Alhamdulillah, setelah mengambil masa selama lebih kurang tiga hari tiga malam untuk menyiapkan kiriman ini, akhirnya ia berjaya juga disudahkan. Tersengguk-sengguk jugalah Tedi dibuatnya kerana ia memerlukan beberapa pembacaan yang agak berat.
Berikut adalah beberapa kebaikan muzik:
- 1. Meningkatkan Kemahiran Visual dan Percakapan
- 2. Memelihara Kesihatan Otak Usia Tua
- 3. Muzik Menggembirakan Manusia
- 4. Degupan Jantung, Nadi, dan Tekanan Darah
- 5. Meningkatkan Kualiti Tidur
- 6. Tingkatkan Kekebalan Badan dan Kurangkan Kesakitan
- 7. Kurangkan Kemurungan dan Kerisauan
Pendahuluan
Muzik memainkan peranan besar dalam kehidupan manusia di serata dunia. Ke mana sahaja kita pergi di muka bumi, apa jenis kaum yang kita temui, akan ada muzik yang mengiringi. Muzik menjadi satu jenis budaya yang mencorakkan sesuatu bangsa.
Muzik secara amnya dimainkan untuk hiburkan hati, melegakan tekanan, dan ada juga digunakan untuk menaikkan semangat.
Malahan ada pula ritual bersifat spiritual di mana muzik digunakan dalam upacara mengubati mereka yang sakit! Di dunia Melayu sahaja kita ada Ulek Mayang dan Main Puteri serta banyak lagi persembahan muzik memuja semangat yang tidak kelihatan, yang kini semakin hilang kerana kehadiran keimanan dalam hati.
Apakah perubatan zaman dahulu menggunakan muzik adalah salah satu tanda kebaikan muzik ke atas manusia? Mungkin.
1. Meningkatkan Kemahiran Visual dan Percakapan
Beberapa kajian menunjukkan bahawa pendidikan muzik pada usia muda akan merangsang otak kanak-kanak melalui beberapa cara yang turut membantu kemahiran verbal, kemahiran berkomunikasi, dan kemahiran visual.
Satu kajian yang menumpukan kepada kanak-kanak 4 sehingga 6 tahun yang menerima latihan muzikal termasuk latihan ritma, pitch, melodi, suara dan konsep muzikal menghasilkan kebolehan untuk memahami perkataan-perkataan dan menjelaskan maksudnya.
Kajian ke atas subjek kanak-kanak dari 8 sehingga 11 tahun menunjukkan bahawa pelajar yang terlibat dalam aktiviti kurikulum kelas muzik mempunyai IQ verbal yang lebih tinggi dan verbal visual mereka adalah lebih bagus berbanding mereka yang tidak mengambil kurikulum kelas muzik.
Malah kanak-kanak berusia semuda satu tahun yang terlibat dengan pelajaran muzik interaktif bersama ibu bapa mereka mempunyai lebih kebolehan untuk berkomunikasi, senyum lebih kerap, dan menunjukkan tindakbalas otak sofistikated kepada muzik.
2. Memelihara Kesihatan Otak Usia Tua
Kajian menunjukkan berlatih muzik dan mendengar atau bermain muzik pada usia muda akan membantu memelihara kecerdasan otak. Mendengar muzik umpama melatih otak, dan faedahnya adalah daya ingatan yang lebih kuat dan ketajaman fikiran ketika meningkat usia.
Bahkan mereka yang mengalami kerosakan otak boleh mendapatkan kembali sebahagian atau semua memori mereka dengan mendengar muzik, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami. Ini adalah kerana mendengar boleh mengimbau kenangan lama dan juga mencetus corak neurologikal berdasarkan fakta bahawa rentak dan bunyi sesebuah muzik akan kekal dalam teras minda manusia untuk satu tempoh yang lama.
3. Muzik Menggembirakan Manusia
Banyak kali telah disebut mengenai kuasa muzik ke atas manusia. Ia boleh membuatkan manusia menjadi gembira, sedih, teruja, malahan bersemangat.
Seseorang yang mendengar muzik yang mempunyai kesan istimewa ke atas dirinya akan menyebabkan otaknya merembeskan dopamine yang dikenali sebagai sejenis bahan kimia yang baik. Dopamine akan menyebabkan manusia merasai emosi seperti kegembiraan, keterujaan, keseronokan dan yang seumpamanya.
Muzik dengan rentak rancak yang dimainkan dalam key major akan membuatkan manusia berasa gembira, manakala muzik yang dimainkan dengan rentak perlahan dalam key minor akan cenderung mengajak manusia berasa sedih.
4. Degupan Jantung, Nadi, dan Tekanan Darah
Beberapa kajian mendapati bahawa muzik menguatkan jantung dan mempercepatkan kadar pemulihan para pesakit yang menderita sakit jantung.
Tanpa mengira genre muzik, mendengar muzik kegemaran akan merembeskan endorphins dalam otak yang membantu tingkatkan kesihatan vaskular. Lelaki dan wanita yang mendengar muzik sebaik saja selepas menjalani pembedahan jantung akan kurang mengalami kerunsingan dan dilaporkan mengalami lebih kurang kesakitan berbanding pesakit yang berehat dalam keadaan senyap.
Pemerhatian di Massachusetts General Hospital, mendapati bahawa pesakit jantung yang mendengar muzik 30 minit mempunyai tekanan darah lebih rendah, degupan jantung lebih rendah, dan kurang tekanan berbanding pesakit yang tidak mendengar muzik.
5. Meningkatkan Kualiti Tidur
Tekanan dan kebimbangan adalah perkara yang selalu mengganggu tidur seseorang.
Memandangkan muzik boleh mempengaruhi kedua-duanya secara positif, kajian telah mendapati bahawa mendengar muzik pada beberapa masa akan memberikan manusia tidur yang lebih lena dan lebih merehatkan. Dalam beberapa keadaan, muzik mungkin adalah jawapan kepada penyakit tidak boleh tidur (insomnia).
6. Tingkatkan Kekebalan Badan dan Kurangkan Kesakitan
Muzki mempunyai keupayaan mengurangkan tahap hormon tekanan yang dipanggil cortisol, yang bertindak melemahkan daya ketahanan tubuh, meningkatkan sakit jantung, mengganggu pembelajaran dan ingatan, mengurangkan ketumpatan tulang, menaikkan tekanan darah dan sebagainya.
Mendengar musik yang menaikkan semangat selama 50 minit, jumlah antibodi dalam tubuh manusia akan meningkat. Penemuan ini tidak mengkaji kesan muzik yang berbeza jenis, tetapi adalah penting untuk seseorang mendengar muzik yang mereka sukai kerana ia akan mempunyai kesan positif ke atas fizikal mereka.
7. Kurangkan Kemurungan dan Kerisauan
Para penyelidik di Drexel University mendapati bahawa seorang penghidap barah yang mendengar muzik atau menjalani terapi muzik akan mengalami penurunan kadar kebimbangan, mempunyai tekanan darah yang lebih baik, dan juga lebih bersemangat.
1 Ulasan
Tak berapa nak faham. Tapi Tedi yakin bacaan al-Quran adalah satu irama yang dapat merawat kekosongan jiwa dan menghiburkan manusia. Kerana Allah telah berfirman bahawa al-Quran itu hiburan bagi mereka yang beriman.
BalasPadamBuah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.