TINGKAH laku kucing Parsi bernama Johnny itu tampak gelisah. Selang lima minit, ia akan masuk ke tandas untuk membuang air kecil dan mengambil masa yang lama bagi menyelesaikan rutin tersebut.
Pemiliknya, Engku Mardziyah Che Engku Khaidzir, 37, bercerita, kadangkala setitis dua air kencingnya berciciran di lantai.
Si bulu berwarna jingga kemerahan berusia empat tahun itu juga tidak lincah bermain seperti biasa.
“Johnny merupakan kucing yang manja dan sangat rapat dengan saya. Mendengar cara ia mengiau, saya tahu ia menghadapi masalah atau berasa tidak selesa.
“Pada mulanya, saya bawa Johnny ke klinik veterinar dan ia diberi ubat pelawas kencing. Namun, tiga minggu kemudian, masalah itu kembali berulang.
“Pada suatu hari, saya panik apabila menyedari perut Johnny kelihatan kembung dan terus menghubungi pihak Hospital Veterinar Universiti Putra Malaysia kerana situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Hasil ujian imbasan yang dilakukan, doktor mendapati Johnny menghidap penyakit batu karang. Hampir dua minggu Johnny ditahan di wad selepas dibedah dengan kos rawatan keseluruhan hampir mencecah RM2,000.
Pensyarah Jabatan Pengajian Klinikal Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan, Dr. Muhammad Luqman Nordin berkata, ramai pencinta kucing berasa terkejut apabila haiwan kesayangan mereka disahkan menghidap penyakit batu karang.
“Kucing juga seperti manusia mempunyai saluran pundi kencing. Dalam hal ini, pesakit turut menunjukkan simptom-simptom seperti kencing berdarah, meneran ketika membuang air kecil, pucat selain duduk lama di dalam tandas atau pasir kucing.
“Banyak faktor yang menyumbang kepada pembentukan penyakit ini, namun faktor utamanya ialah diet pemakanan yang tidak sihat dan tekanan.
“Ia kerap berlaku terutamanya pada kucing berusia dua tahun ke atas,” jelasnya.
Sampel darah
Pemilik dinasihatkan membawa kucing mereka berjumpa dengan doktor veterinar dengan kadar segera.
Simptom seperti meneran ketika membuang air atau duduk terlalu lama di dalam tandas mahupun pasir kucing mungkin turut disebabkan oleh penyakit lain seperti sembelit.
Katanya, dalam hal ini, doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas kucing tersebut.
Jika ia masalah batu karang, saluran pundi kencing akan tersumbat, sekali gus menyebabkan pundi kencing besar dan tegang.
“Selain itu, imbasan X-ray dan sampel darah akan diambil. Melalui imbasan X-ray, doktor boleh melihat sama ada terdapat batu karang atau berlaku keradangan pada dinding pundi kencing kucing tersebut.
“Sampel darah dapat memberitahu tahap fungsi ginjal dan hati, sama ada ia masih baik atau sebaliknya. Lebih cepat kucing anda mendapatkan rawatan, maka lebih tinggi peluangnya untuk sembuh,” ujarnya.
Apabila berlaku kes batu karang, dengan keadaan pundi kencing membengkak, doktor veterinar akan mengambil tindakan segera iaitu memasukkan salur plastik di sepanjang saluran pundi kencing kucing bagi membebaskan saluran yang tersumbat dan mengeluarkan air kencing.
Beliau berkata, salur plastik itu kemudian akan dijahit pada kulit kemaluan kucing tersebut selama beberapa hari atau minimum tiga hari bergantung kepada keadaan kucing itu.
“Rawatan susulan iaitu memasukkan dan mengeluarkan semula cecair natrium klorida ke dalam pundi kencing akan dilakukan beberapa kali bagi membersihkan pundi kencing serta melancarkan saluran kencing yang tersumbat.
Hidrasi
“Air tambahan juga akan dimasukkan ke dalam badan kucing bagi tujuan hidrasi kucing dan mengurangkan kadar toksin dalam badan.
“Antibiotik dan ubat antikeradangan juga akan diberi bagi membunuh jangkitan kuman serta mengurangkan keradangan pada pundi kencing,” ujarnya.
Tambahnya, kaedah terbaik untuk mencegah penyakit itu ialah dengan menyediakan makanan yang tidak mempunyai kandungan garam yang tinggi.
Selain itu, penyediaan air minuman yang bersih juga sangat penting untuk mencegah penyakit tersebut di samping penyediaan persekitaran yang baik bagi mengelakkan kucing daripada mengalami tekanan.
20171117
2 Ulasan
Risau juga..keluarga PC memang dari dulu suka pelihara kucing...moga masalah ini terhindarlah..aminnn.
BalasPadamkucing tok mak dah mati seekor sebab masalah batu karang ni
PadamBuah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.