بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ
Hari ini Nor Aina ada temujanji dengan doktor di Hospital Putrajaya.
Kami tiba di Hospital Putrajaya agak lewat iaitu sekitar jam 10:30 pagi hingga jam 11 pagi, maka Master terpaksalah meletakkan kereta di satu kawasan lapang di antara Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Nasional.
Kawasan tempat letak kereta itu agak teruk dengan keadaannya yang berlumpur.
Toyota VIOS Hitam sangkut dalam lumpur
Semasa Master meletakkan kereta ada sebuah VIOS hitam yang tampak macam mahu berundur tapi tak bergerak, dan sebaik sahaja Master selesai meletakkan kereta dan mahu keluar, barulah Master perasan bahawa tayar kereta itu terperangkap dalam lumpur.
Tuan kereta itu menurunkan tingkap dan menasihati Master agar tidak meletakkan kereta di situ.
Nyaris sahaja Master menjawab, "Tak mengapa, kereta saya AWD (pacuan semua roda)", tetapi membatalkan jawapannya itu kerana terlintas bahawa kuasa untuk melepasi kawasan berlumpur tersebut bukannya terletak pada kereta tetapi dengan kuasa Allah jua.
Tak kisahlah kereta Subaru XV AWD pun, kalau Allah kata tersangkut dalam lumpur, maka akan tersangkutlah ia.
Master pergi mengintai keadaan kereta VIOS hitam tersebut. Master dan si pakcik pemilik kereta Toyota VIOS itu berbincang tentang cara untuk melepaskan kereta VIOS itu daripada masalah lekat dalam lumpur tersebut.
Tedi nampak mereka mengambil 2 ketul batu. Tuan kereta Toyota VIOS itu tampak tak tahu nak buat apa. Dia kata sepanjang umur hidup dia ini kali pertama dia hadapi masalah sebegitu.
Bagi Master pula, ini mungkin entah kali ke berapa, yang Master ingat sekali dengan kereta Proton SAGA berwarna merah milik Tok Ayah dan kali kedua juga dengan Proton Preve milik Tok Ayah juga. Apa yang pasti untuk kesemua pengalaman membantu kereta yang lekat dalam lumpur atau lekat dalam pasir itu, ada ramai orang yang membantu.
Tetapi kali ini cuma ada Master dan tuan Toyota VIOS itu sahaja.
Apa perlu buat semasa kereta lekat dalam lumpur?
Secara teori dan praktikal, perkara yang perlu dibuat semasa kereta lekat dalam lumpur adalah dengan memberi daya tambahan kepada kereta tersebut dengan cara:
- meletakkan sesuatu di bawah tayar untuk memberikan daya seretan kepada tayar, di mana masalah utama tayar kereta sangkut dalam lumpur selalunya adalah kerana tayar tidak dapat mencengkam untuk bergerak keluar.
- menolak kereta untuk memberikan daya tolakan tambahan yang tidak tertumpu kepada tayar sahaja.
Nampaknya kali ini Master tidak memiliki kemewahan pada alternatif kedua. Master terpaksa bergantung kepada pilihan pertama sahaja.
Master mengarahkan tuan kereta Toyota VIOS itu untuk meluruskan tayar, dan menggerakkan keretanya ke hadapan sedikit, sebelum Master meletakkan batu yang agak besar di bawah di celah belakang tayar hadapan sebelah kiri kereta VIOS tersebut.
Selepas itu Master membaca doa minta-minta kereta Toyota VIOS tu dapat keluar dengan mudah sahaja supaya kami tidak sangkut terlalu lama di sana.
Alhamdulillah, kereta Toyota VIOS itu dapat keluar dengan agak mudah, tapi tersangkut di tempat lain pula. Kali ini Master tahu bahawa kereta Toyota VIOS itu hanya perlukan sedikit tolakan untuk membantunya keluar, kerana pada ketika itu belum ada lubang terbentuk pada tanah dek gerakan tayar.
Master pun terpaksa menolak kereta itu sedikit, alhamdulillah lepas. Master terpaksa bukan kerana tidak sudi, tapi terpaksa kerana keadaan di sana agak becak, kalau boleh tak mahulah masuk hospital dalam keaadan sandal Yonex beliau berlumpur. Kalau pakai kasut masih boleh tahan sebab lumpur tak kena kaki.
"Terima kasih kerana sudi tolong I, really appreciate it" - wah pertama kali Master dengar orang berterima kasih macam pengembara yang baru dapat air setelah kesesatan di padang pasir. Master faham perasaan pemilik Toyota VIOS tu, dan Master juga bersyukur kerana Allah membantu Master untuk membantu pemilik kereta VIOS itu.
"You buat apa di sini?" - tanya tuan Toyota VIOS itu. Maksudnya apa tujuan Master datang ke Hospital Putrajaya, mungkin membalas pertanyaan Master yang serupa sebelum itu.
Master pun beritahu pemilik Toyota VIOS tu bahawa kami membawa Nor Aina untuk pemeriksaan kesihatan - ada masalah lelah sedikit.
Master tahu jawapan tu tak benar kerana sebenarnya pemeriksaan kesihatan Aina kali ini adalah pemeriksaan kesihatan umum untuk bayi lahir tak cukup bulan. Tak tahulah sama ada bayi yang lahir normal memerlukan pemeriksaan kesihatan sebegini atau tidak kerana sepupu sepapat adik beradik Aina tak adalah pula kerap menghadiri pemeriksaan kesihatan susulan seperti Aina ni.
"Owh, I doakan anak you agar cepat sihat" - wow, Master berasakan itu adalah doa paling ikhlas dan ringkas - dengan mendengarkan bagaimana pakcik itu mengungkapkannya, atau mungkin sahaja pakcik itu memang pandai berkata-kata. Semoga doa pakcik itu dimakbulkan Allah.
Aina tak boleh duduk diam
Selepas itu kami ke Klinik Doktor Pakar untuk menemui Mommy dan Aina. Alhamdulillah, Mommy tak merepek dengan kehilangan kami untuk satu tempoh yang mungkin lama. Kali ini agak mudah untuk menemui Mommy dan Aina kerana boleh dengar bunyi bising kasut dan mulut Aina.
Macam-macam perangailah Aina buat, tampar anak orang, libas orang dengan belon - perkara yang mungkin menjengkelkan bagi orang lain.
Hal ini memaksa Master memegang Aina selalu, satu strategi yang okay, namun selalu kena cantas dek Mummy yang tak mahu dengar Nor Aina menangis.
Akhirnya kami dapat menemui doktor setelah jam 2 petang - atau empat jam menunggu. Mujur sahaja Master dan Mummy ambil cuti satu hari, tambahan Master ambil cuti tanpa gaji yang ikut polisi hanya dibenarkan untuk cuti sepanjang hari sahaja.
Doktor kata semua okay.
Kami tiba di rumah sekitar jam 3:30 petang. Aina tertidur kepenatan, dan Master pun nak tidur juga sebab badan lenguh mendukung Aina di Hospital Putrajaya tadi, kaki pun rasa macam lari beberapa kilometer, tapi keadaan tidak mengizinkan...
Ini adalah karangan yang agak panjang, hampir 1000 patah perkataan, diharapkan masuklah income melalui iklan-iklan Google Adsense. Amin.
~20181127~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.