Semalam macam biasa tiba sahaja dari pejabat, Master akan cari makan malam.

Kami tiba di rumah agak lewat, dalam lingkungan jam 9 malam, sebabnya kami bertolak lewat dari pejabat Master di Bangsar South kerana jalan yang sesak selepas hujan pada hari Jumaat. Lazimnya hari Jumaat memang akan sesak sebab bermulanya hari minggu di mana ramai manusia mencari tempat untuk berlibur, dan ramai juga yang memulakan perjalan keluar dari Kuala Lumpur untuk mencari tempat berehat.

Master hantar Mommy ke rumah dulu kerana Mommy diet gula dan garam, manakala Master memerlukan makanan untuk mengisi perut yang agak kekosongan.

Pada mulanya Master ke Gerbang Selatan untuk mencari sesuap nasi, tetapi kedai makan tersebut tutuplah pula. Akhirnya Master ke Nija untuk makan Roti Nan.

Hendak dijadikan cerita, di situ Master terserempak dengan seorang pemilik XV STI.

gambar tayar Subaru XV

Berapa minyak XV kau pakai?

Itu adalah soalan yang diajukan oleh pakcik tersebut kepada Master. Sambil itu dia memaklumkan bahawa XV milik beliau menggunakan 9 liter minyak per 100 kilometer.

Master tidak terus menjawab, kerana jawapan yang perlu diberikan agak panjang.

"Mula-mula semasa aku gunakan tekanan angin 35 PSI sebelum ni, XV aku gunakan 8.6 liter minyak per 100 kilometer."
"Tapi baru-baru ni aku tukar guna tekanan 37 PSI, dapatlah dalam 7.4 liter petrol per 100 kilometer."

Pakcik itu agak terkejut dengan penjelasan Master tersebut.

Sebenarnya Master pun agak terkejut, dan jika boleh dia masih mahu menjalankan kajian itu buat masa yang lebih panjang, kerana pada masa ini, kajian itu baru digunakan dalam masa 3 minggu, meliputi perjalanan ke Kelantan, Pulau Pinang dan juga perjalanan harian ke Kuala Lumpur.

Pengaruh tekanan tayar kepada penggunaan petrol

Sebenarnya ini adalah satu kajian di bawah satu teori, iaitu "tayar dengan tekanan angin lebih keras akan menjimatkan petrol".

Master masih cuba membuktikan teori tersebut dan nampaknya ia adalah benar setakat ini.

Kesan buruk penggunaan tekanan tayar lebih keras

Namun, kebaikan atau faedah menggunakan tayar dengan tekanan keras perlu dibayar dengan sesuatu juga.

Pertama, tayar keras akan menyebabkan perjalanan menjadi tidak selesa dan bunyi tayar lebih kuat. Tekanan 37 PSI memang agak tidak selesa, jadi mungkin selepas ini Master akan mencuba tekanan tayar 36 PSI pula.

Kedua, tekanan tayar yang terlebih akan mengurangkan jangka hayat tayar anda. Jadi walaupun anda jimatkan minyak, anda mungkin kena menukar tayar lebih cepat! Apabila harga tayar sebiji RM 500, mungkin ia perlukan lebih penelitian dan perbandingan di antara dua pilihan tersebut.

Berapakah tekanan angin yang sesuai untuk Subaru XV?

Ia adalah subjektif. Lebih bagus jika menurut panduan yang disediakan oleh Subaru, tetapi Master tidak berapa gembira dengan panduan tersebut dan berasaka ia terlalu rendah.

Master merasakan bahawa tekanan 35 PSI adalah bagus untuk pemanduan selesa tetapi pecutan agak lambat, manakala tekanan 37 PSI bagus untuk memecut dan jimat petrol Subaru XV, tetapi pemanduan tidak selesa kerana hentakan keras dan bunyi bising pada tayar.


14 Jan 2017, 20170114