Hari ini merupakan satu hari di mana Tedi berasa sedih.
Kesedihan ini adalah disebabkan berita pemergian 6 orang ahli Bomba Malaysia yang telah mati lemas ketika dalam usaha mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki di kawasan lombong di Putera Perdana di Puchong.
Walaupun Tedi tidak kenal siapa mereka, namun mungkin keikhlasan mereka dalam berkhidmat telah meruntun hati Tedi.
Ia adalah kawasan perumahan di mana kawan Master dan Mummy tinggal.
Apabila mendengar berita mengenai 6 orang ahli Bomba mati lemas ketika usaha mencari dan menyelamat itu, beberapa perkara menyerbu fikiran Tedi.
Pertama, Tedi cuba menafikan bahawa nahas itu berlaku di Malaysia, tetapi setelah beberapa kali berita itu diulangi, ia adalah kemalangan yang meruntun jiwa, benar berlaku di Malaysia.
Kedua, Tedi tertanya-tanya, kenapa perlu nak cari seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong itu pada masa itu? Tidakkah mereka terfikir bahawa peluang untuk remaja itu survive adalah sangat tipis? Kenapa mereka tidak berputus asa sahaja? Kenapa mereka masih perlu mencari remaja tersebut? Kenapa tidak tunggu sehingga suasana lebih selamat?
Ternyata ia hanya persoalan demi persoalan yang takkan Tedi dapat menjawabnya. Mungkin bagi kita, tiada guna untuk mencari remaja yang terjatuh itu pada masa itu, tetapi bagi mereka yang berjiwa penyelamat, peratusan yang sedikit untuk menemui remaja itu hidup adalah satu peluang yang mungkin mereka takkan lepaskan.
Mungkin mereka juga sedia maklum bahawa peratusan untuk menemui remaja itu hidup adalah 0%, tetapi demi keluarga remaja itu, yang sekurang-kurangnya mesti mahu melihat mayat remaja itu, pada masa itu, mereka tetap teruskan pencarian...
Apa yang pasti mereka berani. Mereka turun ke dalam air itu dalam suasana arus deras demi insan yang mereka tidak kenali.
Moga mereka adalah ahli syuhada yang disaksikan Allah subhanahu wa ta'ala akan kebajikan yang mereka lakukan.
Kepada insan di luar sana yang bersuara sumbang mengutuk atau memperlekehkan usaha para arwah yang terkorban itu, tidak perlulah berbuat demikian. Sesiapa sahaja bisa membuat kesilapan, tetapi tidak semua berani berkorban.
Semoga pengorbanan mereka ini akan membuka peluang kepada penambahbaikan kepada pendidikan, kebajikan, dan tumpuan kepada ahli Bomba. Semoga kesedihan kita ini bukan hanya di sini namun akan berterusan mengingati bahawa ada ahli keluarga yang telah mereka tinggalkan.
Kita berdoa buat mereka, dan sedekahkan al-Fatihah.
Harapnya pada solat Jumaat esok akan ada solat jenazah ghaib buat mereka.
- https://www.hmetro.com.my/utama/2018/10/383029/update-6-bomba-lemas-dikenal-pasti
- http://www.kosmo.com.my/negara/6-bomba-lemas-ketika-operasi-menyelamat-1.760303
- https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/10/481427/terbelit-tali-punca-6-penyelam-bomba-lemas
- https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/10/481803/muhammad-hifdzul-tinggalkan-pesanan-di-laman-sosial#cxrecs_s
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.