Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Selawat dan salam buat Nabi Muhammad, dan salam buat keluarga Baginda, dan juga para sahabat Baginda.

 

Karangan Tedi kali ini adalah hasil pemikiran Tedi apabila terbaca papan tanda dalam Bahasa Melayu yang berbunyi "Ikut Kiri Kecuali Memotong", ditambah dengan perbincangan dan perbahasan bersama beberapa rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Ikut Kiri Kecuali Memotong

gambar papan tanda ikut kiri kecuali memotong semasa travel ke air terjun Sungai Pisang, gambar sekumpulan pemuda pemudi di tepi jalan raya

Ini adalah papan tanda yang sinonim kepada para pemandu di Malaysia. Mereka memahami daripada mesej di papan tanda tersebut sebagai "jangan bawa perlahan di lorong kanan".

Dalam erti kata lain pemandu di Malaysia memahami bahawa lorong kanan adalah lorong untuk pemanduan laju. Jika mereka berasa bahawa mereka sedang memandu laju, maka mereka harus kekal memandu di lorong kanan.

Seorang pakcik dari United Kingdom telah mengutuk pemahaman mereka itu. Maksud mesej di papan tanda tersebut sepatutnya difahami sebegini:

"Sentiasa berada di lorong kiri kecuali jika anda mahu memotong".

Ia memberi maksud, tidak kiralah laju mana pun anda memandu, tapi kekalkan kereta anda di lorong kiri kecuali jika anda perlu memotong kereta lain!

Kita mungkin pernah terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu laju dan dia kekal di lorong kanan padahal di lorong kiri tiada sebuah kereta pun. Kita tidak dapat memotong kereta itu kerana kita tidak mahu memotong ikut kiri, tapi kadangkala terpaksa juga dilakukan.

Selain menekankan kepada keperluan untuk sentiasa kekal di lorong kiri, papan tanda "Ikut Kiri Kecuali Memotong" juga menghantar mesej agar para pemandu tidak memotong dari sebelah kiri.

Jadi boleh dikatakan ada dua mesej di situ iaitu:

(1) kekal berada di lorong kiri kecuali jika anda perlu memotong kereta lain di hadapan, dan (2) jangan memotong kenderaan lain menggunakan lorong kiri.

Ironinya di Malaysia, lorong kanan sesak dan lorong kiri pula lapang, satu tanda jelas bahawa rakyat Malaysia ni berasakan bahawa kereta mereka paling laju di dunia.

Ada pula yang menyatakan bahawa dia telah memandu laju ikut had laju maksimum 110 km/j di lebuhraya, jadi dia harus kekal di lorong kanan!

Ini juga adalah satu salah faham. Walaupun kelajuan maksimum 110 km/j, anda perlu mengosongkan lorong kanan untuk kereta lain memotong kereta anda. Tidak kisahlah walau kelajuan kereta tersebut melebihi had laju. Itu adalah hak dia untuk memotong menggunakan lorong kanan dan anda tidak boleh menghalangnya hanya kerana anda menganggap kelajuan maksimum 110 km/j harus dipatuhi semua kenderaan.

Tapi ikutlah kesesuaian, contohnya jika memandu di bandaraya, Tedi berasakan pemanduan di lorong tengah adalah pilihan terbaik terutama di kawasan yang kita tidak berapa kenal.

Karangan ini dikirim kali pertama pada 29 April 2017 jam 08:26 pagi.