Pada hari Sabtu yang lalu iaitu pada tarikh 4 Julai 2017, Mommy dan Master telah berkunjung ke sebuah restoran yang dinamakan threeplates cafe. Mereka meninggalkan Tedi ke-seekor-an di rumah kerana Mommy kata Tedi perlu berdiet.
Inilah cerita kembara mereka makan-makan jalan-jalan... Tedi ambil masa hampir 4 jam menyiapkan kiriman ini... moga bermanfaat.
Alamat threeplates cafe
Restoran threeplates Mommy dan Master terjah ini terletak di Exit Persiaran Sukan, Laman Seri, 40100 Shah Alam, Selangor, Malaysia.
Pada mulanya Master menyumpah seranah juga kerana apabila dicari dalam Waze dengan kata kunci Three Plates, restoran yang ditemui adalah di Filipina! Kemudian apabila Master search lagi kata kunci Three Plates Shah Alam, yang ditemui adalah Three Brothers!
Membebel jugalah Master kenapa tak guna nama Tiga Pinggan, tentu senang mencarinya. Nama lokal pada zaman sekarang adalah lebih sesuai kerana selalunya ia lebih unik, berbanding nama omputeh. Apabila diberitahu bahawa ejaannya adalah threeplates yang dirapatkan, barulah Master menemui jalan yang lurus. Ternyata threeplates cafe ini mempunyai laman FB nya sendiri beserta beberapa laman web review makanan di sana.
Laman Seri Business Park
Master mengambil laluan Lebuhraya Elite dan susur keluar di Ebor setelah potong-memotong silih berganti dengan sebuah Subaru XV Silver. Comot benar Subaru XV tersebut mengalahkan kereta kami seolah-olah ia baru balik bendang. Apa guna ada AWD jika tak dipandu masuk bendang, ye tak?
Akhirnya Master dan Mommy sampai di Laman Seri Business Park yang terletak di sebelah MSU. Kawasan Laman Seri Business Park ini ada barrier dan anda perlu bayar untuk meletakkan kereta di zon perniagaan tersebut. Kadarnya mungkin RM 1 (satu Ringgit Malaysia sahaja) sejam.
Sambal Lada Nasi Kak Wok Lazat
Mommy memilih untuk memesan Nasi Kak Wok yang terkenal di Kelantan. Tedi tak tahulah siapa Kak Wok tersebut, tapi kalau dia ada hakcipta, pasti kaya dia kutip royalti.
Apa yang boleh Master dan Mommy puji pada hidangan Nasi Kak Wok di threeplates cafe ialah sambal ladanya sungguh sedap, gulainya tidak berapa dapat dirasa mungkin kerana ditenggelami oleh rasa daripada sambal lada tersebut, dan ayam gorengnya sungguh garing (kalau dalam rancangan masakan pasti dipanggil overcook) seperti yang Master gemari.
Harus diingat bahawa Master bukan penggemar ayam kerana dia sudah trauma makan ayam kenduri, jadi kalau masakan berasaskan ayam milik anda dimakan oleh Master, itu bermakna sedaplah tu, kalau tidak, jeling pun dia tak mahu.
Bubur Hatyai Unik Dek Udangnya
Master pula memilih untuk memesan semangkuk Bubur Hatyai.
Sekali imbas ia adalah semangkuk bubur nasi biasa, dengan telur masak separuh di dalamnya, dan beberapa ekor udang. Agak unik kerana ini adalah kali pertama Master dihidangkan bubur berisi udang segar!
Rasa bubur Hatyai ni macam bubur nasi biasa tapi rasa telur yang cair dan digaulkan sekali tu agak menyedapkan rasanya. Paling penting adalah rasa udang yang segar.
Cuma yang agak mengganggu Master adalah rasa ikan bilis goreng di dalam bubur Hatyai tersebut kerana rasanya seperti makan ikan bilis mentah! Tapi dah goreng, tapi rasa macam mentah, Master keliru. Berulangkali jugalah Master membelek-belek ikan bilis tersebut.
Namun Master adalah penggemar ikan bilis dan makan ikan bilis mentah adalah hobinya semasa menyiang ikan bilis, tapi rasa itu tetap mengganggu keharmonian rasa bubur nasi Hatyai tersebut. Master faham bahawa menggoreng ikan bilis dengan sempurna adalah susah, jadi masih ada ruang untuk dibaiki.
Nescafe Ais
Master memesan Nescafe Ais manakala Mommy pesan air suam. Rasa air Nescafe Ais itu biasa-biasa sahaja, tidak pekat. Boleh dikatakan agak cair.
Tapi sebenarnya ada menu minuman istimewa di sana yang Master hanya perasan setelah kami mahu pulang.
Jangan salahkan kami ya, salahkan menu kerana agak plain, tiada gambar, paling kurang pun letaklah gambar dialog box bintang-bintang pada special menu atau pada hidangan yang mahu ditonjolkan. Nampak gaya kena masuk kursus UX (user experience) untuk ketahui pengalaman pengguna, apa yang pengguna jangkakan.
Menu Makanan Minuman di threeplates cafe
Selain Nasi Kak Wok yang Mommy makan, dan Bubur Nasi Hatyai yang Master pesan, ada macam-macam menu lain dan harganya yang terdapat di threeplates cafe seperti:
- Nasi Kak Wok (Ayam) ... RM 6
- Nasi Bubur Hatyai ... RM 7.50
- Nasi Ayam Kampung ... RM 10.50
- Nasi Kambing Bakar ... RM 12.50
- Nasi Lemak (ayam + Telur) ... RM 6
- Nasi Berlauk Ikan Tongkol ... RM 7.50
- Nasi Berlauk Ikan Kering Nanas ... RM 7.50
- Nasi Sup Tulang ... RM 10.50
- Tambahan Telur Mata ... RM 1.00
Selain itu ada juga kudapan sampingan buat mereka yang lapar tapi tak mahu makan banyak sangat seperti:
- Popia ... RM 6
- Dimsum
- Keropok Goreng ... RM 6
- Samyang Cheese + Ayam ... RM 15
- Roti Bakar Kaya ... RM 3
- Roti Kukus Sangkaya ... RM 5.50
- Roti Bakar Special (Telur) ... RM 5.50
- Roti Bakar Peanut Butter ... RM 3
- Telur Separuh Masak ... RM 2.50
- ABJCC (Air Batu Jagung Campur Cornflakes) ... RM 6
Suasana di threeplates cafe
Restoran ini terletak di lot sudut, maka ia mempunyai kawasan yang luas dan terbuka. Master amat selesa dengan suasana sedemikian. Hiasan dalamannya ringkas sahaja. Ruangan tempat letak kereta mungkin agak terhad, tapi lokasi tersebut punyai parking bawah tanah.
Restoran ini menggunakan kipas, tanpa penghwa dingin. Master tidak berapa suka penghawa dingin, jadi suasana itu sesuai dengan Master.
Dinding tiada hiasan melarat, cuma yang menarik perhatian adalah logo threeplates disertai tandatangan pasukan The Red Warriors.
Lokasi ini amat hampir dengan Stadium Shah Alam (jika menaiki kereta), jadi tidak hairanlah pasukan Kelantan tersebut datang singgah makan di sini. Jadi kepada para peminat Skuad Kijang bolehlah juga menyerbu restoran threeplates cafe ini.
Lokasi threeplates cafe
Kepada kawan-kawan yang mahu mencuba makanan di threeplates cafe ini bolehlah ke lokasi seperti peta di bawah:
~(^0^)~ jika kiriman ini bermanfaat, tolong derma klik tabung belajar Tedi ya... ~(^0^)~
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.