Wow... malam ini Tedi mahu berbicara perihal satu lagu klasik yang sekarang ni duk berkumandang di corong pembesar suara di komputer riba Tedi ni.

Penyanyi Suratan atau Kebetulan

Lagu itu bertajuk "Suratan atau Kebetulan" yang dinyanyikan oleh 3 orang bukan Melayu iaitu Kenny, Remmy dan Martin. Tapi sebutan mereka sungguh fasih dan jika mahu dibandingkan penyanyi bukan Melayu zaman sekarang mungkin Elizabeth Tan mampu menandingi kefasihan mereka bertiga berbahasa Malaysia.


Pencipta dan Penulis Lirik Lagu Suratan atau Kebetulan

Lagu "Suratan atau Kebetulan" ini dicipta oleh salah seorang ahli kumpulan tersebut iaitu Kenny Tay dan liriknya ditulis oleh Habsah Hassan.


Lirik Lagu Suratan atau Kebetulan

Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan?
Atau hanya satu kebetulan?

Kita asyik membicarakan persoalan hidup dan pilihan
Sedang kejujuran semakin berkurang
Masih tiada bertemu jawapan

Walau kita dihadapkan dengan berbagai pilihan
Mengapa sering terjadi pilihan tak menepati?
Hingga amat menakutkan menghadapi masa depan
Seolah telah terhapus sebuah kehidupan yang kudus

Pertemuan sekali ini
Bagi diriku amat bererti
Tetapi ku bimbang untuk menyatakan
Bimbangkan berulang kesilapan

Gambar cover majalah lirik lagu suratan atau kebetulan

Sumber gambar: Ulasan artikel majalah JOM

 


Berkisar tentang suasana politik Malaysia?

Tedi bukanlah peminat lagu klasik sebegini cuma satu perbualan dengan seorang pakcik telah menarik minat Tedi untuk mendengar dan menghayati lagu ini.

Pakcik itu menyatakan bahawa pada suatu masa dahulu, tahap keyakinan rakyat Malaysia adalah rendah kepada kepimpinan negara Malaysia, sehingga lagu yang dihasilkan pada zaman itu seolah-olah membicarakan kepincangan tersebut.

Tedi pun duk mengulang dengar lagu tersebut dan cuba kaitkan dengan suasana sekarang.

Bicara lirik lagu Suratan atau Kebetulan

Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan?
Atau hanya satu kebetulan?

Sekarang ini rakyat Malaysia dihujani dan dihantui oleh macam-macam isu yang tidak enak didengar.

Kita dikenakan GST, kemudian isu 1MDB, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia, kenaikan kos hidup, berita rasuah besar-besaran tapi tidak dikenakan tindakan, kejatuhan nilai saham FGV yang didagangkan di bawah "naungan" Isa Samad, pemecatan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Mukhriz letak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, dan lagi dan lagi

Kita asyik membicarakan persoalan hidup dan pilihan
Sedang kejujuran semakin berkurang
Masih tiada bertemu jawapan

Dari pelbagai isu yang timbul, kita disuapkan dengan janji penambahbaikan, atau dihidangkan dengan tiadanya pilihan untuk kita, terpaksa mengikut perkembangan semasa.

Tapi kita berasakan seolah kita tidak mendapat sebarang jawapan kerana isu-isu yang muncul membolehkan kita mempersoalkan jati diri para pemimpin kita.

Adakah mereka pemimpin yang jujur? Adakah mereka pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat? Atau adakah mereka hanya mengejar keuntungan untuk diri mereka sendiri?

Walau kita dihadapkan dengan berbagai pilihan
Mengapa sering terjadi pilihan tak menepati?
Hingga amat menakutkan menghadapi masa depan
Seolah telah terhapus sebuah kehidupan yang kudus

Semasa pilihanraya, rakyat Malaysia mempunyai agak banyak parti dan calon untuk diundi, dan akhirnya Barisan Nasional juga yang diundi.

Tetapi kemudiannya kita berasakan undi yang dibuat tidak betul apabila melihat kerenah dan jawapan yang diberikan oleh para pak menteri yang seolah dungu, kaki jilat, kaki bodek, berdolak-dalih, dan yang paling haru ada yang seolah samseng menggertak rakyat Malaysia keluar negara jika tidak suka duduk di Malaysia.

Kita menunggu kembalinya musim pilihanraya sebagai saat sesuai untuk menghukum para pemimpin yang tidak sedar di untung tu.

Pertemuan sekali ini
Bagi diriku amat bererti
Tetapi ku bimbang untuk menyatakan
Bimbangkan berulang kesilapan

Musim pilihanraya muncul kembali, tapi pada saat ini muncul pula kegusaran di dalam hati untuk menghukum para pemimpin yang kita tidak suka.

Kita takut pisang akan berbuah dua kali walaupun kita menukar pemimpin.

akhirnya Barisan Nasional juga yang diundi...

Gamaknya betullah apa yang pakcik tu cakap... lagu ini pasal ketidakyakinan rakyat Malaysia untuk memilih apa yang terbaik buat mereka.

# Suratan atau Kebetulan lirik # lirik lagu Suratan atau Kebetulan

20170106