20180224, Sabtu, Aina telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya sekitar jam 2 pagi tadi.
Ia adalah susulan kami bawa Nor Aina ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya sekitar jam 8:30 malam, hari Jumaat, 20180223 kerana dia mengalami masalah nafas kencang dan muntah-muntah.
Aina dimasukkan ke wad kerana pada malam sebelumnya iaitu pada hari Khamis, 20180222, Aina telah menerima rawatan nebulizer sehingga jam 12:30 tengah malam, sebelum dibenarkan pulang.
Jadi memandangkan masalah sama berulang, doktor pakar telah memutuskan bahawa Nor Aina perlu dimasukkan ke dalam wad.
Ini adalah cerita panjang yang terpaksa Tedi pecahkan mengikut hari:
- 22.02.18: Bertemu nenek dan tok dari Holland
- 23.02.18: Bertemu semula nenek Holland mahu discaj
- 24.02.18: Aina dimasukkan ke dalam wad.
- 25.02.18: Besarnya tahi hidung Aina
- 26.02.2018: Aina suka tengok belon
- 27.02.2018: Aina tinggal seorang
- 28.02.2018: Hidung Aina tersumbat, tak dapat Hello Kitty
- 01.Mac.2018: Kami tidur di parking stadium
- 02.Mac.2018: Kuarantin 2 minggu...
- 03.Mac.2018: Home sweet home
22.02.18: Bertemu nenek dan tok dari Holland
Pada malam 22 Feb 2018 itu, Nor Aina telah ditempatkan di sebelah katil seorang nenek tua dari negara Belanda.
Belanda adalah sebuah negara di Eropah yang dinamakan Holland atau Netherland, yang bermaksud tanah rendah kerana majoriti tanah negara itu adalah di bawah paras laut. Macam mana negara itu tidak tenggelam? Kena kaji sendirilah ye... huhuhu.
Dia dikejarkan ke Hospital Putrajaya sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Tedi tak faham sangat dia sakit apa tetapi doktor suntik sesuatu untuk naikkan kadar oksigen dalam darah beliau.
Dia terpaksa dimasukkan ke dalam wad dengan deposit RM 7000 (tujuh ribu Ringgit Malaysia sahaja).
Nenek dari Holland itu datang ke Malaysia bersama suaminya, dan sepatutnya mereka terus naik kapal terbang MAS ke Pulau Pinang, tetapi beliau tidak dibenarkan naik pesawat selagi keadaan beliau tidak mengizinkan.
23.02.18: Bertemu semula nenek Holland mahu discaj
Ketika hantar Aina pada hari Jumaat tu untuk diperiksa di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya, sekali lagi kami terserempak dengan nenek Holland yang dah discaj dan sedang cuba mencari pengangkutan untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Master menegur beliau dan beliau minta tolong Master untuk tempah UBER, malangnya Master tak tahu guna UBER, tak pernah install UBER, dan telefon Sony Experia C3 yang digunakan Master telah mengalami masalah paparan menyebabkan tiada sebarang paparan pada skrin telefon.
Setelah Master menemui Mommy di dalam bilik separa kritikal, Master menawarkan bantuan untuk menghantar mereka ke lapangan terbang, tetapi mereka telah berjaya mendapatkan teksi melalui tempahan yang dibuat oleh anak perempuan mereka di Pulau Pinang.
Anak perempuan mereka telah tiba awal di Pulau Pinang untuk menikmati persiapan perkahwinan anak lelaki mereka.
24.02.18: Aina dimasukkan ke dalam wad.
Pada sekitar jam 1 pagi ke jam 2 pagi, Aina diberikan katil di wad 2C. Aina diberikan neb lagi, dan dijadualkan untuk terima neb setiap 3 jam.
Master bergerak balik ke Salak Tinggi sekitar jam 3 pagi.
Dalam perjalanan pulang, Master singgah Petronas Salak Tinggi untuk isi petrol.
Sampai sahaja di depan rumah, Master matikan enjin dan kemudian terlelap dalam kereta.
Jam 6.30 pagi, Master bergegas ke Hospital Putrajaya dan sampai di sana dalam jam 7:30 pagi.
Doktor pakar yang melawat Aina mencadangkan Master membeli corong (inhaler) berjenama AeroChamber untuk sedut ubat seperti mana yang digunakan oleh orang ada asma (lelah).
25.02.18: Besarnya tahi hidung Aina
Master sampai ke Hospital Putrajaya dalam jam 9 pagi tapi terpaksa keluar semula kerana hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan.
Terpaksalah Master merayau di sekitar Hospital Putrajaya sementara tunggu waktu melawat pada jam 12.30 tengah hari.
Master singgah di farmasi di tingkat paling bawah untuk membeli aerochamber pada harga MYR 110 (satu ratus sepuluh Ringgit Malaysia sahaja).
Ada pelawat yang melawat jiran satu wad Aina telah mempromosi jus G3. Mommy tanya pendapat Master, Master pula memang skeptikal dengan semua jenis produk suppliment yang iklankan boleh rawat itu ini kemudian letak penafian, ini adalah makanan tambahan dan bukannya ubat.
Iklan bukan main itu ini, tapi menafikan mereka adalah ubat, nampak macam senang sangat buat duit kan? Kalau ubat tak menjadi kita boleh kutuk ubat tu, tapi kalau makanan tambahan tak menjadi seperti yang diiklankan? Mereka tak salah sebab mereka dah kata mereka bukan ubat, tapi kalau pesakit sembuh? Mulalah masukkan cerita pasal peasakit tu untuk buat testimoni.
Tapi kalau baca review memang ada kisah pasal ibu yang berikan anak mereka minum G3 tu menyaksikan anak mereka tidak lelah lagi. Tapi kalau dah kena minum 2 kali sehari dengan harga RM 300 sebotol.... erm... tak tahulah nak kata apa.
Selepas neb petang sekitar jam 3 petang, Aina gelisah. Master melihat ada tahi hidung. Mommy cuba menyedut keluar tahi hidung itu, dan terkejut kerana ada darah. Mommy bawa Aina bertemu jururawat dan mereka titiskan ubat mata ke dalam hidung Aina.
Kemudian jururawat tu gosok-gosok hidung Aina. Nah kau, seketul tahi hidung keluar. Selepas tu Aina lena diulit mimpi.
Kagum Tedi melihatkah kecekapan jururawat tersebut.
Pada jam 6 petang, Master yang memberi Aina neb. Master gunakan skill pegang dan paksa, tiada upah Omar dan Hana, menyebabkan Aina struggle dan tercungap-cungap menyedut gas. Sebaik sahaja Aina habis neb, dia terus muntahkan kahak.
Mungkinkah tahi hidung yang dibuang tadi telah membantu Aina sedut lebih banyak gas?
Mak ngah Zira dan keluarga datang melawat Aina namun hanya mak ngah sahaja dibenarkan masuk kerana Pak Ngah terpaksa menjaga Sakinah, Nashr, dan Shakir di ruang menunggu kerana mereka semua di bawah umur yang dibenarkan masuk melawat pesakit iaitu 10 tahun.
26.02.2018: Aina suka tengok belon
Hari ini Master hantar baju dan bekalan susu Aina dan Mommy ke Hospital Putrajaya pada jam 7.30 pagi. Agak lewat kerana Master terlewat bangun.
Nasib baik pengawal keselamatan benarkan hantar barang walaupun tak sampai 5 minit. Master tak kisah sebab memang tujuan Master nak hantar barang sahaja, tambahan Master kena bergegas ke pejabat beliau di Bangsar South.
Sementara Master bekerja, Mommy memaklumkan bahawa Nor Aina duk gelak-gelak tersengih tengok belon yang bayi lain dapat. Ramai yang melawat jiran-jiran Aina, sedangkan tiada siapa melawat Aina.
Kesian Aina... semoga besar nanti dia gembira selalu.
Master mencari belon untuk Aina di sekitar Bangsar South, malangnya tiada kedai belon di sana.
Doktor yang memeriksa Nor Aina memaklumkan bahawa Aina masih tidak boleh keluar hospital, dan mungkin perlu ditahan 2 hingga 3 hari lagi. Temujanji Aina di Hospital Kuala Lumpur pula mungkin terpaksa ditangguhkan. Wad di Hospital Putrajaya akan hubungi Hospital Kuala Lumpur jika ia terpaksa dilakukan.
Pada jam 8 malam Master sampai di Hospital Putrajay dari Kuala Lumpur. Master gantikan Mommy sebentar melayan Aina. Agak tidak relevan Master rasakan dengan polisi satu penjaga untuk temani bayi kerana bukan boleh ditinggalkan bayi ni yang baru belajar memanjat sebgitu sahaja.
Semoga suatu masa nanti wad kanak-kanak Hospital Putrajaya benarkan 2 penjaga menemani bayi mereka.
27.02.2018: Aina tinggal seorang
Jika dikira Aina masuk wad bermula 24 Feb, maka ini hari ke-4 dia di sana.
Doktor memutuskan untuk membuat fisio iaitu sedut kahak Aina menggunakan tiub. Nor Aina juga mula tinggalkan neb dan berpindah kepada penggunaan aerochamber.
Malam ini bayi Aina tinggal seorang diri kerana jiran-jirannya telah dibenarkan keluar wad, manakala kakak Dewi pula berpindah wad.
Akhirnya Master berjaya install WhatsApp dalam Lenovo A396 berwarna pink, setelah beliau masukkan kad memori 32GB. Tetapi dapat amaran WhatsApp tak support phone tersebut pada 2020.
Walaubagaimanapun membaca WhatsApp dalam telefon pintar Lenovo A396 agak menyeksakan kerana selalu hang.
28.02.2018: Hidung Aina tersumbat, tak dapat Hello Kitty
Hari ni Aina sekali lagi disedut kahak, dia terpaksa berpuasa dari jam 6 pagi bermakna hampir 3 jam dia berpuasa.
Tapi sebelah hidungnya ada blockage tak tahu sama ada bengkak atau ada tahi hidung.
Mommy kata ada keluar tahi hidung berdarah kering, dan yang buat neb pun kata kahak Aina pekat dan ada darah kering. Doktor pakar tidak membenarkan bayi Aina pulang kerana beliau tidak berpuas hati dengan perkembangan Aina.
Siang tadi juga Aina telah ambil belon Hello Kitty tapi tak boleh bayar sebab tuan kedai pergi solat. Terpaksalah Mommy letakkan semula belon tersebut.
Master usai kerja terpaksa bergegas pulang ke rumah untuk ambil baju Mommy dan Aina yang pada asalnya tidak disiapkan sebab beranggapan Aina boleh discaj hari ni. Jam 10 malam baru Master sampai ke Hospital Putrajaya.
Semalam Master ada lakukan instant transfer ke akaun Maybank, malangnya sampai sekarang duit tu tak masuk-masuk. Sudahlah buat pemindahan wang segera, boleh pula tak masuk, banyak pula tu jumlahnya untuk Master bayar hutang-piutang.
Kawan-kawan Master mungkin masih bekerja lagi pada masa ini kerana ada deployment sistem baru. Master saja yang balik awal dan tidak melibatkan diri dalam deployment tersebut.
01.Mac.2018: Kami tidur di parking stadium
Hari keenam Nor Aina ditahan di wad paedatrik di Hospital Putrajaya.
Rutin Tedi dan Master pada pagi ini bermula dengan berpergian ke sekolah Tedi dan tempat kerja Master di Bangsar South.
Di pejabat Master periksa baki akaun Maybank dan dapati bahawa baki duitnya masih RM 30, bermakna tiada duit yang dipindahkan masuk.
Master call bank sumber dan dimaklumkan bahawa transaksi sudah sampai ke Maybank.
Master call Maybank dan marah-marah sebabnya si penjawab sunguh tidak profesional kerana sebelum dia memeriksa laporan Master dia terus maklumkan bahawa transaksi itu gagal dan Master perlu hubungi bank sumber. Selain itu beberapa kali dia tanya, "betulkah encik periksa baki duit tak masuk". Gila apa nak call dia kalau tak periksa? Dah periksa beberapa kali kot. Duit tu separuh gaji Master lak tu, bukan sikit.
Selepas Master marah-marah barulah dia minta maklumat perbankan untuk disemak! "Aik, baru nak minta?", tanya Master. Nampak sangat jawapannya sebelum itu melulu, atau memang polisi Maybank tak mahu suruh tanya soalan serkap jarang macam tu supaya elak semak transaksi. Tak kisahlah, betullah tu, tapi janganlah terus kata, transaksi encik gagal sila semak dengan bank A, padahal Master dah kata transaksi sukses.
Tapi operator memang macam tu, cuma ikut skrip yang disediakan, jika tiada dalam skrip, jadilah jawapan-jawapan pelik. Tak boleh nak marah sangat.
Mommy melaporkan Aina sudah tidak disedut kahaknya oleh pakar paedatrik kerana sudah ada trauma atau dalam bahasa kampungnya si Nor Aina telah mengalami luka.
Tok Mak singgah melawat Aina pada hari ini. Tok Mak datang dari Felda Bukit Rokan Utara pada malam tadi.
Tedi dan Master terus bergegas ke Hospital Putrajaya usai sekolah dan kerja masing-masing. Kami singgah di RNR Seri Kembangan di MEX kerana Master nak menggunakan tandas. Master belikan sandwich di Dunkin Donuts di sana untuk Mommy sebab macam dah bosan ja asyik bawakan bihun goreng untuk Mommy.
Sampai di Hospital Putrjaya, Master terus gantikan Mommy jaga Aina. Aina tampak aktif, riang, dan manja. Tak pernah-pernah baring di riba Master, tiba-tiba sahaja dia baring, sebelum gigit kaki Master.
Kami bergerak pulang mungkin sekitar jam 10:30 malam. Sampai di Stadium Bandar Baru Salak Tinggi, master sudah tak mampu buka mata. Kebetulan ketika itu ada perlawanan bola sepak di sana, Master pun berhenti letakkan kereta di tepi jalan stadium itu, sebelum melelapkan mata.
Apabila kami sedar, jam sudah 11.30 malam, dan keadaan di stadium itu sungguh gelap gelita.
Master segera hidupkan enjin dan memandu pulang ke rumah.
02.Mac.2018: Kuarantin 2 minggu...
Hari ketujuh Aina di Hospital Putrajaya.
Rutin Master pada pagi ini bermula agak awal kerana beliau terjaga pada jam 4.30 pagi.
Master kemas barangan untuk dibawa ke Hospital Putrajaya seperti pampers, baju Mommy, dan baju Aina. Entah apa gaya Master lipat baju, tak tahulah.
Master bilas dan basuh baju Aina yang tidak sempat diuruskan malam tadi.
Master juga semak baki Maybank, alhamdulillah duit yang dipindahkan masuk sudah masuk selepas Master buat laporan semalam. Dapatlah Master bayar hutang piutang menghabiskan duit yang baru dimasukkan.
Mommy maklumkan bahawa Nor Aina masih belum boleh keluar kerana nafasnya kencang maka doktor tak berani nak lepaskan.
Doktor pakar kata bahawa Aina perlu dikuarantin selama 2 minggu sehingga paru-parunya kuat. Tak tahulah sama ada syarikat yang baru Master join pada 1 Mac 2018 ni boleh bagi tak pelepasan dalam seminggu...
Tok Mak telefon Master dan kata ada orang di Felda Pasoh yang boleh alihkan kahak dan ramai sudah dirawatnya.
Tadi nurse ada minta Aina dipindahkan ke wad lain kerana Hospital Putrajaya sudah kehabisan katil dan hanya wad itu sahaja yang sediakan rawatan. Aina sudah stabil maka dia boleh berpindah wad. Tapi kami terpaksa tolak permintaan itu sebab katil wad lain tu katil besar yang akan memungkinkan Aina yang tengah melasak tu jatuh katil.
03.Mac.2018: Home sweet home
Master memulakan hari ini dengan membasuh baju Nor Aina dan juga baju mommy dan master, sambil membuat sedikit coding.
Sekitar jam 11:30 pagi Master bergegas ke Nasi Kukus AJ di Taman Pinggiran Putra. Master beli nasi kukus ayam campur ikan dengan harga RM 7 (tujuh ringgit Malaysia).
Selain itu Master beli puding karamel berharga RM 3 (tiga Ringgit Malaysia sahaja).
Kemudian Master bergegas ke Hospital Putrajaya.
Master tiba di Hospital Putrajaya sekitar jam 12:10, 20 minit sebelum waktu melawat. Master belikan Aina belon Hello Kitty.
Akhirnya masa yang ditunggu telah tiba, kami dimaklumkan sekitar jam 6 petang bahawa Nor Aina boleh keluar hospital kerana keadaannya sudah stabil. Tetapi Aina masih perlu dikuarantin di rumah selama dua minggu, dan dia perlu ambil ubat menggunakan Aerochamber setiap 4 jam.
Master bayar bil di Jabatan Kecemasan kerana Unit Hasil telah ditutup. Jumlah kos rawatan adalah RM 800++.
Selepas Maghrib kami bergerak pulang ke rumah.
*** Jika kawan-kawan perasan iklan Unifi Mobile, promosi Sakura Karnival serendah RM 461, iklan Pay-Pal, ubat ketuat Volzap, dan ubat sendi Helex yang baru masuk, boleh tolong lawat penaja-penaja Tedi tu manalah tahu diorang bagi Tedi sebarang token, boleh juga buat bayar bil hospital Aina ***
20210523 Rekod seumur hidup 249, rekod setahun 24
2 Ulasan
Harap2 Nor Aina dah pulih sepenuhnya
BalasPadamalhamdulillah dia sudah tidak ke wad kecemasan sejak umurnya 4 tahun. namun masih lagi muntah pada malam hari. kami masih tertanya-tanya apakah dia alah dengan sesuatu?
PadamBuah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.