KOTA BHARU – Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah gembira apabila corak permainan bertahan pasukannya berjaya memerangkap Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) dalam aksi sulung Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam kelmarin.
Sambil mengakui perancangan diatur cukup menjadi, Yusri berkata, barisan pemainnya beraksi mengikut taktikal diarahkan sehingga menggagalkan hasrat skuad Lang Merah mengutip mata penuh di laman sendiri.
“Kita harus berterima kasih dengan corak bertahan yang kita amalkan sekali gus menidakkan Kedah daripada menjaringkan gol dalam 90 minit. Saya juga rasa bangga kerana walaupun Kedah beraksi cukup mantap namun kita masih dapat kutip mata.
Pemain Kelantan, Muhammad Syaiful Alias melakukan percubaan yang sekadar diperhatikan pemain Kedah, Mohd Syazwan Zainon (tengah) dalam pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi sulung peringkat kumpulan Piala Malaysia di Alor Setar, malam kelmarin. - Foto : Ahmad Zaki Osman
“Apa pun pujian kepada pemain dalam keadaan pasukan mengharungi perjalanan jauh, saya melihat keletihan mereka tetapi hakikatnya terus berjuang untuk mempertahankan misi Kelantan di sini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pada aksi tersebut, Kedah dan Kelantan sekadar seri tanpa jaringan sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berkenaan berpuas hati berkongsi satu mata.
Dalam masa sama, Yusri mengingatkan anak buahnya terus kekal fokus memandangkan perjalanan masih lagi jauh dalam mengharungi aksi kumpulan pertandingan piala paling berprestij itu.
“Semua tahu drama dan filem di Kota Bharu masih belum berakhir, mungkin dari segi dalaman kita tak rasa tekanan tetapi luarannya ia masih berlaku dan terus berlaku.
“Jadi, saya mahu pemain terus fokus untuk cuba memastikan pasukan berada dalam kedudukan terbaik dalam kumpulan. Piala Malaysia adalah pertandingan yang saya fikir dapat mengembalikan semula keyakinan penyokong terhadap pasukan ini,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali itu mengakui kehadiran semula pertahanan senior, Mohd Farisham Ismail dalam dua aksi terakhir termasuk ketika bertemu Kedah banyak membantu memperkukuhkan pasukannya.
Kita kekurangan pemain senior yang boleh memberi arahan di bahagian pertahanan tetapi kembalinya semula Mohd Farisham sedikit sebanyak menyelesaikan masalah itu.
“Apatah lagi kehebatan pemain lawan, Andik Vermansyah dan kita pun tahu memang pemain Kedah sudah lama bersama, cukup selesa dengan bola walaupun malam ini (kelmarin) kita diajar mengejar bola sebenarnya,” katanya.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.