Karangan ini berkenaan temujanji bayi Nor Aina dengan pakar jantung kanak-kanak di Hospital Serdang yang telah ditetapkan pada jam 9 pagi tadi.

Bertolak ke Hospital Serdang

Kami bergerak ke Hospital Serdang dari Sepang pada jam 8 pagi.

Perjalanan kami merentasi Jenderam, Jalan Md Zain, Persiaran Selatan hala Alamanda, kemudian masuk ke SKVE dan keluar di susur keluar Hospital Serdang (T).

Tempat Letak Kereta Terhad

Pada masa itu jam baru 8.30 pagi, agak cepat kami sampai kerana sekarang adalah musim cuti sekolah, tetapi kereta-kereta telah kelihatan berderet-deret diletakkan di tepi dan di tengah jalan besar... jalan besar tau, bukan jalan kecil.

Apakah semua ini? Hospital Serdang punyalah besar tapi tempat letak kereta bertingkat tiada. Secara resamnya, tempat letak kereta bertingkat pasti akan dibina nanti apabila pulangan keuntungan daripada pembinaannya adalah positif.

Master turunkan Mommy dan Aina di tempat turunkan pesakit di hospital pakar. Nak sampai ke situ punyalah sesak dekat 10 hingga 15 minit jugalah.

gambar suasa tempat letak kereta Hospital Serdang

Kemudian Master berpusing konon nak masuk tempat letak kereta yang disediakan dalam kawasan hospital, tapi kereta sudah penuh berlapis-lapis. Nyaris sahaja kereta calar kerana melepasi kereta yang parking di kawasan simpang. Menyesal pula Master bawa XV, kalau tahu memang bawa SAGA BLM sahaja.

Master keluar ke jalan besar, masuk SKVE balik, berpusing sebanyak 3 kali, sebelum menemui tempat letak kereta yang sesuai, juga di sebelah tepi jalan besar. 30 minit jugalah masa kami ambil sebelum selesai meletakkan kereta.

Kemudian kami pun menapak ke kawasan Hospital Pakar.

kami menapak ke Hospital Serdang, mendaki bukit

Mengambil Nombor Panggilan

nombor giliran hospital Serdang 3006

setibanya kami di kawasan pendaftaran Hospital Pakar tersebut, kami mendapati Mommy sedang berada di kaunter pendaftaran. Kami seterusnya dihantar ke wad 2 iaitu Wad Paedatrik.

Kami mendaftar pula di Wad Paedatrik, nombor giliran kami ialah 3006.

Kami menunggu sebentar sebelum dipanggil untuk ukur tinggi, timbang berat, ukur paras oksigen, dan ukur tekanan darah si bayi Aina. Berat Nor Aina turun sedikit kerana kurang minum susu dan makan semasa dia batuk-batuk dalam 11 hari ni.

gambar Aina sedang duduk dalam stroller bayi menunggu giliran bertemu doktor pakar jantung kanak-kanak di Hospital Serdang

Seterusnya kami menanti lagi. Ketika itu kami memperhatikan 3 bayi kecil dalam incubator, mungkin tidak cukup bulan, dan telahan itu tepat sekali apabila seorang Atok yang berbual dengan Mommy bercerita tentang cucunya.

Cucunya lahir pra-matang semasa 33 minggu, berat semasa lahir ialah 1.4 kilogram. angka-angka itu serupa dengan fakta kelahiran Nor Aina. Bezanya cuma cucunya tidak dibenarkan keluar wad walaupun sudah 3 bulan umurnya, dan jantungnya ada masalah injap, tidak seperti Aina yang cuma disyaki ada VSD bersaiz kecil.

Itulah kali pertama Atok tu dapat tengok cucunya, itupun kerana cucunya dibawa ke Hospital Serdang. Patutlah ramai sanak-saudara yang mengerumuni bayi tersebut, itu adalah kali pertama mereka dapat menatapnya.

Akhirnya nombor panggilan kami dipanggil juga. Nombor panggilan bermaksud nombor yang digunakan untuk memanggil para pesakit. Ia agak berbeza dengan nombor giliran kerana kita dipanggil mungkin tidak mengikut aturan.

Bertemu Doktor Pakar Kardiologi

Doktor yang memeriksa Nor Aina ada dua orang, seorang mungkin doktor pelatih kerana dia memakai kad pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hasil pemeriksaan doktor mendapati bahawa Nor Aina ada VSD iaitu masalah lubang di dinding yang memisahkan dua ruang bawah jantung (ventrikel) kiri dan kanan. Lubang itu katanya kecil sahaja, jadi Aina bolehlah dilayan seperti kanak-kanak biasa.

gambar bayi Nor Aina sedang minum susu botol sambil menunggu doktor memeriksanya.

Peluang untuk lubang tersebut tertutup ialah 10% hingga 20% sahaja, lubang itu boleh mengecil atau kekal saiznya, tapi mustahil untuk ia bertambah besar. Berita yang menggembirakan, kalau tertutup lubang itu, ianya kami kira sebagai bonus.

Dia dibenarkan untuk aktif. Doktor menetapkan temujanji follow up pada 6 bulan kemudian, bermaksud bulan Jun 2018.

Doktor juga serahkan surat kepada kami untuk diserahkan kepada doktor di Hospital Putrajaya.

gambar di sekitar Hospital Serdang

Urusan kami selesai di sana sekitar jam 12 tengahari. Seterusnya kami ke Hospital Putrajaya untuk menetapkan temujanji seterusnya. Ia berlangsung dengan cepat sehinggakan Master tidak sempat pun meletakkan kereta.

Kami segera pulang ke rumah selepas itu kerana Tok Ma dan Tok Abah akan sampai petang ini.

20171206