Hari ini kami dikejutkan dengan berita kemalangan yang menimpa Pak Din.
Pak Din telah mengalami kecederaan parah di kaki kirinya akibat satu letupan melibatkan tong dram plastik berisi kabaid yang hanyut di tengah sungai.
Pak Din cuba membawa tong dram plastik itu ke tepi di mana dipercayai bahawa tong dram plastik berisi kabaid itu digunakan sebagai pelampung kepada rumah rakit yang banyak di sungai itu.
Malangnya semasa dia membawa tong dram itu ke tepi, dipercayai berlaku kebocoran menyebabkan air masuk ke dalam tong dram sekaligus menyebabkan kabaid itu melepaskan gas yang meletupkan tong dram tersebut. Mesti jumlah kabaid itu banyak untuk membawa kepada kemusnahan sebegitu rupa.
Pak Din adalah nelayan di Sedili Kecil, suami kepada makcik Master yang kami panggil Mak Na. Kehidupan mereka susah dan kini Pak Din ditimpa kemalangan sebegini.
Pak Din adalah seorang yang rajin dan baik, dia selalu membawa kami mudik Sungai Sedili apabila kami ke sana. Rasa terkejut dan agak terkilan pada mulanya kerana kebaikan Pak Din itu menerima balasan musibah sebegini, dia cuba berbuat baik dengan membawa tong dram plastik itu ke tepi supaya tidak mengganggu perjalanan perahu dan bot di sana, tetapi kemalangan yang diterimanya.
Apa-apa pun semua itu ketentuan Allah subhanu wa ta'ala dan hanya Allah sahaja tahu apakah hikmah di sebalik kesemua dugaan ini.
Kepada kawan-kawan yang mungkin terjumpa tong dram plastik hanyut di tengah sungai mungkin boleh berhati-hati supaya tidak menerima kemalangan yang serupa.
Tedi memohon kepada kawan-kawan dan para pembaca untuk mendoakan keselamatan Pak Din juga mendoakan kebahagiaan mereka sekeluarga.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.