Seekor harimau telah ditembak mati di sebuah zoo di China selepas ia menyerang seorang lelaki yang menceroboh ke dalam zoo tersebut dengan memanjat pagar semata-mata untuk mengelakkan membayar tiket masuk. Malangnya lelaki itu tersilap kawasan pendaratan setelah dia termasuk ke dalam kandang harimau tersebut.
Para pegawai pelancongan tempatan menyatakan bahawa lelaki itu, yang namanya masih belum didedahkan, sedang melawat Youngor Zoo di Ningbo bersama isterinya, dua anak dan satu lagi pasangan pada hari Ahad lalu, apabila dia memutuskan untuk memanjat dua dinding untuk memasuki zoo tersebut bagi mengelakkan bayaran masuk, seperti yang dilaporkan BBC.
Polis Tembak Mati Sang Harimau
Lelaki itu melepasi dua tembok 10 kaki termasuk dinding yang memisahkan sarang harimau tersebut. Dia diserang setelah terjatuh ke dalam sarang harimau tersebut sebelum meninggal dunia di hospital.
BBC melaporkan bahawa harimau itu kemudiannya dibunuh oleh polis tempatan. Kematian harimau itu telah menyebabkan media sosial dibanjiri kutukan orang ramai yang marah dengan tindakan lelaki itu menceroboh kawasan harimau terbabit.
Seorang pengguna rangkaian blog mikro Weibo menulis - "Kematian pengunjung itu setelah diserang harimau tidak patut menerima sebarang simpati. Harimau adalah haiwan karnivor (pemakan daging) dan sudah menjadi tabiat semula jadi mereka untuk memburu mendapatkan makanan. Siapakah yang anda boleh salahkan apabila anda menceroboh ke kawasan mereka dan diserang? Bersemadilah dengan aman wahai harimau."
Ini adalah satu contoh kebodohan para manusia yang mengorbankan haiwan di dunia. Kebodohan si mati yang menceroboh ke kawasan harimau tersebut, dan kebodohan mereka yang membunuh harimau tersebut.
Tapi mungkinlah harimau itu dibunuh ketika ia menyerang lelaki tersebut, dengan harapan lelaki itu dapat diselamatkan. Mungkin sahaja ketika itu tiada cara lain seperti membius harimau itu demi selamatkan lelaki tersebut.
Pengorbanan Sang Harimau
Mungkin ini harga pengorbanan yang terpaksa dibayar oleh kawan kita si harimau tersebut, untuk mengajar manusia bahawa jangan sesekali menceroboh kawasannya dengan memanjat pagar zoo demi sedikit keuntungan, dan juga kepada pihak zoo supaya mengatur dan berlatih untuk bersedia menghadapi situasi sedemikian.
Tedi juga meragui sebab-musabab lelaki tersebut memanjat dinding tembok zoo tersebut, adakah dia sekadar mahu berlagak hebat? Atau dia benar-benar tiada duit?
Tapi kita juga boleh berbangga dengan si mendiang, kerana mahu membawa keluarganya melawat zoo berkenalan dengan haiwan-haiwan di sana, malangnya mungkin sahaja dia telah memberikan kenangan buruk kepada keluarganya.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.