Baiklah, untuk kerja sekolah kita pada hari ini, kita akan bina ayat daripada kata nama "medan selera".
Sebelum kita buat ayat, kita seharusnya tahu dan dapat menangkap maksud medan selera tersebut.
Medan selera secara umumnya bermaksud tempat yang luas di mana manusia menjamu selera. Medan selera kadangkala disebut juga sebagai medan makan iaitu kawasan di mana manusia makan.
Medan selera tidak sama dengan kedai makan atau restoran atau kafe kerana di medan selera selalunya ada banyak gerai atau kedai yang menjual makanan masing-masing di bawah satu bangunan yang sama, berkongsi meja makan dan kerusi yang sama yang disediakan oleh tuan bangunan.
Kadangkala mereka juga berkongsi pinggan mangkuk yang sama, sudu garfu yang sama, dan tukang bersih yang sama.
Gambar menunjukkan suasana di sebuah medan selera.
Sumber gambar: https://www.flickr.com/photos/exif/278331024
Tetapi kesemua ciri-ciri itu tidaklah wujud sekaligus kepada mana-mana medan selera kerana ia bergantung kepada pemilik bangunan dan juga kerjasama di antara peniaga, di mana selalunya peniaga Melayu susah nak bekerjasama dan hanya menjaga gerai atau kedai masing-masing.
Paling haru apabila mereka menghalau pelanggan yang beli makanan kedai sebelah kerana bagi mereka meja dan kerusi tu di bawah kawasan mereka. Paling teruk jika dari sekumpulan pelanggan, hanya seorang sahaja yang beli kedai sebelah, dihalaunya. Master selalu alami perkara ini di Bangsar South dan akibatnya Master dan kawan-kawannya akan memulaukan kedai yang tak faham konsep medan selera tersebut.
Para peniaga tersebut mungkin hanya memandang jiran niaga mereka sebagai pesaing, padahal kehadiran banyak kedai itulah yang menjadi tarikan kepada para pelanggan kerana ia memberikan pelanggan banyak pilihan. Bosanlah jika asyik makan makanan yang sama kan?
Medan selera dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai food court.
Contoh ayat menggunakan "medan selera".
Melalut pula Tedi kali ni. Tanpa membebel panjang, Tedi berikan beberapa ayat yang menggunakan "medan selera":
- Medan selera Pantai Dalam bakal dirobohkan untuk membenarkan projek pelebaran jalan di kawasan tersebut.
- Kami terliur untuk makan ikan bakar di salah sebuah gerai di medan selera tersebut.
- Ada banyak pilihan makanan terdapat di medan selera di hujung jalan sana.
- Keadaan tong sampah yang tidak terurus di kawasan medan selera tersebut menyebabkan kami hilang selera untuk menjamu selera di sana.
- Para peniaga boleh menyewa kedai-kedai di kawasan medan selera kelolaan DBKL tersebut.
- Kami lebih suka makan di medan selera berbanding restoran berhawa dingin kerana harga makanan di medan selera adalah lebih murah.
- Suasana di medan selera tersebut menjadi hingar apabila beberapa peniaga perang mulut berebut pelanggan.
Itu sahaja buat masa ini, kerja sekolah Tedi dah siap, semoga kawan-kawan pun sama.
Night 🌃.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.