NEWCASTLE, England: Rafael Benitez meminta pengadil bantuan video (VAR) digunakan segera dalam Liga Perdana Inggeris selepas pasukannya Newcastle yang beraksi 10 pemain tewas 1-2 di laman sendiri kepada Wolves susulan gol kemenangan Matt Doherty pada masa kecederaan.
Benitez yang berang menggesa penggunaan bantuan teknologi itu apabila DeAndre Yedlin dibuang padang kerana menjatuhkan Diogo Jota selepas 56 minit, yang menyaksikan Magpies tiga mata di atas zon penyingkiran.
Benitez turut percaya pertahanan Wolves, Willy Boly sepatutnya dilayangkan kad merah dan Newcastle meraih sepakan penalti selepas pemain Perancis itu menyiku Ayoze Perez.
“Jelas sekali Willy menyiku di muka Ayoze, dia berdarah,” kata Benitez.
“Tapi saya sudah menyaksikan ulang tayang. Anda boleh lihat ulang tayang dan lihat muka pemain apa yang berlaku selepas itu. Setiap orang boleh melihatnya, jadi kami memerlukan VAR.”
Bos Wolves, Nuno Espirito Santo, pasukannya melonjak ke tangga ke-10 selepas kemenangan kedua berturut-turut, berasakan Yedlin wajar dibuang padang dan insiden menyiku oleh Boly secara tidak sengaja.
“Memang ia insiden menyiku, jelas menyiku terhadap Ayoze,” katanya.
“Tapi dari pemerhatian saya, dia (Boly) melompat untuk menanduk bola dan dia tidak melihat pemain itu, jadi ia bukan secara sengaja.”
VAR akan diperkenalkan dalam Liga Perdana bermula musim depan selepas kelab “bersetuju secara prinsip” bulan lalu, susulan kemas kini daripada ujian yang dijalankan sebelum ini.
Sistem itu sudah dipraktikkan dalam beberapa liga sekitar Eropah, termasuk Serie A Itali dan Ligue 1 Perancis serta digunakan pada Piala Dunia Russia 2018. - AFP
20181010
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.