KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap Baddrol Bakhtiar sebagai legenda sebenar pasukan Kedah.
“Legenda sebenar Kedah. Penghormatan yang besar buat Baddrol Bakhtiar,” kata Tunku Ismail di Twitter miliknya yang turut dimuat naik bersama gambarnya dan Baddrol, hari ini.
Walaupun tidak menyatakan dengan jelas, namun kenyataan Tunku Ismail itu dilihat seakan ditujukan kepada tonggak import Kedah, Liridon Krasniqi yang sebelum ini menggelar dirinya sebagai legenda.
Terdahulu, menerusi Twitter sama, Tunku Ismail yang juga Tunku mahkota Johor (TMJ) memuat naik gambar Liridon bersama Junior Eldstal berserta kenyataan: “Saya tidak pernah melihat mana-mana pemain bola sepak menggelar dirinya sebagai legenda.
“Legenda memberi inspirasi, legenda memenangi trofi, legenda tidak menyalahkan orang lain dan legenda tidak bergaduh dengan rakan sepasukan. Baddrol adalah legenda sebenar Kedah,” tambah TMJ.
Liridon mencetuskan kontroversi selepas dia didakwa mengecam Nidzam Adzha Yusoff dengan menganggap pengendali Kedah itu sebagai pengecut dalam Instagram miliknya, semalam namun kenyataan di ruangan Insta Story itu dipercayai sudah dipadam.
Malah, Liridon menerusi Instagram turut menggelar dirinya sebagai legenda dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada penyokong Helang Merah.
“Kepada keluarga (penyokong) Kedah, tolong dengar elok-elok. Ini legenda anda - Matdon (Liridon) bercakap.
“Saya bangga dan bersyukur kerana dapat mewakili kelab untuk tempoh empat tahun yang menakjubkan. Saya datang ke kelab ini dengan tiada apa-apa dan akhirnya menjadi seseorang dengan bantuan anda,” katanya.
20180919
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.