Hari ini kami keluar awal dari rumah ke Bangsar South, kerana Master ada kursus UXchange Malaysia 2017 di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur.
Kami bertolak dari Bandar Baru Salak Tinggi pada jam lebih kurang 6.40 pagi. Perjalanan kami memakan masa lebih kurang sejam, maka kami tiba di Bangsar South sekitar jam 7.40 pagi. Alhamdulillah perjalanan pagi tadi kurang kesesakannya di Lebuhraya Pantai Baharu, tetapi berlaku kesesakan jalan raya yang agak teruk di Lebuhraya Maju Putrajaya hala Kuala Lumpur.
Dari Bangsar South ke Stesen LRT Kerinchi
Setelah meletakkan kenderaan, Master bertolak ke Stesen LRT Kerinchi yang terletak berhampiran Menara TM yang juga dikenali sebagai Menara Rebung. Lokasi kedua-dua Stesen LRT Kerinchi dan juga Menara TM ini dihubungkan dengan Bangsar South melalui sebuah jejantas pejalan kaki yang menyeberangi Lebuhraya Persekutuan.
Menggunakan kad Touch 'n Go di Stesen LRT Kerinchi, Master akhirnya menaiki tren untuk ke Stesen LRT Ampang Park. Jumlah penumpang tren amat ramai dan Master terpaksa bergayut seperti tarzan jika tidak seperti Orang Utan. Master kata hampir tercabut jugalah tangannya... kononnya lah.
Dari Stesen LRT Kerinchi ke Stesen LRT Ampang Park
Jika disemak melalui aplikasi Google Navigation and Map untuk perjalanan dari Bangsar South ke Intercontinental Hotel Kuala Lumpur menggunakan tren, anda perlu mengambil LRT ke Stesen Ampang Park, dan dari sana anda boleh berjalan kaki sejauh 110 meter sahaja. Senang cakap Hotel Intercontinental Kuala Lumpur tu sebenarnya berada hanya di belakang Stesen LRT Ampang Park.
Dari Stesen LRT Ampang Park ke Hotel Intercontinental Kuala Lumpur
Master pula sudah silap jalan pada awalnya apabila dia menurut arus orang ramai sehinggalah dia berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila telah lama berjalan namun tidak kelihatan Hotel Intercontinental Kuala Lumpur. Deretan bangunan pula semakin lama semakin rendah.
Master cuba meminta bantuan seorang makcik, namun tidak dilayan. Kemudian Master bertanya lagi kepada seorang makcik yang lain, dilayan, namun makcik itu tidak tahu di mana Intercontinental Hotel di kawasan tersebut. Master terpaksa mengeluarkan Google Map dan mengikut arah yang ditunjukkan, alhamdulillah, bersua juga Master dengan jalan yang benar... hehe...
Masuk sahaja ke dalam lobi Intercontinental Hotel Kuala Lumpur tersebut, Master disapa seorang gadis penjaga pintu berbusana kebaya tradisional berwarna kuning cair. Master bertanyakan lokasi pendaftaran event UXChange Malaysia 2017 tersebut, dan gadis penjaga pintu berbaju kebaya berwarna kuning cair tersebut memberitahu Master supaya mengambil elevator di sebelah kiri dan naik ke tingkat 2.
Semasa menunggu elevator sekali lagi Master terkejut apabila melihat para pekerja hotel lelaki dengan pakaian yang sungguh segak, mengalahkan Master yang hanya memakai kemeja kuning dan seluar denim. Nasib baiklah Master tak pakai seluar yankee.
Sampai sahaja di tingkat 2, kedua kali Master terkejut sebab orang lain semua smart dan handsome belaka. Kawan Master iaitu Uncle J pun berpakaian seperti seorang pengurus. Master sudah serba tidak kena.
Master ke kaunter pendaftaran dan terserempak pula dengan Uncle Fizie, seorang ex-colleague beliau. Uncle Fizie juga segak dengan baju kemeja, lagak seperti seorang pengurus juga gayanya. Apa yang agak menghairankan ialah Uncle Fizie kelihatan semakin tembam dan katik! apa ilmu yang beliau pakai sehinggakan boleh sekatik begitu, tiadalah Master tahu.
Seminar atau kursus tersebut menerangkan mengenai UX yang bermaksud User Exprience atau dalam Bahasa Melayu dipanggil Pengalaman Pengguna. Tujuan kursus tersebut adalah untuk memperkenalkan UX di Malaysia dan promosi latihan yang ada untuk dihadiri. Jumlah bayaran untuk latihan dan peperiksaan bagi kemahiran UX tersebut adalah RM 22000 (dua puluh dua ribu Ringgit Malaysia sahaja).
Kursus tersebut tamat sekitar jam 2.30 petang. Master dan kawan-kawannya kemudian pulang ke pejabatnya di Bangsar South dengan menaiki Proton Saga milik Uncle R.
Cukuplah Tedi melalut sampai ke sini
Tedi nak masuk tidur dahulu. Tedi letih sebab semalam tak berapa lena tidur kerana kaki rasa terbakar!
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.