ketika itu, orang Melayu cuma dibenarkan meminjam wang daripada ceti haram. Pihak yang cemburu dengan langkah berani Maarof mengambil tindakan drastik dengan menculik dan membunuh Maarof pada Disember 1947.

Maarof yang ketika itu berusia 43 tahun diculik pada Khamis, 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menuju ke rumah ibunya di Seremban Negeri Sembilan.

Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati, digantung pada sebatang pokok dalam hutan, berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947.

Ketika ditemui, mangsa masih memakai seluar Khaki, manakala jam tangannya dipercayai jenama Rolex dan pakaian tidak dicuri. Peliknya, polis mendapati tayar belakang serta tayar simpanan keretanya hilang.

Misteri kehilangan jadi liputan

Kajian BH Ahad di Arkib Negara mendapati, misteri kehilangan Maarof mendapat liputan meluas akhbar The Straits Times dan The Sunday Times yang menyiarkan laporan di muka depan selama dua hari berturut-turut.

Laporan The Sunday Times pada 7 Disember bertajuk 'Car only clue to lost banker' (Kereta jadi petunjuk kehilangan pemilik bank).

Berdasarkan laporan itu, kereta Maarof ditemui sehari selepas beliau dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Baru menuju ke Seremban, Negeri

Sembilan untuk menziarahi ibunya.

Maarof dipercayai diculik ketika dalam perjalanan ke Seremban dan persoalan bagaimana keretanya berada di Pahang menimbulkan tanda tanya pasukan penyiasat.

Isterinya, Kamsiah Mohd Ali, berkata suaminya memaklumkan akan pulang pada sebelah petang Khamis dan jika lewat, beliau akan bermalam di Seremban dan akan pulang keesokannya.

 

Pesanan terakhir

"Dia memberitahu saya supaya jangan bimbang jika dia pulang lewat kerana akan kembali keesokannya. Kami tahu, dia tidak sempat sampai ke rumahnya. Mereka membawa saya ke tempat kereta ditemui dan memang itu keretanya," katanya dipetik The Sunday Times.

Polis percaya, Maarof ditahan oleh beberapa individu yang menaiki kereta lain sebelum membawa mangsa menuju ke Bentong. Keretanya ditinggalkan di penghujung jalan mati, tidak jauh dari kilometer 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong.

"Kami gagal mendapat maklumat tepat apa yang sebenarnya berlaku," kata pegawai kanan polis. Keesokannya, The Straits Times melaporkan artikel bertajuk `Missing Banker Found Hanged in Jungle' (Pemilik bank yang hilang ditemui digantung di hutan).

Selepas polis menemui keretanya, pasukan pencari sudah beberapa kali melalui kawasan sama tetapi gagal menemui mayatnya sehingga ia ditemui digantung pada sebatang pokok pada Sabtu pagi (7 Disember).

Jenazah Allahyarham yang mula berkhidmat di Malay Civil Services di bawah Negeri Bersekutu pada 1924, dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Mohamaden, Ampang, Selangor.

Sehingga kini, kes bunuh Allahyarham tidak pernah diselesaikan dan menimbulkan persoalan, siapa yang membunuh, kenapa mangsa dibunuh dan siapa dalangnya

 

INFO: Maarof Zakaria

Asal: Seri Menanti, Negeri Sembilan

Tarikh lahir: Tahun 1904

Kerjaya: 

  • Penolong pegawai daerah di Selama, Parit, Kampar dan Tapah di Perak
  • Penolong Pendakwa Raya (zaman pemerintahan Jepun)
  • Majistret polis Kuala Lumpur
  • Timbalan pendakwa raya di Selangor
  • Pengarah Urusan Malay National

Bank.

Bidang guaman: Membuka firma guaman, SM Leong Legal Firm bersama mendiang Tan

Sri SM Leong Mati dibunuh pada 14 Disember 1947 (usia 43 tahun)

Isteri: Kamsiah Mohd Ali

Anak: Maimunah, Rahmah, Mustapha dan Azura

Pendidikan: Sekolah St Paul, Negeri Sembilan; Kolej Melayu Kuala Kangsar (Cambridge) dan latihan amali guaman di United Kingdom (1928 dan 1930)

 

Saya di MCKK ketika ayah dibunuh

SUBANG: "Ketika menerima berita kematian ayah, saya berada di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar). Pengetua memaklumkan, ia berita buruk, ayah kamu ditimpa musibah dan mesti pulang segera ke Kuala Lumpur," kata anak Allahyarham Maarof Zakaria, Datuk Mustapha Maarof.

(Mustafa meninggal dunia pada 15 Disember 2014. Ketika artikel ini disediakan Allahyarham masih hidup).

Mustapha, pelakon filem Melayu yang masih aktif mengakui ketika itu, beliau berumur 13 tahun dan terlalu kecil untuk memahami apa yang berlaku, tetapi selepas sekian lama hasil kajian dijalankan sendiri, mereka sekeluarga percaya bapanya menjadi mangsa konspirasi terancang.

 

Terima telegram

Mengenang kembali detik sedih itu, Mustapha menerima panggilan kecemasan melalui telegram pada waktu tengah hari menyebabkannya terpaksa menunggu kereta api keesokan hari untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Mengikut prosedur MCKK, urusan menghantar pulang pelajar akan diuruskan secara berkumpulan tetapi bagi kes kecemasan itu, pengetua mengarahkan seorang pengawas mengiringi Mustapha pulang ke ibu negara.

"Sepanjang malam saya tak boleh lelapkan mata. Rasanya terlalu lama nak menunggu hari siang. Saya menaiki kereta api pada sebelah pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada senja, kira-kira jam 7 petang," katanya.

Ketibaan Mustapha disambut sepupunya, Mustafa Yusof menaiki kereta jenama Austin milik arwah bapanya. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru, mereka hanya membisu kerana terlalu sedih.

"Dia cuma cakap... Tapa, your daddy dah tak ada. Itu saja. Saya pun tak terkata apa-apa," katanya yang masih mengharapkan fail siasatan kes bunuh bapanya diteliti semula.

"Apa yang saya tahu, ayah dibunuh selepas diculik selama empat hari. Arwah pernah berbual dengan ibu tiri saya (Kamsiah Mohd Ali), katanya kalau bangsa Melayu nak maju, kena tingkatkan ekonomi. Satu daripadanya ialah mempunyai bank sendiri," katanya.

Suami kepada bintang filem era 1950-an, Allahyarhamah Roseyatimah itu cukup hairan kenapa bapanya yang memang dikenali sebagai individu yang cukup peramah dan merendah diri dibenci pihak tertentu sehingga sanggup membunuhnya.

"Dia bukannya ada hutang dengan sesiapa. Saya sendiri mengkaji, dia tiada masalah itu. Bahkan, jika balik ke kampung, arwah akan tumpangkan sesiapa saja yang ditemui di tepi jalan.

 

Orang kampung

"Arwah orang kampung, itulah sikapnya. Seperkara lain, dia tak pernah lupa diri. Hobi suka menjala dibawa ke mana-mana saja dia pergi. Dulu, kami sering menjala ikan di lombong Sungai Besi. Saya sendiri belajar menjala daripada ayah," katanya mengimbau detik manis bersama Allahyarham.

Bahkan, kata beliau, bapanya sanggup memujuk ibunya yang berada di Mambau, Negeri Sembilan supaya menjual tanah pusaka sebanyak 10 hektar semata-mata untuk menampung kos operasi dan menubuhkan Malay National Bank.

"Saya tak pasti berapa kos tubuhkan bank ketika itu. Tetapi arwah memang perlukan modal tambahan, sebab itu sanggup jual tanah," katanya yang sering mengikut bapanya berpindah randah ketika berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di beberapa daerah di Perak.

 

Asal-usul nama Jalan Maarof di Bangsar

Gambar papan tanda Jalan Maarof yang terletak di Bangsar. - Foto Syaharim Abidin
Jalan Maarof yang terletak di Bangsar. - Foto Syaharim Abidin

Ditanya mengenai nama Jalan Maarof sempena nama bapanya, Mustapha mengakui beliau pernah dimaklumkan mengenai nama jalan itu oleh Yang di-Pertuan Agong ke-10, Al-Marhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.

"Tuanku pernah tanya adakah saya tahu nama Jalan Maarof itu adalah sempena nama arwah ayah. Saya katakan pernah dengar tetapi tak ada hitam putih. Tetapi Tuanku sendiri maklumkan, memang nama itu sempena nama arwah ayah.

"Saya tak pasti kenapa nama itu diletakkan sempena nama ayah, tetapi saya percaya mungkin atas jasanya dalam bidang ekonomi," katanya yang kini menetap di Subang Jaya.

Selepas Maarof meninggal dunia, perniagaan bank itu diuruskan anak saudaranya, Mustafa yang sebelum itu pernah berkhidmat di unit terjemahan Berita Harian, Kuala Lumpur.

 

Sumber rujukan: