KUASA pecutan terbaik jentera KTM RC16 yang menjadi taruhan Tech 3 dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim depan menggembirakan pelumba muda negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Gambar Hafizh Syahrin 55 al-Pescao sedang menguji motosikal baru KTM RC16 yang akan digunakan dalam saingan MotoGP 2019

HAFIZH teruja untuk terus menguji jentera KTM RC16 dan tekad bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan terbaik pada sesi ujian akan datang.

Biarpun hanya sempat melakukan 20 pusingan pada sesi ujian pertama di Litar Ricardo Tormo, Valencia kelmarin, namun ia sudah memadai bagi pelumba berusia 24 tahun itu merasai pengalaman pertama menunggang jentera RC16 itu.

“Buat masa ini saya merasakan jentera ini sangat baik dari segi kawalan. Kuasa pecutan RC16 juga sangat hebat.

“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dan tidak sabar untuk terus menguji jentera ini selain bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan yang lebih sempurna,” kata Hafizh dalam satu kenyataan semalam.

Pada musim 2019, Tech 3 akan menggunakan jentera KTM selepas menamatkan kerjasama selama 18 tahun dengan Yamaha.

 

Sumber: KOSMO Online.