Kebanyakan kucing tidur sekitar 16 jam sehari

Manakala anak kucing dan kucing tua pula tidur lebih lama berbanding tempoh enam belas jam tersebut.

Kenapa kucing banyak tidur? Kerana 70% (tujuh puluh peratus) daripada kehidupan seharian mereka memang dikhususkan untuk tidur.

Masa senggang kucing bukanlah digunakan oleh kucing untuk merancang strategi menangkap burung atau tikus, bukan pula menonton telenovela atau drama atau cerekarama atau wayang melalui kaca televisyen sehingga membantu mengkayakan ASTRO, dan bukan juga dengan cara melepak minum teh tarik atau mengumpat di atas tangga, tetapi masa lapang mereka dihabiskan dengan tidur, dan mereka memang cekap melakukannya!

Jika ditanya kucing tidur berapa jam sehari, jawablah dengan yakin, kucing tidur 16 jam sehari.

Tidur adalah lumrah kehidupan keluarga kucing

Kita perhatikan sahaja kucing yang hidup liar seperti Harimau Malaya dan juga Kucing Hutan, mereka memburu untuk mengisi perut mereka, di mana aktiviti memburu ini memerlukan banyak tenaga kerana mangsa mereka ni pun licik-licik belaka.

Oleh sebab itu kucing perlu banyak tidur untuk menyimpan tenaga yang diperlukan, dan mereka akan memburu apabila mangsa mereka memberi peluang. Jika diperhatikan bagaimana Harimau Malaya memburu, ia akan menyembunyikan dirinya dan kemudian melakukan serangan hendap ke atas mangsanya.

Begitu jugalah dengan Harimau Malaysia, mereka akan lebih banyak bertahan daripada menyerang, dan mungkin juga mereka lebih banyak tidur? Sebab itulah ada lagu, "bangun... bangun... bangun harimau bangun... musuh sudah datang... jangan tidur lagi"?

Opppss... melalut pula Tedi ni, tapi cukuplah kan untuk menjelaskan sikap si kucing? Jadi Persatuan Bolasepak Malaysia harus tukar logo, jangan guna harimau lagi sebab mereka tu kucing, dan kucing suka tidur.

Tapi, bukankah kucing rumah tidak memburu mencari makanan?

Memanglah, kucing rumah atau kucing domestik memanglah tidak perlu memburu mencari makanan kerana makan minum mereka disediakan oleh penjaga mereka.

Tapi mereka tetap seekor kucing, dan kucing tetap akan berperangai seperti seekor kucing. Mereka ada keperluan semulajadi untuk tidur dan simpan tenaga mereka.

Biasanya kucing tidur berapa lama?

Purata tempoh kucing tidur adalah sekitar 16 jam, tetapi kucing muda dan kucing tua akan tidur purata 18 jam sehari.

Kucing bukan haiwan nocturnal

Ramai manusia percaya bahawa kucing adalah nocturnal iaitu berjaga malam dan aktif pada masa tersebut.

Ia adalah tanggapan yang salah kerana kucing adalah haiwan crepuscular yang aktif pada masa matahari terbit dan tenggelam, masa yang sesuai untuk mereka menangkap buruan mereka.

Hal ini menguasai corak tidur semua kucing.

Hiburkan kucing anda

Jika suasana di rumah anda sangat membosankan, tidak hairan kucing anda kerap tidur.

Untuk menggalakkan kucing anda menjadi aktif, ceriakan suasana dengan menyediakan alat permainan interaktif, dan juga aktiviti perapian badan.

Peningkatan aktiviti akan menguatkan otot badan dan jantung kucing kesayangan anda, di samping mengurangkan berat badan.

Tidur berlebihan mungkin petanda masalah

perubahan corak tidur dan gusi pucat mungkin tanda kucing diserang anemia

Perubahan corak tidur mendadak mungkin adalah petanda bahawa kucing anda sedang sakit.

Tanda-tanda kucing diserang anemia

Jika kucing anda bukan anak kucing atau kucing tua, ia seharusnya mengekalkan tempoh tidurnya.

Jika masa tidurnya telah bertambah, periksa gusinya. Jika gusinya pucat, ia adalah tanda kucing anda diserang anemia.

Anemia boleh membunuh kucing anda, jadi segeralah hantar ia berjumpa doktor haiwan.

Kesimpulannya?

Kucing suka tidur, maka biarkan mereka tidur. Jangan dikecam kucing asyik tidur, dan jangan ditanya kenapa kucing asyik tidur.

Jika tiada tanda penyakit, tekanan, atau kucing anda masih berminat untuk bermain, jangan risau walaupun kucing anda banyak tidur.