Beberapa bulan lepas Tedi sempat berbual dengan seorang pakcik. Pakcik ni adalah seorang berjawatan pengurus di sebuah syarikat yang berkaitan dengan tol di Malaysia ni.
Perbualan kami sudah tentu berkaitan dengan tol di Malaysia ni, di mana rakyat masih menantikan kerajaan Malaysia menunaikan janji menghapuskan tol setelah memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan Malaysia "baru".
Pakcik itu dengan yakin dan lantang menyatakan bahawa kerajaan Malaysia yang diterajui Pakatan Harapan (PH) takkan dapat hapuskan tol.
Tak Mungkin Hapuskan Tol Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
Fakta pertama yang dikongsi oleh pakcik itu ialah mengenai tol PLUS.
Kerajaan baru sahaja memperbaharui perjanjian konsesi dengan PLUS, jadi adalah amat mustahil untuk kerajaan menamatkan konsesi tersebut kerana akan terpaksa membayar ganti rugi dalam jumlah yang besar.
PLUS adalah pemegang konsesi untuk Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Pantai Timur fasa 2 (LPT2) dan beberapa lagi lebuhraya.
Memandangkan lebuhraya bawah jagaan PLUS adalah lebuhraya di antara bandar yang menghubungkan bandar-bandar dalam jarak yang jauh, maka rakyat Malaysia secara umumnya merasakan adil untuk dikenakan tol, malangnya kadar tol PLUS adalah mahal kerana tempoh konsesi mereka antara yang tertua.
Jika dapat kurangkan separuh pun cukuplah, tapi itu bermakna PLUS akan mengalami penurunan keuntungan sebanyak 50%, manakala para pemegang saham PLUS adalah berkaitan kerajaan juga, jika PLUS kurang untung, maka kerajaan akan kurang untung juga.
Pi mai pi mai tang tu kata orang Pulau Pinang.
Tak Mungkin Hapuskan Tol dalam Bandar KL
"Kalau macam tu, tak perlu hapuskan tol antara bandar, dapat hapuskan tol dalam bandar pun cukuplah. Tak logik orang nak balik rumah saja pun kena tol." - celah Master.
Jangan bermimpilah.
Apa alasan rakyat dikenakan tol? Jawapannya ialah untuk kurangkan kesesakan yang diakibatkan penggunaan kereta dalam bandar!
Maka jika tol dalam bandar dihapuskan, tidak tercapailah tujuan tersebut! Makin ramailah rakyat Malaysia naik kenderaan sendiri.
Jika benar tol di Malaysia untuk kurangkan kesesakan, maka Malaysia harus tiru Singapura di mana kadar tol yang tinggi hanya dikenakan pada waktu puncak sahaja. Barulah betul nampak kebenaran dan ketelusan objektif dikenakan bayaran tol.
Pengangkutan Awam seperti LRT, MRT akan kerugian!
Tambahan pula perkhidmatan pengangkutan awam pula masih belum meluas dan rakyat Malaysia belum seronok untuk menikmati kenderaan awam di Malaysia, jika tol dalam bandar dihapuskan, rakyat naik kereta, siapa yang nak bagi keuntungan kepada LRT, MRT, Komuter dan sebagainya?
Jika kerajaan hapuskan tol dalam bandar, kerajaan Malaysia akan terpaksa bagi subsidi untuk promosi pengangkutan awam. Banyak sangatkah duit Malaysia!
Tedi terpaksa akur
Benar sungguh kata-kata pakcik itu, memang patutlah dia bergelar pengurus. Tak mampu Tedi nak pertikaikan lagi.
Tapi pada penghujung perbualan, dia kata tunggu dan lihat, mana tahu kerajaan akan hapuskan tol.
Apabila hal itu berlaku, pakcik tu kata, dia terpaksalah cari kerja lain.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.