ALOR SETAR - Kedah mempamerkan rentak sebenar apabila menjinakkan JDT 3-1 pada aksi kelima Kumpulan C Piala Malaysia 2018 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kedah berjaya berada di hadapan 1-0 seawal minit ke-6 menerusi gol Sandro Da Silva hasil sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.
Safawi Rashid memburu gol pada m-9 namun sepakan lencongannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Kedah, Abd Hadi Abd Hamid.
Liridon (kiri) dan Sandro (dua kanan) masing-masing jaring gol untuk Kedah.
Penyerang muda JDT itu berjaya menjaringkan gol pada m-18 namun dibatalkan oleh pengadil, Mohd Zohri Tajuddin berikutan ofsaid.
Pelawat terus mengasak kubu tuan rumah dan melakukan percubaan menerusi Fernando Marquez namun ditampan oleh Abd Hadi menggunakan kakinya pada m-28.
Usaha berterusan JDT membuahkan hasil apabila Marquez akhirnya menyamakan kedudukan 1-1 pada m-36 hasil lorongan cantik Safawi.
Kedah kembali di hadapan 2-1 dua minit selepas separuh masa kedua bermula menerusi Akhyar Rashid yang memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan, Lawrence Corbin Ong.
Pada m-69 Kedah menggandakan asakan menerusi Akhyar namun percubaannya berjaya dikeluarkan oleh pertahanan JDT, Marcos Antonio.
Pelawat melakukan serangan bertubi-tubi ke pintu gol Kedah namun pertahanan Kedah kekal berdisiplin mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya mereka.
M-89, JDT beraksi dengan 10 pemain selepas Antonio dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Abd Hadi.
Kedah mengesahkan kemenangan pada m-94 apabila Liridon Krasniqi menjaringkan gol cantik dari jarak 40 meter untuk keputusan penuh 3-1.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.