بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ
Tedi malas sebenarnya nak mengarang pada awal pagi ni, tetapi Tedi terdengar lagu Pemergianmu nyanyian kumpulan nasyid In-Team dari Malaysia. Terus terasa nak coret apa yang boleh.
Lagu Pemergianmu mengisahkan mengenai saat kematian Nabi Muhammad Rasulullah sollallahu alaihi wassalam.
Lagu ini daripada album Tiada Lagi Kasih yang dikatakan oleh Master sebagai album pertama In-Team selepas tidak bernaung di bawah Hijjaz Record Sdn Bhd (HRSB). Album Tiada Lagi Kasih ini juga adalah album di mana Mie In-Team tiada kerana dia memilih untuk bergerak solo bersama Hijjaz Records.
Tiada Lagi Kasih dipilih sebagai nama album untuk menunjukkan bahawa In-Team akan berubah tema daripada lagu-lagu kasih kepada tema lain.
Kandungan:
Lirik lagu Pemergianmu oleh In-Team
Album : Tiada Lagi Kasih
Munsyid : In-Team
(Ya Rasulullah...) Kau masih tersenyum mengubat lara Senyuman yang mententeramkan Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita Menunggu saat ketikanya Tangan dicelup di bejana air Beralun zikir menutur kasih Dan tibalah waktu ajal bertamu Linangan air mata syahdu Oh sukarnya untuk umat menerima Tetapi iman merelakan jua Tak terlafaz kata mengungkap hiba Walaupun kau telah tiada Kau tinggalkan kami warisan yang abadi |
Senilagu : Frizdan
Senikata : Frizdan
Hakcipta : Inteam Records Sdn. Bhd.
Penerbit : Fizarahman Zainal
Susunan Muzik : Firdaus Mahmud
Bicara Lirik "Pemergianmu"
Di bawah ini adalah pemahaman Tedi setiap kali mendengar nasyid Pemergianmu oleh In-Team ini.
Di pangkuan isterimu Humaira'
Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam telah meminta izin daripada semua isteri baginda untuk membenarkan baginda duduk di rumah sayyidatina Aishah ketika baginda sakit.
Aishah memangku Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam semasa baginda sedang sakit.
Al-Humaira adalah nama panggilan Aishah iaitu nama manjanya yang bermaksud yang kemerah-merahan, rasanya mungkin ditujukan kepada keadaan pipinya. Tedi tiada fakta untuk hal ini, cuma menjadi kebiasaan yang kemerah-merahan pada seorang wanita adalah pipinya, sekaligus membayangkan saiyidatina Aishah berkulit cerah atau agak cerah.
Perihal nama Aishah al-Humaira telah Tedi bicarakan dalam siri Bicara Lirik nasyid Aisya Humaira nyanyian UNIC.
Oh sukarnya untuk umat menerima, bahkan payah untuk Umar mempercaya
Ini adalah satu kisah di mana ketika itu umat Islam tidak dapat menerima berita kemangkatan Rasulullah sollallahu alaihi wassalam.
Bahkan saiyidina Umar al-Khattab mengugut dengan pedangnya kepada sesiapa sahaja yang berani mengatakan Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam telah mati.
Kemudian saiyidina Abu Bakar as-Siddiq mengungkapkan ayat yang menjadi legenda:
Wahai umat Islam, sekiranya kamu menyembah Muhammad, maka ketahuilah olehmu bahawa Muhammad telah mati.
Tetapi jika kamu menyembah Allah, Allah takkan pernah mati.
Ungkapan yang menyentak saiyidina Umar al-Khattab untuk menerima ketentuan Illahi.
Peristiwa ini adalah salah satu bukti menunjukkan ketokohan saiyidina Abu Bakar as-Siddiq yang ditunjuki oleh Rasulullah sollallahu alaihi wassalam untuk menjadi khalifah umat Islam yang pertama.
Beralun zikir menutur kasih, pada umat dan akhirat
Ketika saat ajal Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam, baginda selalu mengulangi kalimat, "Ya ummati, ya ummati, solat."
Ia menunjukkan kasih baginda sollallahu alaihi wassalam kepada umatnya dan mengingatkan umatnya untuk tegakkan solat.
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam telah meninggalkan dua warisan yang abadi iaitu:
- kitab al-Quran, dan
- hadith atau sunnah baginda.
Umat Islam diingatkan oleh Rasulullah sollallahu alaihi wassalam untuk "menggigit kedua-duanya dengan gigi geraham" iaitu memegang teguh dan mengamalkan isi kedua-duanya.
~~~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.