gambar Faiz Subri ketika beraksi bersama skuad Pulau Pinang

  1. Tahniah diucapkan kepada Mohd Faiz Subri yang memenangi anugerah Puskas bagi gol terbaik di dunia pada tahun 2015.
  2. Setelah ditonton berkali-kali, memang pencabar yang lain kelihatan takkan mampu mencabar gol beliau itu, dan ia terbukti apabila peratus undian diperolehinya adalah 60%.
  3. Beliau telah menerima anugerah itu daripada Ronaldo dan Faiz Subri telah berucap menggunakan Bahasa Inggeris walaupun tidak fasih. Dia kemudiannya menyatakan bahawa dia dilarang menggunakan Bahasa Malaysia kerana tiada penterjemah.
  4. Kelakar pula membaca komen para manusia di Malaysia ini pasal penguasaan Bahasa Inggeris yang tidak fasih oleh Faiz Subri. Ia tidaklah menghairankan kerana orang Malaysia lebih omputeh daripada omputeh tu sendiri.
  5. Para pemain lain yang berucap menggunakan Bahasa Sepanyol atau Bahasa France tu sama juga tidak mampu berbahasa Inggeris, tapi tiada masalah bagi mereka. Kita ni pula yang lebih sudu daripada kuah.
  6. Jose Mourinho semasa mula-mula datang melatih kelab Chelsea pun Bahasa Inggerisnya jahanam juga. Louis Van Gaal pun sama juga, tidak menjadi masalah buat mereka.
  7. Apa yang penting sebagai pemain bola sepak adalah kemahiran mereka dan kemampuan berkomunikasi di atas padang menggunakan bahasa bolasepak.
  8. Kelakar juga mendengar Annuar Musa mengaku Mohd Faiz Subri sebagai anak didik beliau. Tidaklah menjadi kesalahan, tapi kalau orang lain yang labelkan tentunya lebih manis.
  9. Kelakar juga mendengar Tunku Mahkota Johor tidak puas hati kerana kejuaraan Johor Darul Ta'zim tidak dihebohkan media seperti mana berita pasal Mohd Faiz Subri sedangkan pencapaian JDT "lebih hebat". Errm... pengiktirafan untuk gol Mohd Faiz Subri tu satu dunia kot... takkanlah media massa Malaysia yang pemalas ni tak mahu tumpang semangkuk? Tambahan berita pasal Faiz Subri ada merata, tinggal untuk diterjemah sahaja oleh media massa Malaysia. Tengok sahajalah berita pasal Liga Perdana Inggeris lebih banyak berbanding liga tempatan di Malaysia.
  10. Toksahlah duk berdukacita, sekejap sahaja hebohnya tu, biarkanlah Mohd Faiz Subri menikmati rezeki yang diterimanya.
  11. Sekurang-kurangnya kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga kerana ada juga pemain bolasepak kita menerima anugerah bertaraf dunia sebegitu. Mungkin ia akan mendorong rakyat Malaysia yang menjadikan bola sepak sebagai sumber rezeki untuk berusaha lebih gigih.
  12. Kasihan pula kepada FIFA kerana sebelum ni mereka sudah mahu menamatkan kajian ke atas gol-gol pelik di dunia, tetapi gol Mohd Faiz Subri itu mungkin akan menyebabkan mereka menyambung kajian.

20170114